viglink

Facebook like


Logo

Image by FlamingText.com

Enable clik

Info masuk



Listen My Radio at Facebook or Here

Background

Tweet Terbang

online

wibiya widget

Change colour

Silahkan Pilih Warna Background

Follow


Tulisan Ketik

Terima Kasih Dah Berkunjung di http://www.boynordin.blogspot.comSilahkan Anda Bagi Komen Ya...

Radio Boy Nordin Streaming



Listen My Radio at Facebook or Here




















Tuesday, November 22, 2011

Novel: Dan hati pun berkata (12,13,14,15,16,17)


Bab 12

“Wah, besarnya rumah abang….” Puji Adirra ketika berdiri di halaman rumah. Kagum dia melihat rumah yang tersergam indah dengan sentuhan ala-ala Inggeris. Kemudian mata Adirra berpindah pula pada halaman rumah. Bunga-bunga ros memenuhi segenap halaman. Tambah berseri dengan kuntuman-kuntuman bunga matahari yang tumbuh subur.

“Banyaknya bunga matahari…” Adirra tambah kagum melihat kuntuman bunga matahari yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

“Irra suka?” soal Rashdan.

“Suka sangat!” jawab Adirra dengan girang.

“Hmm, kalau macam tu, jadilah mem besar rumah ni!” seloroh Rashdan sambil tergelak.

“Abang! Irra balik karang, kalau cakap macam tu lagi!” Adirra bulatkan pula matanya. Kurang senang dengan gurauan Rashdan. Bunyinya macam gatal saja.

“Okey, okey. Abang gurau saja!” kata Rashdan. Tapi dia masih tergelak. Suka benar melihat Adirra begitu. Tambah comel.
Adirra berdiri seketika memerhati kawasan kediaman Rashdan yang dijaga dengan rapi. Kemudian dia perhatikan pula ladang ternakan lembu yang tidak jauh dari situ serta padang ragut yang sayup-sayup kelihatan. Sungguh mempersonakan.

“Hmm…, dah lama abang tinggal sini?” soal Adirra tiba-tiba.

“Lebih kurang tiga bulan.”

“Abang kerja apa sebenarnya?”

“Habiskan duit ayah abang…..”

“Wah, bagusnya jawapan.”
Rashdan tergelak lagi. Senang hati. Tiba-tiba saja dia rasa sangat tenang dan selesa. Sudah lama dia tidak berperasaan begitu.

“Abang memang anak orang kaya?”

“Emm…”

“Wah, untunglah siapa yang dapat kahwin dengan abang,” kata Adirra sambil tepuk bahu Rashdan.

“Irra tak nak suami kaya?”

“Tak naklah. Irra nak yang biasa-biasa saja. Yang mampu sediakan keperluan asas dahlah, janji dia sayangkan Irra dan selalu bersama Irra.” Jawab Adirra jujur. Dia tidak pernah untuk mencari pasangan yang kaya raya.

Rashdan tatap wajah Adirra sambil tersenyum. Dia ini terlalu berterus terang atau lurus bendul?

“Selalu orang kaya ni tak cukup masa. Asyik kejar duit 24 jam. Tak tahu nak menghargai orang disisinya. Itu yang ramai makan hati. Irra tak nak macam tu. Irra nak hidup bahagia.” Jawab Adirra lagi.
Ada sesuatu yang sangat istimewa pada gadis seorang ini. Tak salah dia menaruh hati dan menyimpan perasaan buat gadis ini.

“Cik adik sayang, siapa yang tak nak hidup bahagia. Kalau Irra tanya orang utan sekalipun jawapannya pun sama. Tetap nak bahagia juga. Tapi tak semua bernasib baik untuk memilikinya.”

“Dalam soal tu abang salah. Bahagia itu dicipta, bukan dikutip di mana-mana.”

“Iyalah, Irra betul. Abang saja yang salah.”

“Irra cakap saja. Abang tak nak dengar tak apa. Irra tak untung apa-apapun.”
Rashdan tersenyum. Nampak Adirra bukan mudah mengaku kalah. Nak menang juga.

“Oh ya, ini kenalkan Mak Cik Biah, penjaga rumah ni. Dan ini suaminya Pak Cik Samad.” Rashdan perkenalkan keduanya yang setia menanti di hadapan pintu rumah.

“Ini Adirra yang saya ceritakan tu.” beritahu Rashdan pula.
Sebelum bersalaman dengan keduanya, Adirra terpandang-pandang wajah Rashdan. Entah apalah yang sudah diceritakan tentang dirinya sehingga Mak Cik Biah suami isteri boleh tersenyum-senyum.

“Dia kutuk saya ke mak cik?” soal Adirra ingin tahu.

“Tak adalah, cerita biasa je, jemput masuk,” pelawa Mak Cik Biah dan Adirra terus melangkah tanpa perasaan curiga lagi. Rashdan sudah mendahului terlebih dahulu sambil tersenyum lebar.

“Kita sarapan dulu,” pelawa Rashdan bila melihat Adirra seperti orang hairan ketika berdiri di ruang tamu kediaman yang dikatakan milik lelaki itu.
Terus Adirra ke ruang dapur dan tanpa sebarang pelawaan Adirra duduk sambil memerhatikan Rashdan panaskan air. Kemudian melihat lelaki itu bancuh air. Kagum Adirra melihat kebolehan Rashdan.

“Sebenarnya abang bercuti. Nak relak, nak tenangkan fikiran.” Rashdan memulakan bicara. Sambil berdiri berhampiran pembakar roti, dia keluarkan dua keping roti yang sudah sedia untuk dimasukkan kedalam pembakar.

“Nak lari dari hutang…” Adirra mencelah.

“Hisy, tak adalah sampai ke situ.”
Rashdan bawa roti yang sudah dibakar ke meja makan. Disapu dengan jem dan diserahkan kepada Adirra.

“Jem ni Mak Cik Biah buat sendiri?” soal Adirra sambil mengunyah.

“Hmm…sedapkan.” Jawab Rashdan

“Sedap sangat. Tak pernah rasa jem strawberry sesedap ni.” Puji Adirra bersungguh.

“Makanlah banyak-banyak kalau suka.”

“Bawak balik boleh?”
Budak ini, dah dijamu makan, siap nak bawa balik pula

“Boleh, apa salahnya. Lagipun Mak Cik Biah memang buat banyak. Dia tahu abang suka jem ni.”
Rashdan perhatikan cara Adirra makan. Gadis ini nampak cukup comel. Bibirnya yang nipis, pipinya yang gebu dan matanya yang agak bulat. Anak siapalah agaknya dia ni.

“Eh! Kenapa abang pandang Irrra semacam saja. Mulut Irra comot ke?” Segera Adirra pindahkan cawan ke atas meja lalu di ambil piringnya untuk dijadikan cermin.
Rashdan sudah ketawa. Cara Adirra cukup bersahaja.

“Hisy, Irra ni….” Perlahan Rashdan tolak bahu Adirra yang masih membersihkan mulutnya.

Rashdan bangun. Piring serta cawan di bawa ke sinki lalu di basuhnya. Kemudian Rashdan buka peti sejuknya. Waktu itulah Mak Cik Biah muncul.

“Tuan nak saya masak apa hari ni..?” soal Mak Cik Biah penuh hormat.

“Hari ni mak cik cuti masak. Tengahari ni saya nak masak untuk tetamu istimewa saya,” beritahu Rashdan sambil keluarkan bahan-bahan yang sudah di fikirkan untuk di jadikan hidangan makan tengahari nanti.

Terkejut juga Adirra bila Rashdan di panggil tuan. Besar sangatkah dirinya hingga di beri penghormatan begitu sekali.

“Nak mak cik tolong?” Mak Cik Biah menawarkan diri.

“Tak payah, tak payah. Saya boleh buat sendiri,” jawab Rashdan tanpa melihat wajah pembantu rumahnya.

“Sedaplah jem yang mak cik buat ni…” Puji Adirra pula.

“Iya? Terima kasih. Mak cik buat sebab Tuan yang minta. Tuan suka benar dengan jem tu,” jawab Mak Cik Biah lagi.

“Marilah kita sarapan sekali,” pelawa Adirra dengan mesra.

“Mak cik dah sarapan tadi.” Mak Cik Biah melangkah perlahan bila melihat Rashdan menjelingnya semacam. Mak Cik Biah faham benar akan makna jelingan majikannya itu. Mahu Mak Biah beredar dengan segera.

“Nak ke mana mak cik tu,” tegur Adirra bila melihat langkah Mak Cik Biah seperti menghala ke arah ruang tamu.

“Mak cik ada kerja kat luar. Irra sarapanlah dulu.” Jawab Mak Biah.

Selesai Adirra bersarapan, dia menghampiri Rashdan yang sedang menyediakan sos istimewa. Terus dia duduk di kabinet sambil melihat Rashdan.

“Abang macam biasa saja masuk dapur.”

“Tak juga. Saya hanya masak untuk orang tertentu.”

“Tentu orang tertentu tu ramaikan?”

“Err…ramai. Satu, dua, tiga..emm tak terkira.”

“Ramainya. Jadi semua dah rasa masakan abang.”

“Taklah. Baru Irra seorang. Yang pertama…emm, mungkin yang terakhir.” Rashdan menjeling manja.

“Kenapa pulak?”

“Tak ada apa-apa. Abang bukannya nak bukak restoren nak ajak orang ramai makan! Cukuplah Irra seorang.” Jawab Rashdan penuh makna.
Adirra menolak tingkap yang hanya berlangsirkan bahagian atas. Serta merta udara segar menyusup masuk. Seketika dia terbuai dengan kesegaran udara. Matanya juga merenung pokok-pokok yang yang rendang di belakang rumah. Sepohon dari pokok-pokok tersebut menarik perhatian Adirra kerana sudah tergantung dengan buaian.

“Irra nak naik buaian tu boleh?” soal Adirra penuh minat.

“Pergilah. Abang yang buat buaian tu!” kata Rashdan dengan bangga.
Adirra melompat turun dari kabinet dan dia hendak ke ruang tamu.

“Ikut pintu belakang pun boleh,” ujar Rashdan sebelum menghulurkan selipar untuk kegunaan Adirra. Selepas itu dia bukakan pintu untuk Adirra. Pantas Adirra berlari mendapatkan buaian.
Dari tempat dia berdiri, Rashdan melihat keriangan Adirra ketika berbuai. Terhibur juga hatinya melihat Adirra.

“Tuan pandang apa tu?’ soal Mak Biah ketika menghampiri Rashdan. Bimbang juga kalau-kalau Rashdan terpotong jari sedang mata leka ke tempat lain.

“Oh!, saya pandang Adirra. Seronok pulak tengok dia macam tu,” kata Rashdan. Kerja-kerja memotong bawang terpaksa dihentikan seketika.

“Nampak macam budak-budak lagi,” ulas Mak Biah sambil melihat Adirra sama.

“Baru dua puluh satu tahun, mak cik. Memang nampak macam budak-budak. Manja, kuat merajuk. Tapi tak tahulah, kenapa saya berkenan sangat dengan dia. Mungkin sebab wajah dia comel agaknya!” beritahu Rashdan sambil tersenyum.

“Dia memang comel.” Kata Mak Cik Biah lagi.

“Mungkin dialah bakal teman hidup saya. Mak cik doa-doakanlah sama. Saya memang betul-betul berkenan kat dia.” kata Rashdan bersungguh.

“Insya Allah. Mak cik sentiasa doakan kebahagian tuan,” jawab Mak Cik Biah dengan ikhlas.

“Mak cik tolong potong bawang ni ya, saya nak sertai Adirra. Seronok pulak tengok dia berbuai!” kata Rashdan sambil tanggalkan apronnya.

“Pergilah…” jawab Mak Biah sambil menyambung kerja mmemotong bawang.

Adirra lihat juadah yang terhidang. Daging bakar bersama sos, udang goreng bertepung, cendawan goreng bertepung serta sayur campur. Mana lauk yang berkuah. Hmm… kena berhati-hati ni. Silap hari bulan mahu tercekik. Semua jenis makanan kering. Tak berkuah langsung. Orang makan daging bakar bercicahkan air asam. Dia ni lain betul, hati Adirra mula berkata-kata.

“Kenapa pandang saja. Tak sudi nak jamah masakan abang…”

“Ini semua nak makan dengan nasi?” tanya Adirra kehairanan. Nak kata Mat Saleh sesat tidak jugak. Sah-sah bukan dari baka kacukan.

“Habis, Irra nak makan dengan gandum?” seloroh Rashdan.

Adirra cubit tangan Rashdan. Mengarut betul jawapannya. Menyesal juga Adirra bertanya kalau jawapannya begitu.

Daging bakar yang di potong menjadi kepingan lebih kecil dan nipis, pasti saja membangkitkan selera Adira untuk mencubanya.

“Hmm… sedapnya. Abang guna sos apa ni,” puji Adirra sebaik saja menikmati daging bakar.

“Rahsia. Tak boleh beritahu orang lain. Nanti kalau orang lain tahu dah hilang keistimewaannya.”
Adirra tidak peduli dengan jawapan Rashdan. Dijamah lagi kepingan daging bakar. Kalau dia tahupun bukannya dia rajin untuk memasaknya.

“Papa Irra pun pandai masak. Selama ini papa yang masakkan untuk Irra.” Tiba-tiba Adirra terkenangkan abahnya.

“Bertuah punya anak perempuan. Sepatutnya dia yang masak.”

“Irra tak tahu masak. Selama ni nasipun Irra tak pernah masak.”

“Habis kalau tak tahu masak macam mana nak kahwin?”

“Emm….Irra cari suami yang pandai masak.”

“Macam abang?”
Waktu itulah Adirra rasa ada sesuatu tersangkut di kerongkongnya sehingga mengundang batuk-batuk kecil.
Tak guna betul. Berani dia buat lawak macam ni, sumpah Adirra di dalam hati. Rashdan pula sudah senyum sendiri.

“Abang boleh tak jangan sebut benda yang bukan-bukan?”

“Bukan-bukan apa pulak. Kan ke betul.”
Sekali lagi Adirra mati kutu. Buntu. Diajak bergurau begitu Adirra rasa kurang senang. Lebih-lebih lagi dengan lelaki seorang ini. Adirra memang tak suka.
Buat seketika Adirra biarkan suasana menjadi sepi. Sesekali terdengar juga sudu berlaga dengan piring.

Hati Rashdan rasa sangat senang melihat Adirra begitu berselera. Terasa seperti usahanya untuk memikat Adirra sangat berbaloi. Bukan Rashdan tidak tahu. Rashdan sedar. Adirra bukan suka benar dengannya. Cara Adirra mengelak saja Rashdan sudah faham. Tapi itu bukan alasan untuk dia lupakan impiannya. Dia akan berusaha untuk menawan hati Adirra. Bila hatinya dah berkenan, dia akan lakukan apa saja untuk memenangi hati tersebut.

“Maaf tuan, ada panggilan,” kata Mak Cik Biah tiba-tiba. Sekaligus mematikan lamunan Rashdan.

“Okey, nanti saya jawab.” Rashdan bangun.

“Emm, makan jangan malu-malu!” kata Rashdan lagi sambil tepuk bahu Adirra perlahan. Dia terus ke ruang tamu untuk menjawab panggilan.

“Assalamualaikum.” Rashdan memberi salam.

“Waalaikumusalam. Kau masih di rumah ladang tu?” soal Zakuan salah seorang pekerja serta sahabat baiknya.

“Hmm….”

“Baliklah. Syarikat teruk sangat sekarang ni.”

“Ayah aku ada, anak emas dia ada, tak kan tak boleh uruskan syarikat.”

“Ayah kau dah jatuh sakit, Adam pula masih baru. Banyak perkara yang dia perlu belajar!”

“Aku tak mahu ambil tahu apa-apa lagi. Pandai-pandailah mereka uruskan.” Kata Rashdan seakan merajuk.

“Syarikat tu milik keluarga arwah emak kau. Kau nak tengok syarikat tu hancur? Jadi apa guna penat lelah arwah emak dan arwah datuk kau selama ini?”

“Aku dah tawar hati nak kerja di sana.”

“Tawar ke masin ke, kau tetap waris utama. Nama kau sudah tertulis sebagai pemilik yang sah.” Desak Zakuan.

“Ah! Peduli apa aku.” Rashdan masih dengan keputusannya. Rajuk hatinya bukan boleh baik hanya dengan rayuan Zakuan.

“Aku tahu kau kau banyak duit. Harta kau melimpah ruah. Tak habis makan sampai ke mati, tapi tolonglah fikirkan nasib pekerja di sini. Tolonglah kasihan periuk nasi kami. Aku merayu sangat-sangat.”
Rashdan terdiam. Rayuan Zakuan buat Rashdan berfikir seketika.

“Aku tahu kau dah tak ada hati dan perasaan tapi untuk kali ini aku merayu sangat-sangat. Kasihankanlah kami.”

“Tengoklah nanti macam mana…”

“Kau dah tak boleh tengok lagi. Kau kena balik sekarang jugak.”

“Habis kau nak suruh aku buat macam mana lagi? Bila aku sebenarnya dah lama mati. Aku terkubur sama waktu orang kuburkan emak aku, jadi kau nak aku buat apa lagi?” Rashdan sedikit marah bila terus-terusan diasak. Hilang rasa sabarnya.

“Rashdan, kau tak boleh hilang semangat. Aku tahu kau boleh lakukannya.”

“Selagi budak tu ada di syarikat, aku tak akan balik.”

“Tapi dia adik kau jugak. Cuma kau orang berbeza emak.”

“Tidak. dia bukan adik aku. Mereka semua tu pembunuh. Mereka yang bunuh emak aku!”

“Ajal maut di tangan Tuhan, Rashdan. Yang itu kau kena percaya.”

“Tapi mereka puncanya!” Rashdan menjerit.

“Okeylah, kalau kau dah putuskan macam tu. Terpulanglah pada kau. Aku sekadar menyampaikan saja. Itu saja aku nak cakap! Assalamualaikum!”
Suara Zakuan terus hilang. Yang tinggal hanya rasa marah Rashdan yang kian membuak.
Buat seketika Rashdan hanya mampu bersabar. Cuba membuang rasa marahnya agar tidak jelas kelihatan. Dia tidak mahu Adirra melihat dirinya dalam keadaan begitu. Tidak mahu Adirra bersangka buruk. Sedar juga cita rasa gadis itu terhadap lelaki sangat berbeza. Sekarang juga Rashdan merasakan seperti Adirra tidak selesa dengannya, jadi Rashdan perlu berhati-hati.

“Eh, dah sudah?” soal Rashdan sebaik sahaja melihat Adirra sudah selesai makan.

“Nak tambah nasi tadi, tapi malu!” jawab Adirra dengan selamba.

“Apa pulak nak malunya, nanti abang tambahkan!” Rashdan cuba menyenduk nasi namun dengan pantas Adirra pukul tangan Rashdan.

“Sudah, Irra tak nak gemuk nanti.”

“Kenapa takut gemuk?”

“Nanti tak ada orang nak kat Irra!”

“Hisy, ada pulak fikir macam tu. Kalau dah suka, tak kira gemuk ke, kurus ke. Tetap jugak orang suka!” balas Rashdan.

“Itu cakap abang, lelaki lain tak cakap macam tu.”

“Lelaki lain mana lagi, abang kan dah ada!”

“Hisy! Tak naklah. Abang tu mak we keliling pinggang!”

“Tolong ya, abang bukan jenis macam tu. Abang bukannya buaya!”

“La, Irra pun tak cakap abang buaya. Abang perasan abang buaya kenapa?” Adirra sudah mengekek ketawa.
Rashdan juga turut tersenyum melihat tingkah Adirra yang sangat comel itu.

“Hmm, ada hati nak mainkan abang rupanya.”
Adirra masih lagi ketawa. Geli hati melihat wajah Rashdan yang sudah merah menahan malu.
Hampir selesai mentertawakan Rashdan, Adirra bangun membawa pinggannya.

“Hisy, tak payahlah susah-susah. Nanti abang boleh basuh!”

“Eh! Abang ni, kalau iyapun nak layan Irra, agak-agaklah. Ingat Irra tak pandai basuh pinggan?” Adirra tarik semula pinggannya.

“Sebab abang tahu, Irrapun tak biasa basuh pinggan!”
Adirra menjeling manja.

“Eh, tolong sikit, tengok oranglah!”
Rashdan tersenyum sambil melihat Adirra mencuci pinggan.

“Hmm, Irra dah kenyang, jadi Irra nak baliklah!” kata Adirra sambil lap tangannya pada tuala yang tergantung bersebelahan sinki.

“Awal lagi. Nantilah dulu, kita berbual lagi.”

“Dah lama Irra kat sini. Tak manislah. Nanti apa pulak kata Mak Cik Biah,.” Adirra memberi alasan.

“Kalau macam tu abang hantar Irra.”

“Tak naklah! Hari ni abang dah layan Irra begitu istimewa.”

“Abang tak kisah. Abang sendiri yang nak buat macam tu!”

“Kalau abang hantar Irra balik, bermakna inilah kali terakhir kita bertemu. Lepas tu Irra akan pergi dari sini. Abang tak akan jumpa Irra sampai bila-bila!” Adirra mengugut.
Rashdan tergamam. Berani sungguh gadis ini keluarkan ugutan. Takut dengan ugutan Adirra, Rashdan hanya mampu menghantar Adirra sehingga muka pintu sahaja. Dari situ dia hanya melihat Adirra melangkah pulang dengan perasaan berat. Apapun hatinya terpujuk juga bila mengenangkan kesudian Adirra menikmati makan tengahari masakan Rashdan sendiri.
Sebagai seorang lelaki yang sedang menaruh harapan, itu sudah cukup buatnya.

—————————

Bab 13

“Kenapa akak tengok Irra sejak akhir-akhir ni asyik termenung saja? Irra ada masalah?” soal Kak Lina tengahari itu ketika mereka sedang menyiapkan hidangan untuk makan tengahari. Ada sedikit perubahan pada diri Adirra yang begitu ketara pada pandangan mata Kak Lina.

Adirra gelengkan kepalanya lambat.

“Irra tak puas hati dengan akak ke? Atau layanan akak pada Irra, kurang memuaskan hati Irra?’ soal Kak Lina lagi. bimbang juga kalau-kalau dia sekeluarga yang membuatkan Adirra begitu.

“Tak adalah kak. Akak layan Irra dengan baik sekali. Sepatutnya akak tak perlu nak layan Irra macam ni. Irra dah menyusahkan hidup akak. Dahlah menumpang dengan akak!”

“Jangan cakap macam tu Irra. Pada akak, Irra bukan setakat sepupu akak, tetapi akak dah anggap macam adik sendiri. Kalau Irra rasa layanan akak pada Irra tidak sempurna, akak minta maaf.”
“Akak ni, ke situ pulak. Irra runsingkan perkara lainlah.” kata Irra sambil peluk erat bahu Kak Lina.

“Irra rindukan papa Irra? Irra nak balik?”
Adirra gelengkan kepalanya.

“Buat apa Irra nak balik, kalau papa dah tak sayangkan Irra.”

“Jangan begitu Irra. Jangan ikutkan rasa hati yang marah. Lagipun akak rasa, Irra terlalu mengikut perasaan.”

“Entahlah kak, Irra rasa Irra perlukan masa untuk terima semua tu. Tapi sebenarnya Irra bukan runsingkan sangat pasal papa. Dah tentu papa hidup bahagia sekarang ni. Irra pun papa dah tak ingat!”

“Kalau bukan pasal papa Irra, pasal apa lagi?” Kak Lina letak periok atas dapur. Hendak menggulai ikan keli.
Adirra mengeluh berat. Teragak-agak hendak meluahkan rasa bimbang nanti sekadar menjadi bahan gelak Kak Lina.

“Tak usahlah mengeluh begitu. Tak elok. Cuba beritahu akak, apa masalah yang Irra runsingkan sangat ni!” desak Kak Lina. Makin bimbang dia melihatkan keadaan Adirra.
“Kak, kenapa benda yang kita tak suka, itulah yang datang dalam hidup kita? Lagi kita nak jauh, lagi dia dekat!” soal Adirra tiba-tiba.

Kak Lina tersenyum lebar. Sedikit tidak Kak Lina sudah tahu apa yang sedang merunsingkan Adirra. Masakan dia tidak tahu, bila saban pagi dan petang masa dihabiskan dengan lelaki yang Adirra kata meluat sangat dahulu. Hmm, tak sampai mana rupanya. Sekejap benar berubahnya.

“Kenapa? Dah mula menyesal? Yalah, dulu bukan main tak sukanya. Kan akak dah cakap, jangan suka mengutuk. Nanti yang dikutuk itulah yang tak boleh lupa!”

Adirra kerutkan dahinya. Bagaimana Kak Lina tahu masalah yang menimpa Adirra. Adirra bercakap menggunakan bahasa kiasan, tetapi kenapa Kak Lina faham?

“Macam mana akak tahu, apa yang Irra runsingkan?” soal Adirra.

“Akak ni lebih dulu hidup daripada Irra. Bak kata pepatah, sekilas ikan di tasik, akak dah kenal jantan betinanya. Kalau tak pasal papa Irra apa lagi kalau bukan pasal lelaki tu, betul tak?”
Adirra ke tepi tingkap. Melihat permandangan di kaki bukit yang sangat cantik. Lapang sedikit perasaannya ketika melihat permandangan tersebut.

“Dulu Irra benci sangat dengan dia. Meluat betul. Tapi sekarang macam dah suka pun ada kat dia tu.” jelas Adirra. Memang itulah yang dia rasa sejak akhir-akhir ini. Layanan Rashdan terhadapnya sangat istimewa. Dan sesungguhnya dia tidak boleh berkata tidak kepada lelaki seorang itu.

Kak Lina ketawa kecil sambil menumis rempah kari. Baunya sudah bangkit.

“Layanan dia pada Irra cukup berbeza. Tu yang buat Irra tergoda!” Adirra senyum sedikit. Mula terbayangkan layanan yang Rashdan berikan kepada.

“Baguslah kalau Irra dah nampak kebaikkan dia. Irra harus beri peluang kepada dia dan diri Irra sendiri untuk mencipta bahagia. Akak doakan Irra akan memiliki kebahagian sendiri. Lagipun akak tengok lelaki tu macam baik saja. Memang muka boleh dipercayai!” Kak Lina beri pendapatnya.

“Terima kasih kak. Tapi Irra nak berkawan dulu dengan dia. Nak tengok hati budi dia terlebih dahulu. Susah nak percaya lelaki ni. Kadang-kadang bertahun berkawan, tapi sekelip mata boleh berubah! ” kata Adirra selepas itu. Sesungguhnya dia sendiri belum pasti lagi dengan apa yang berlaku. Pengalamannya dengan Zafril buat Adirra lebih berhati-hati untuk mengenali lelaki.

Petang itu Adirra mencari Rashdan di ladang ternakkan lembu. Selalu lelaki itu yang mencarinya. Kali ini biar dia pula yang mencari. Adillah begitu.

Dari jauh Adirra melihat Rashdan sedang duduk di pagar kayu berhampiran sepohon pokok rendang sambil memerhatikan lembu-lembu meragut rumput.
Beberapa pekerja yang sedang menjaga lembut menunjuk ke arah Adirra memaksa Rashdan menoleh untuk melihat siapa yang datang. Langsung dia turun dari pagar kayu tersebut dan mendapatkan Adirra.

“Cari abang?” soal Rashdan sebaik sahaja Adirra datang dekat kepadanya.

“Habis abang ingat Irra nak jumpa lembu-lembu tu pulak ke?” soal Adirra dengan berani. Dah tahu kenapa dia ke situ masih nak tanya-tanya lagi. Saja nak buat Adirra naik angin saja.
Rashdan senyum. Tak boleh salah cakap langsung. Mulalah terasa.

“Kenapa cari abang?” soal Rashdan kemudiannya

“Saja, tak boleh? Kalau tak boleh tak apalah. Irra balik saja!” Adirra berpatah semula. Nak balik kononnya.

“Hisy, gurau-gurau pun tak boleh.” Terus Rashdan tarik tangan Adirra. Sebenarnya dia rasa pelik juga. Selalu-selalunya, dia saja yang mencari Adirra. Petang ini sudah terbalik. Adirra pula yang mencarinya. Ini sudah bagus, fikir Rashdan. Ada tanda-tanda positif yang membuatkan Rashdan bersungguh menaruh harapan. Harapannya kelak mungkin tidak akan sia-sia.

Adirra kembali duduk bersebelahan Rashdan sambil pandang padang ragut yang terbentang luas. Dia rasa cukup tenang ketika itu.

“Abang suka datang sini ke?’ Adirra bertanya bila Rashdan berdiamkan diri. Hanya melihat apa yang terhidang di hadapannya.

“Hmm… Abang suka. Tempat ni memang buat jiwa abang tenang.”
Adirra anggukkan kepalanya. Setuju dengan cakap-cakap Rashdan itu. Kawasan Bukit Senyum itu sesungguhnya menyajikan satu permandangan yang cukup mendamaikan perasaan siapa saja yang berkunjung ke situ.

“Irra suka tempat ni?”
Adirra anggukan kepalanya sebagai tanda jawapan.

“Tu lah sebabnya abang ajak Irra tinggal kat sini saja!”

Adirra mengeluh panjang sambil melihat rumput-rumput yang menghijau.

“Susahlah bang..Irra pun menumpang rumah orang!” keluh Adirra.

“kalau macam tu, Irra kena carilah rumah sendiri. Hmm… rumah abang pun banyak lagi bilik kosong! Bolehlah Irra pindah rumah abang…”

“Mengadalah abang ni…” Adirra cubit perut Rashdan. Rashdan sambut dengan gelak sambil pegang perut yang tertinggal dengan kesan cubitan Adirra. Ada rasa pedih di situ, tetapi entah kenapa dia rasa bahagia pula.

“Apa pulak mengadanya. Abang cakap benda yang betul!”

“Abang ni, entah apa-apa. Boleh lagi fikirkan benda macam tu. Tak logik betul.”

“abang gurau ajelah. Itupun nak ambil hati.”

“Tak adalah. Kalau ya pun nak buat gurau, agak-agaklah.”

“Okey, abang minta maaf kalau kata-kata abang tadi dah menyinggung perasaan Irra. Janji, jangan marah abang!” Rashdan pandang tepat wajah Adirra yang comel dan keanakkan itu. Susahnya nak jaga hati dia. Cepat betul terasanya.

Adirra kembali senyum. Senang sekali bila mendengar orang mengaku salah.

“Irra bukan marah, Irra tak suka abang sebut perkara yang bukan-bukan. Irra bosanlah!” Adirra berterus terang.

Rashdan anggukkan kepalanya. Sedikit tidak dia tahu apa yang Adirra tidak suka dan masa-masa akan datang dia akan cuba mengelak dari bergurau begitu lagi.
Kemudian masing-masing melihat wajah petang dengan rasa gembira. Sesekali ada juga mereka berbicara namun Rashdan cukup berhati-hati dengan tutur bicaranya kali ini. Tidak mahu mengundang rasa kurang senang Adirra.

Bila hari beransur senja, barulah masing-masing bergerak ke destinasi masing-masing. Tetapi pertemuan mereka tidak berakhir di situ saja.
Beberapa hari kemudiannya, Rashdan rasakan Adirra semakin mesra dengannya. Walaupun adakalanya cakap-cakap kurang sopan terlepas daripada mulut Adirra, itu tidak langsung mengurangkan rasa minat Rashdan terhadap Adirra. Semakin dia suka pula.

Rashdan percaya dia sudah temui apa yang dia cari selama ini. Adirralah satu-satunya gadis yang berjaya mengusik hati lelaki Rashdan. Tinggal lagi dia harus memikirkan cara, bagaimana kebahagianan itu kekal menjadi hak miliknya. Tetapi Rashdan tidak akan berputus asa kali ini. Dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memiliki Adirra.
Sehinggalah sekali lagi Zakuan menghubungi Rashdan sekali lagi.

“Ayah kau sakit teruk. Dah tak boleh bangun. Mak cik kau mintak aku hubungi kau. Mintak kau balik dengan kadar segera!” Kata-kata Zakuan seperti terdesak benar.

Namun Rashdan pula seperti sudah tidak rasa apa-apa ketika itu. Terperanjat tidak apatah lagi bimbang. Seperti yang dikhabarkan sakit itu bukan ayahnya.

“Baliklah Rashdan. Kalau kau marahkan sangat ayah kau, tak kanlah sampai kau tak boleh maafkan dia. Walau apapun dia tetap ayah kau.” Desak Zakuan.

“Masalahnya aku memang dah tak ada hati nak balik. Kalau aku balikpun, buat tambah sakit orang tua tu buat apa!” jawab Rashdan selamba. Memang itulah yang dia rasa ketika itu.

“Kalau macam tu, kau baliklah sebab aku. Aku ini hanya kawan baik yang kau ada,” pujuk Zakuan sehingga hati Rashdan menjadi sangat lemah.

“Tengoklah nanti. Kalau aku rasa nak balik, aku baliklah.” Rashdan putuskan begitu. Harap-harap apa yang dia ucapkan itu akan disampaikan kepada ayahnya. Biar ayahnya tahu kenapa dia masih tidak mahu kembali.

Adirra rasa ada sesuatu yang tidak kena pada Rashdan. Dua tiga hari ini, Rashdan banyak termenung. Langsung tidak ceria seperti selalu.

“Abang ada masalah?” soal Adirra ketima mereka duduk di tempat biasa.

“Hmm, abang nak balik KL esok,” beritahu Rashdan dengan wajah sugul. Sudah berkali-kali Zakuan menghubunginya. Tak sampai hati pulak hendak menolak kali ini.

“Dah habis musim merajuk abang?” Adirra tersenyum sambil melirik manja.

“Ikutkan hati, abang nak merajuk lagi. Tapi kesian pulak dengan kawan abang tu,” keluh Rashdan.

“Baguslah macam tu. Eloklah abang balik!” kata Adirra lagi.
Rashdan menghela nafas panjang. Berat benar rasanya hendak tinggalkan Bukit Senyum. Kasihnya sudah tertumpah di sini. Oh! Tidak! Dia bukan jatuh cinta pada Bukit Senyum. Dia sudah cinta pada seorang gadis yang tinggal di Bukit Senyum, di mana senyumannya selalu saja buat Rashdan lupa diri. Ah! Ajaibnya kuasa jatuh cinta. Terasa dunia ini penuh dengan taman-taman indah.

“Irra balik ikut abang, boleh?” Rashdan cuba-cuba memberi cadangan. Mana tahu boleh diterima.

“Tak naklah. Hati Irra masih belum terbuka nak balik KL,” jawab Adirra pantas.

“Sudah-sudahlah tu merajuk. Jomlah ikut abang balik KL.” pujuk Rashdan lagi.
‘Tengoklah nanti. Buat masa sekarang Irra lebih selesa tinggal di sini,” balas Adirra sambil tersenyum.
Rashdan tarik lagi nafas panjang. Dia gagal memujuk. Mungkin kelebihan memujuk itu tidak ada padanya. Atau mungkinkah usaha memujuk Adirra seperti tidak bersungguh?

“Kalau Irra tak mahu tinggal dengan papa Irra, carilah rumah lain. Nanti abang tolong carikan rumah sewa dan kerja. Dengan kelulusan yang Irra ada, abang rasa senang
untuk Irra dapat kerja.” Rashdan menyambung usaha memujuk. Kalau boleh dia hendak juga bawa Adirra bersama.

“Nanti-nantilah. Biar hati Irra sejuk sikit. Kalau sejuk nanti, Irra baliklah.” Tegas Adirra.

“Tapi buat masa sekarang, Irra belum fikir lagi nak balik. Irra rasa lebih baik Irra habiskan masa Irra di sini. Irra rasa aman tinggal kat sini. Langsung tak fikir apa-apa.” tokok Adirra dengan yakin.

“Kalau beginilah cara Irrra, sampai bilapun hati Irra tu tak akan sejuk.”

“Sejuk nanti. Tapi bila hati Irra akan sejuk, Irra tak pasti lagi. Tak mungkin Irra nak tinggal kat sini selamanya. Irra perlu juga fikirkan masa depan Irra!”
Rashdan akur juga. Bukan senang hendak memujuk gadis bernama Adirra itu. Rashdan hanya perlu bersabar dan terus bersabar kalau betul-betul hendak memiliki hati Adirra. Tiada apa yang dia boleh lakukankan lagi.

Bab 14

Rashdan lihat ayahnya terlantar di atas katil. Nampak terlalu lemah. Ibu tirinya yang setia menemani di sisi ayahnya kelihatan terperanjat melihat kemunculan Rashdan.

“Ayah …” panggil Rashdan perlahan.

Puan Khaleda bangun untuk memberi ruang buat kedua beranak itu berbual. Rashdan yang mula melangkah untuk mendapatkan ayahnya langsung tidak melihat wajah Puan Khaleda. Entah kenapa wajah wanita itu kekal sebagai dendam yang sudah sebati dalam dirinya. Wanita itulah punca kematian ibunya, jadi sampai bila-bila Rashdan tidak akan maafkan Puan Khaleda.

“Kamu dah balik….?” Perlahan suara Tuan Zahari bertanya. Wajah Rashdan ditenung lama dengan pandangan yang sangat lemah.

Rashdan diam. Keadaan ayahnya memaksa Rashdan tidak bersuara. Hatinya masih terasa sakit. Jadi kesakitan itu sudah menjadi duri dalam diri sehingga dia tidak boleh menerima ayahnya semula.
“Kenapa nak merajuk dengan ayah? Kalau kamu tak suka Adam masuk syarikat, cakap ajelah dengan ayah. Tak usahlah nak merajuk-rajuk.” Kata Tuan Zahari perlahan.

“Dalam satu syarikat tak boleh ada dua kepala ayah. Hancur jadinya. Kalau ayah rasa Adam lebih sesuai untuk uruskan syarikat, saya rela mengundur diri.” Rashdan tetap tegas dengan keputusannya.
“Adam dah ambil keputusan untuk tidak lagi bekerja di syarikat. Jadi kamu baliklah.” Kata Tuan Zahari lagi.

“Jadi saya ini tetaplah pilihan kedua? Bila orang tak sanggup, barulah diserahkan kepada saya? Begitu?” soal Rashdan tegas. Hatinya seperti dihiris belati tajam. Rasa sakit yang teramat sangat. Susah untuk digambarkan dengan kata-kata. Selama ini dia memang begitulah kedudukannya.

Tuan Zahari batuk perlahan sambil memegang dada. Mukanya juga sudah berkerut seribu menahan kesakitan. Kata-kata Rashdan benar-benar membuatkan sakitnya menjadi-jadi.

“Kenapa pula kamu kata begitu. Selama ini ayah tidak pernah membezakan antara kamu berdua. Kamu berdua tetap anak-anak ayah. Sikitpu tak ada bezanya.” kata Tuan Zahari lemah.

“Tidak. Selama ini ayah tidak pernah berlaku adil. Ayah lebihkan anak ayah tu daripada saya kerana saya adalah anak daripada isteri yang bukan ayah cintai! Jadi ayah tak pernah suka dengan saya!” Rashdan membantah. Kata-kata ayahnya langsung tidak boleh dipercayai. Selama ini itulah yang Rashdan rasa. Seperti dianak tirikan oleh ayah kandung sendiri.

“Ayah tak pernah buat macam macam tu. Kamu saja yang rasa begitu. Ayah sayangkan kamu berdua sama saja!” jelas Tuan Zahari.

Tiba-tiba saja Rashdan rasa sedih. Mungkin begitula Adirra rasa. Berjauh hati. Tetapi tidakkah terlalu kebudak-budakkan. Ah! Selagi manusia itu ada perasaan, tak salah kalau ada perasaan begitu.
“Saya tak mahu bincangkan perkara ini lagi. Saya balik ni cuma nak tengok ayah. Kalau ayah dah baik, saya nak balik semula ke Bukit Senyum.” Tegas Rashdan. Dia tidak mahu terlalu emosi. Sudah puas dia hidup dengan rasa begitu. Cukuplah setakat ini.

“Kamu tak perlu kembali ke Bukit Senyum. Esok kamu pergilah kerja semula. Uruskanlah syarikat baik-baik. Ayah percaya kamu boleh jaga syarikat dengan baik.” Arah Tuan Zahari. Dia masih memegang dadanya.

Rashdan diam. Membatukan diri untuk seketika. Entah kenapa tiba-tiba saja dia tidak lagi rasa seronok mendengar khabar begitu. Bukankah elok dia tinggal di Bukit Senyum saja dan menghabiskan masa dengan melukis. Setidak-tidaknya tak ada masalah yang menganggunya. Lebih-lebih lagi sekarang ini dengan kehadiran Adirra. Itu lebih penting buat Rashdan dari segalanya.

“Kamu uruskanlah semula syarikat. Mulai hari ini, kami tak akan masuk campur lagi dalam hal-hal berkenaan syarikat,” kata Tuan Zahari lemah.

Rashdan melangkah perlahan tinggalkan bilik ayahnya selepas itu. Perkataan ‘kami’ yang baru terlafaz itu bagai belati yang menghiris perasaannya. Nampak benar dia sudah diasingkan daripada hidup ayahnya. Seolah-olah dia bukan anak ayahnya. Dia benar-benar terasa.

Di dalam bilik, Rashdan termenung panjang di atas kerusi. Rasa menyesal kerana pulang sudah mula menyinggah di dalam diri. Kalaulah dia tidak pulang dan tidak hiraukan sesiapa, mungkin hatinya tidaklah sakit begini. Sesungguhnya bukan saja ayahnya yang sakit, tetapi Rashdan lebih sakit sakit lagi.

Ketika dia cuba mencari ketenangan yang sudah hilang, waktu itulah wajah seseorang menari-nari di ruang ingatannya.

“Adirra!” perlahan Rashdan tersebut nama itu dan segala yang tersinggah di benaknya hilang begitu saja. Terus saja tangannya mencari telefon bimbit di dalam poket. Rindu benar pada Adirra walaupun baru sekejap berpisah.

“Assalamualaikum Irra!” Rashdan memberi salam sebaik saja Adirra menjawab panggilannya.

“Waalaikumusalam. Abang dah sampai?” soal Adirra.

“Baru sekejap tadi.”

“Alhamdulilah…”

“Irra dah makan tengahari?” soal Rashdan. Alahai, apa pasal tanya soal makan ni? Sedangkan masih ada perkara lain yang lebih penting dari soal makan.

“Belum.” Jawab Adirra cepat.

“Kenapa masih belum? Dah pukul 2.00 petang ni?”

“Irra tak selera nak makan, sebab abang dah jauh!” jawab Adirra. Selepas itu Rashdan dengar Adirra ketawa. Sukanya dia buat Rashdan perasan. Akhirnya Rashdan tumpang ketawa sama.

“Iya? Betul ke ni?” Rashdan sudah bangun dan berdiri di tepi tingkap. Melarikan pandangannya ke arah luar dan menyambung ketawa di situ.

“Betullah. Baru sekejap abang pergi, Irra dah rindukan abang. Rindu sangat-sangat!” kata Adirra lagi.

“Irra, abang serius ni. Janganlah nak mainkan abang pulak!”

“Kenapa? Abang tak percaya?” soal Adirra.

“Macam Irra nak mainkan abang saja. Nak buat abang perasan sorang-sorang!”

“Tahu tak apa!” kata Adirra sambil tergelak dengan kuat.

“Irra!” Rashdan sudah menjerit. Dia juga ketawa besar selepas itu. Sudah mula terbayang wajah comel dan manja Adirra bersama ketawanya. Terasa seperti dadanya bergetar-getar ketika itu. Betul-betul rasa tidak tenteram. Begitu rindukan Adirra ketika itu. Kalaulah dia bersayap, sekarang juga dia terbang.

“Err..bagaimana dengan ayah abang? Dah sihat?” soal Adirra sebaik sahaja ketawanya reda. Dia kembali serius. Tidak mahu bergurau lagi. Bimbang Rashdan akan terfikir yang bukan-bukan.

“Macam itulah. Masih kurang sihat.” Jawab Rashdan perlahan. Rasa bosan bila bercakap tentang ayahnya.

“Jadi abang kena kerja kat syarikat ayah abanglah?’

“Hmm, nampaknya begitulah!”

“Tak bolehlah abang datang sini lagi. Rindulah Irra nanti pada abang!” Adirra sambung semula selorohnya.

“Abang pun rindu sangat dengan Irra. Kalau abang ada sayap, sekarang jugak abang terbang dan jumpa Irra,” kata Rashdan perlahan. Itulah yang dia rasa ketika itu. Benar-benar rindukan si gadis manja yang telah berjaya membuka pintu hatinya.
Ah! Sudah! Adirra dah cemas. Lain macam saja bunyi orang sana bercakap. Memang betul ke ni rindukan aku? Soal Adirra di dalam hati.

“Irra, kenapa diam ni?” soal Rashdan bila merasakan Adirra berdiam diri beberapa ketika.

“Okeylah bang. Irra nak pergi gerai ni.” kata Adirra tiba-tiba.
Hmm, kejap itu jugak nak ke gerai. Ke nak sembunyikan sesuatu?

“Okeylah. Nanti malam abang telefon Irra lagi ya.”

“Okey. Assalamualaikum bang…”

“Waalaikumusalam.”
Terus Rashdan usap dadanya. Ada sesuatu yang tak kena di situ sebaik sahaja suara Adirra hilang di talian.

“Macam mana nak buat ni…!” soal Rashdan sendirian.

“Hai, dah mula gelak sorang-sorang?” tegur Kak Lina bila melihat Adirra sudah bergelak ketawa. Nampak gembira benar adik sepupunya itu.

“Tak adalah kak. Bergurau dengan orang tu tadi!” Adirra memberi alasan. Sambil-sambil itu berusaha untuk sembunyikan perasaannya dari pengatahuan Kak Lina.

“Yalah tu. Gurau-gurau bawa bahagia bukan!” tokok Kak Lina.

“Baru sekejap dia pergi, Irra dah rasa sunyi,” keluh Adirra pula.

“Itu bukan sunyi Irra, itu maknanya rindu. Dah besar-besarpun tak faham lagi makna sunyi dengan rindu!” Kak Lina tolak perlahan bahu Adirra.
Adirra tak cakap apa-apa lagi. Betul agaknya apa yang dia rasa tu adalah sejenis perasaan yang orang ramai sebut sebagai rindu.

“Ah! Rindulah pulak dia…” usik Kak Lina lagi.

Adirra masih tak terkata. Mujur ketika itu telefon bimbitnya berbunyi semula. Dia mengharapkan Rashdan di talian tetapi bukan. Hadirah, teman satu kolej.

“Eh! Ada kerja kosong. Nak cuba?” soal Hadirah.

“Nantilah aku fikir. Buat masa sekarang ni macam tak ada mood nak kerja. Seronok goyang kaki lagi!” gurau Adirra.

“Kalau kau nak cuba kerja, aku boleh tolong.”

“Nantilah aku fikir dulu. Apa-apa hal nanti aku call kau!” putus Adirra. Buat sementara waktu dia tidak mahu memikirkan soal kerja. Adirra rasa cukup selesa begitu. Walaupun upah yang diterima daripada Kak Lina tidak seberapa, tapi Adirra suka dengan kehidupannya di situ. Sedikit tidak dia boleh melupakan segala masalahnya. Kadang-kadang dia terlupa juga akan papanya. Sedikit demi sedikit Adirra rasa berbaloi juga dia jauhkan diri daripada semua itu. Tinggal lagi dia tidak tahu sama ada dia boleh berjauhan daripada Rashdan atau tidak. Kalau tidak boleh, terpaksalah Adirra terima tawaran Azura. Bolehlah dia berjumpa dengan Rashdan selalu nanti. Itupun kalau Rashdan masih sudi berkawan dengannya. Kalau tidak, terpaksalah Adirra fikirkan cara lain untuk mencari kebahagiaan hidupnya.

Sedaya upaya Tuan Zahari bangun samata-mata hendak makan malam bersama Rashdan. Tidak mahu Rashdan rasa apa-apa selepas ini. Kini Tuan Zahari sedar, sedikit tidak, sikapnya sudah menimbulkan salam faham buat Rashdan. Jadi tidak salah kalau Rashdan bersikap dingin dengannya selama ini.

“Ayah, kenapa ayah bangun kalau masih tak sihat?” tegur Adam perlahan, mengingatkan Encik Zahari.

“”Ayah nak makan malam bersama. Dah lama sangat kita tak makan bersama,” jelas Tuan Zahari akan hajatnya.

“Tapi abang tak sihat lagi.” Puan Khaleda tumpang menegur. Kurang senang melihat kedegilan suaminya.

“Dah lama abang tak makan dengan Rashdan. Mana dia? Dia tak makan sekali?” tanya Tuan Rashdan. Langsung tidak menghiraukan teguran anak dan isterinya.
Adam dan Puan Khaleda saling berpandangan. Susah keduannya hendak menjawab soalan Tuan Zahari itu. Bukan mereka tidak tahu siapa Rashdan sebenarnya. Puan Khaleda juga bimbang kalau-kalau sikap buruk Rashdan bakal menambahkan lagi sakit suaminya.

“Adam, pergi panggil abang kamu. Kita makan sekali.” Desak Tuan Zahari tanpa mengira perasaan Adam ketika itu.
Adam pandang lagi wajah ibunya dengan perasaan serba salah. Ketika itu Puan Khaleda tunjukkan isyarat mata agar Adam menurut. Perlahan Adam bangun, menurut perintah walaupun dia sendiri sudah tahu akibatnya.

Adam ke bilik Rashdan. Dengan perasaan yang gementar dia ketuk perlahan pintu bilik Rashdan. Berkali-kali Adam ketuk pintu bilik Rashdan, tetapi langsung tiada jawapan. Ketika Adam mula berputus asa, masa itulah Rashdan buka pintu biliknya.

“Ayah ajak makan sekali,” pelawa Adam. Dia tidak berani hendak melihat muka Rashdan. Takut diherdik seperti selalu.

“Hmm, makanlah dulu. Kejap lagi aku turun!” jawab Rashdan sambil tutup semula pintu biliknya.

Adam rasa sangat terkejut melihat sikap Rashdan. Tidak lagi menengking dan memarahinya seperti selalu. Kali ini nampak lebih bersopan santun.

“Siapa tu?” soal Adirra sebaik sahaja menyambung perbualan mereka.

“Adik abang,” beritahu Rashdan.

“Lelaki atau perempuan?” soal Adirra lagi.

“Lelaki!”

“Handsome?”

“Amboi, gatalnya!”
Adirra tergelak.

“Kalau handsome kenen-kenenkanlah kat Irra!” tambah Adirra.

“Kenapa kenenkan adik, kalau abang dah ada!” ujar Rashdan.

“Sebab abang tu garangnya nampak semacam saja. Tak ada romantis langsung, takut nak buat suami. Takut kena tengking selalu! Keringlah air mata Irra. Irra mana boleh kena marah sikit. Mulalah banjir satu kampung!”

“Eh! Tak cuba tak tahu lagi. Mana tahu abang boleh jadi suami yang romantis.”

“Irra macam salah dengar aje. Abang ke yang cakap tu?” Rashdan dengar Adirra ketawa dengan kuat.

“Irra mainkan abang ya! Nantilah dia.”

“Kita dah jauh, abang tak boleh nak apa-apakan Irra!”

“Kalau sekarang abang datang Bukit Senyum macam mana?”

“oh! Tidak, Irra lari dulu!”

“Tahu takut..!”

“Okeylah. Abang pergilah makan dulu. Nanti kita berbual lagi.” kata Adirra. Sekaligus dia cuba ingatkan Rashdan juga.

“Ah! Nanti-nantilah makan tu.”

“Abang tak boleh macam tu. Kenalah makan bersama. Abang nak kahwin dengan Irra tak? Kalau nak kahwin dengan Irra, abang kena tunjuk teladan yang baik pada Irra. Abang tak boleh ikut perangani Irra sebab nanti-nanti abang yang kena tegur Irra. Mana boleh abang nak tegur Irra kalau perangai abang sama macam Irra. Lagi rosak nanti!”

Rashdan terdiam seketika. Cuba memahami apa maksud kata-kata Adirra. Tapi bila dia fikir semula, seperti Adirra sedang menaruh harapan. Mungkin itulah harapan Adirra, jadi apa salahnya Rashdan berusaha untuk memenuhi impian Adirra itu.

“Baiklah sayang. Abang pergi makan sekarang. Nanti kita berbual lagi.”

“Okey abang. Tapi masa makan tu ingat-ingatlah Irra. Suapkan untuk Irra sekali!”

“Hmm…”
Selepas bercakap dengan Adirra, Rashdan terus ke ruang makan.

“Jemput makan Rashdan,” ajak Tuan Zahari. Mulanya air muka Rashdan sudah berubah, tetapi tiba-tiba saja dia seperti terdengar suara Adirra. Jadi Rashdan cuba bertenang. Betul, dia perlu jadi lebih baik daripada Adirra barulah dia dapat menegur Adirra.

Rashdan duduk dan dia senduk nasi.

“Ayah dah okey?’ soal Rashdan tenang. matanya meliar mencari lauk yang sesuai dengan tekak.

“Dah boleh bangun sikit!” jawab Tuan Zahari tenang.

“Kalau tak sihat lagi tak perlulah ayah bergerak selalu. Nanti jantung ayah tu tambah bermasalah. Rehat saja dulu. Tak payah nak fikir pasal apa-apa lagi!” tegas Rashdan tapi dalam nada yang bersahaja.

“Hah! Tunggu apa lagi? Kenapa tak makan?” soal Rashdan bila melihat Puan Khaleda dan Adam masih belum makan.

Cepat-cepat Adam dan Puan Khaleda menyuap nasi. Pertama kali mereka merasakan Rashdan begitu berbeza. Sudah ada tanda-tanda Rashdan mula menunjukkan perubahan. Kalau dulu, hendak makan bersamapun jangan harap. Puan Khaleda penuh mengharap selepas ini, Rashdan akan terus begitu. Kalau tidak banyak, cukuplah sedikit. sekurang-kurangnya Rashdan mahu menerima kenyataan yang sebenar.
Rashdan terus makan. Dia tidak pedulikan sesiapa selepas itu. Setiap kali dia suap nasi, setiap kali itulah dia teringatkan Adirra. Kalaulah Adirra dekat, mahu dia suapkan Adirra.

———————–

Bab 15

Rashdan sudah kembali selepas hampir tiga bulan dia merajuk diri. Akhirnya dia kembali juga. Sekalipun dia sudah tawar hati tetapi disebabkan tanggungjawab dan amanah, Rashdan tidak boleh terlalu mengikut kata hati.

“Hmm…selamat kembali,” sapa Maya dengan mesra, kenalan keluarganya yang juga salah seorang pekerja di syarikat tersebut. Maya tersenyum girang. Lapang hatinya melihat kehadiran Rashdan semula. Sudah lama dia merindui Rashdan.

Rashdan tidak jawab sapaan Maya. Terus duduk di kerusinya. Wajah Maya juga tidak dipandang. Sebenarnya dia kurang senang dengan Maya sejak dulu lagi. Mungkin sikap Maya yang suka mencampuri urusan Rashdan.

“Sepanjang awak tak ada di sini, saya yang jaga bilik awak ni,” kata Maya lagi. Sedikit bangga dan harap-harap Rashdan bakal menghargai apa yang telah dilakukannya.
Segera Rashdan tarik laci mejanya dan keluarkan buku cek.

“Berapa awak nak?” soal Rashdan. Masih tidak melihat wajah Maya.

Maya jadi terkejut. Walaupun kelihatan Rashdan sudah bersedia menulis sesuatu dibuku cek itu, tetapi Maya masih kurang faham akan maksud Rashdan sebenarnya.

“Berapa awak nak saya bayar sebab jaga bilik saya?” soal Rashdan dengan tegas.

“Eh! Saya tak minta apa-apa bayaranpun. Saya ikhlas nak jaga bilik awak ni,” kata Maya sambil buat-buat ketawa kecil. Perasaannya sudah berdebar melihat wajah Rashdan begitu. Memang Maya sudah sedia maklum akan sikap panas baran Rashdan. Jadi, dia agak takut.

“Kalau ikhlas, tak akan disebut. Kalau disebut jugak maknanya minta balasan. Cepat beritahu saya berapa awak nak? Jangan buang masa saya. Masih banyak kerja yang hendak saya uruskan!” tegas Rashdan lagi.

Maya lebih serba salah. Tidak sangka Rashdan masih tidak berubah. Tetap sama seperti Rashdan yang dikenali sebelum ini. Sangka Maya kehilangan Rashdan selama tiga bulan ini bakal merubah sikap Rashdan. Kalau tidak banyak cukuplah sedikit. Bukan Maya minta lebih-lebih, dia sekadar inginkan sedikit perhatian daripada Rashdan. Tetapi nampaknya tiada apa yang berubah.

Akhirnya Rashdan tulis juga dengan perkataan sebanyak tiga tibu di atas cek tersebut. Diturunkan tanda tangannya dengan kasar, ditarik cek itu dari bukunya juga dengan cara yang kasar.

“Nah, kalau tak cukup awak minta lagi.” Rashdan hulurkan cek tersebut kepada Maya. Maya terus jadi serba salah. Kalau dia menolak, mungkin suara Rashdan bakal bergema di seluruh bangunan. Kalau diterima pula, tentu Rashdan akan terfikir yang bukan-bukan. Tetapi untuk tidak memanjangkan cerita, terpaksalah Maya ambil cek tersebut walaupun rasa sangat berat dan begitu serba salah sekali.
“Terima kasih!” ujar Maya dengan perlahan. Rasa berat dan serba salah tadi masih lagi menguasai Maya sehingga tanggannya terketar-ketar.
“Tolong panggilkan Zakuan,” arah Rashdan pula.

Di situ Maya sudah faham. Rashdan sedang menggunakan bahasa paling sopan untuk menghalaunya. Dengan perasaan kecewa Maya melangkah keluar dari bilik Rashdan. Wajahnya kekal muram sebaik sahaja duduk di tempatnya. Seketika dia hanya mampu memandang cek ditangannya. Tiba-tiba saja perasaannya disergah sayu. Entah kenapa, sehingga kini Rashdan langsung tidak mahu memahami perasaan Maya. Langsung tidak melihat akan kasih sayang Maya terhadap diri Rashdan.

“Cek apa pulak tu?” Tanya Zakuan dengan perasaan ingin tahu. Pelik melihat Maya dapat sekeping cek waktu-waktu tengah bulan begini.

Perlahan Maya gelengkan kepalanya. Tidak mahu Zakuan tahu cerita sebenar disebalik cek tersebut. Tentu saja memalukan Maya.
“Err…, dia nak jumpa awak.” Maya baru teringat akan pesanan Rashdan. Kalau Zakuan tidak muncul sendiri, mungkin Maya boleh terlupa akan pesanan tersebut. Perasaan Maya masih terganggu dengan sikap Rashdan membuatkan dia terlupa akan segalanya.
Zakuan tidak bertanya lagi selepas itu. Terus saja ke bilik Rashdan.

“Selamat kembali!” Zakuan hulurkan kedua tangannya seperti hendak memeluk Rashdan. Rashdan bangun dan terus peluk Zakuan.

“Gembira sangat sebab akhirnya kau balik jugak!” kata Zakuan ketika meleraikan pelukan.

“Sebab aku ingatkan kau saja. Kalau tidak tak ingin aku nak balik!” jawab Rashdan. Dia kembali duduk.

“Bagaimana dengan percutian kau? Puas hati?” soal Zakuan sambil duduk berhadapan meja Rashdan.

“Hmm…” angguk Rashdan. Kemudian tersenyum. Panjang senyumannya dan ketika itu dia betul-betul rasa gembira.
“Dah lega sikit? Atau masih membara dengan perasaan dendam.” Zakuan merisik rahsia. Mana tahu kawan baik yang terkenal dengan sikap serba tak baik itu masih lagi menyimpan perasaan dendam.

“Entahlah, setakat ni semuanya masih sama. Aku tetap tak boleh maafkan mereka.” Rashdan menyemak beberapa dokumen yang bakal dibawa ke bilik mesyuarat sebentar nanti.

“Tapi mujur kau balik. Kalau tidak lepas ni aku terpaksa cari kerja lain.” seloroh Zakuan.

“Sebenarnya aku memang tak nak balikpun. Lebih baik aku jaga lembu daripada jaga benda-benda ni…” ujar Rashdan. Beberapa fail dicampak perlahan di hadapan Zakuan.

Zakuan sekadar melihat wajah Rashdan yang nampak tak berubah langsung. Tiada sebarang perubahan. Masih seperti Rashdan sebelumnya.

“Err…” Rashdan menyandar di kerusinya sambil bermain dengan pen. Kemudian dia melihat wajah Zakuan bersama seulas senyuman. Ingin sekali berkongsi saat bahagia itu bersama teman rapatnya.

“Apa halnya. Senyum tu semacam saja. Betul tak betul ni…” Pelik juga Zakuan rasakan bila senyuman Rashdan tiba-tiba saja sudah terukir dibibir yang pernahnya nak senyum.

“Aku dah jumpa sekuntum bunga. Cantik sangat.” Senyuman Rashdan kian galak.

“Di Bukit Senyum tu punyalah banyak bunga, kenapa kau jumpa sekuntum saja?” soal Zakuan ingin tahu.

“Bunga yang ini lengkap. Ada hidung ada mata ada telinga.”

“Oh! Bunga yang itu, baru aku tahu. Cantik sangat ke sampai hati kau boleh tertawan.” Soal Zakuan. Melihatkan cara Rashdan, tentu saja cakap-cakap teman baiknya itu bukan main-main lagi. Tentu kali ini Rashdan sudah benar-benar berkenan.

“Aku suka yang ini. Suka sangat-sangat.” ujar Rashdan bersungguh lagi. Waktu itu wajah comel Adirra sudah memenuhi segenap ruang ingatannya.

“Habis tu apa tunggu lagi, suntinglah cepat. Karang kalau terlepas ke tangan orang lain, mahu putih mata. Kalau setakat putih mata tak apa lagi. Buatnya frust menonggeng, aku jugak yang susah nanti!” Zakuan tak sudah mengusik.

“Nantilah dulu. Kena sabar sikit. Kau ingat senang aku nak pikat dia? Inipun dah setengah nyawa aku pikat dia. Masih tak jalan-jalan lagi! Akupun tak tahu nak buat macam mana lagi nak pikat dia tu. Susah betul!” kata Rashdan seperti mengeluh.

“Hai, lelaki macam kaupun susah nak pikat. Rupa ada. Duit banyak. Apa lagi yang kurang. Mustahil itupun kena tolak juga!” Zakuan dah tergelak.

“Kau ingat yang ini macam bunga-bunga lain? Dia tak hairanlah aku banyak duit ke tidak!”

“Hah! Baguslah tu. Nak tunggu apa lagi. Aku takut kau terlambat saja.”

“Err…bunga ni lain macam sikit. Cantik tetapi macam beracun.” Rashdan masih berpusing-pusing.

“Kalau tahu beracun kenapa nak usik juga. Nak cari penyakit. Punyalah banyak bunga yang ada madu, yang beracun jugak jadi pilihan! Tak faham betullah aku dengan kau ni. Selera pelik-pelik!”

“Entahlah, mungkin selera aku jenis yang macam ini agaknya.” Kali ini Rashdan tumpang sama tergelak.

“Hmm, suka hati kaulah. Janji kau bahagia. Ingat kita ada meeting pukul sepuluh,” kata Zakuan sebelum tinggalkan Rashdan sendirian. Melihatkan keadaan Rashdan begitu, Zakuan tumpang bahagia.

Waktu tiba di bilik mesyuarat semua pekerja lain sudah sedia menunggu. Rashdan terus duduk tanpa melihat sesiapa. Wajahnya terus-terusan masam itu nampak sangat mengerunkan.
“Kita ada ambil tiga orang lagi pekerja baru. Dua menggantikan pekerja yang berhenti dan seorang sebagai pekerja tambahan,” kata Zakuan memulakan mesyuarat mereka.

Rashdan terangguk-angguk. Masih tidak melihat wajah sesiapa. Dia mula bosan. Melihat graf-graf yang terlakar di dalam setiap fail buat dia rimas.

“Selama ketiadaan saya, apa masalah paling ketara sehinggakan perkhidmatan kita teruk sangat?” soal Rashdan sebaik sahaja Zakuan selesai memperkenalkan pekerja baru.
Masing-masing tunduk. Terutama penyelia-penyelia bahagian penghantaran.

“Kalau kamu semua bekerja dengan betul, saya rasa masalah-masalah seperti sekarang ni tak akan berlaku. Tak timbul aduan kelewatan penghantaran.” Rashdan campak fail yang di lihat sebentar tadi ke tengah meja bulat tersebut.

Masing-masing diam. Takut dengan amukkan Rashdan.

“Terus terang saya cakap, kalau syarikat ni bankrap, sikitpun kehidupan saya tidak terjejas. Saya masih boleh makan kalau syarikat ni tutup. Tak ada masalah buat saya. Tapi bagaimana dengan nasib kamu semua? Bagaimana nasib pekerja lain?” Rashdan perhatikan seorang demi seorang wajah pekerjanya.

“Atau sebab Adam? Sebab dia tu jenis tak tahu nak marah orang, main ikut saja cakap orang, kamu semua pijak kepala dia? begitu?” Marah Rashdan pula.

Zakuan terus melihat wajah Rashdan. Dia rasa sangat pelik bila Rashdan bercakap seperti itu. Selama ini dia tahu benar, Rashdan begitu memusuhi Adam, adik yang berlainan ibu itu.
Tiba-tiba telefon bimbit Rashdan berbunyi. Sekaligus membuat semua pekerja tersentak. Sebelum-sebelum ini dia sendiri yang keluarkan arahan agar tiada siapa membawa telefon bimbit di bilik mesyuarat, kali ini terbalik pulak. Masing-masing melihat ke arah Rashdan. Tanpa memperdulikan sesiapa, Rashdan tarik keluar telefon bimbitnya dari poket seluar. Tertera di skrin dengan perkataan my sweetheart. Rashdan tersenyum. sekejap itu pula rasa marah Rashdan hilang.

Namun cara Rashdan tersenyum sudah membuatkan perasaan Maya cemas. Mustahil dia tidak rasa apa-apa bila senyuman Rashdan kelihatannya sangat istimewa. Apakah panggilan yang di terima itu dari orang istimewa juga. Kemungkinan itu sangat tinggi kerana sebelum ini susah benar Rashdan tersenyum begitu.

“Helo sayang,” ujar Rashdan sambil tersenyum lagi. Kali ini kian melirik-lirik.

Waktu itulah Maya rasakan jantungnya seperti hendak putus. Rashdan menyebut sayang pada seseorang?

“Helo abang, Irra ni…” kata Adirra. Terkejut juga bila Rashdan menyebut perkataa sayang.

“Ya, abang tahu. Abang mana ada kawan perempuan lain selain sayang,”

“Oh! Ya ke? Irra tak ganggu abang ke?” soal Adirra.

“Taklah.”

“kalau abang sibuk, abang beritahulah Irra.”

“Tak sayang. Abang tak sibuk,” kata Rashdan sambil keluarkan isyarat meminta beberapa fail yang hendak di periksa daripada Maya.

“abang, kat sini hujan lebatlah! Sejuk sangat!”

“Oh! Ya? Kat sini pulak terang benderang. Tak hujan langsung.”

“Tak apalah bang, Irra nak cakap kat sini hujan saja. Assalamualaikum!”

“Eh! Sayang nanti kejap…” Namun waktu itu suara Adirra sudah tidak kedengaran lagi. Hmm, suka-suka hati dia saja. Rashdan tersenyum sendirian. Tahu apa yang sedang Adirra alami ketika itu. Gadis itu sedang kebosanan. Kalau tidak masakan hendak menghubunginya waktu-waktu begitu. Kalau setakat hendak menjadi penyampai kaji cuaca mungkin tidak.

Tak apalah. Sekurang-kurangnya ada perkembangan baik. Sekalipun sekadar tempat untuk Adirra melepaskan rasa bosannya, Rashdan rela juga kalau itu boleh menjadi penghubung kasih mereka. Mudah-mudahan…

“Di mana kita tadi…?” soal Rashdan sebaik sahaja masuk telefon bimbitnya di tempat asal. Bibirnya masih tidak lekang dengan senyuman membuatkan pekerja yang sudah lama mengenalinya agak kehairanan. Mana perginya sifat angkuh dan sombong Rashdan selama ini? Sebelumnya bukan saja susah untuk melihat Rashdan tersenyum bahkan nak bercakap pun jarang mereka dengar kecuali bila dia menengking dan mengherdik.

“kita ada ambil pekerja baru.” Ulang Zakuan. Ambil kesempatan agar Rashdan tidak ungkit semula perlihal perkara yang membangkitkan kemarahannya sebentar tadi. Dengan arahan tangan Zakuan, ketiga-tiga pekerja itu bangun.

“Emmm… Harap semua dapat bekerja dnegan bersungguh. Di sini bukan tempat kamu makan gaji buta. Setiap bayaran yang kamu terima harus dibayar dengan kerja yang setimpal.” Rashdan bersuara tanpa memandang wajah sesiapa. Dia kembali dengan sikap tegasnya. Suaranya yang agak kuat itu sudah mempu membuatkan sesiapa terkejut bila mendengarnya buat pertama kalinya.
Itulah yang dirasa oleh Natrah. Gerun dia melihat majikannya. Sebelumnya dia ada juga mendengar beberapa orang kaki tangan perempuan mengutuk Rashdan, tetapi tidak diendahkan Natrah. Selagi tidak melihat dnegan mata kepala sendiri, Natrah sukar untuk mempercayai cakap-cakap sesiapa juga. Dan kini ternyata semua cakap-cakap mereka itu ada benarnya. Tapi yang peliknya lelaki ini boleh pula bercakap gaya manja dengan seeorang sebentar tadi. Apakah dia sudah ada teman wanita? Siapalah gadis yang malang itu fikir Natrah.
Sehinggalah mesyuarat mereka berakhir barulah Natrah sangat lega.

“Begitu ke sikap bos kita tu?” soal Natrah kepada Uji memandangkan Uji lebih lama bekerja di situ.

“Itu kira sikap dia yang paling baiklah yang aku pernah tengok. Kalau tidak, nak tengok dia senyum pun susah. Tadi, pasal rungutan pelanggan tentang penghantaran barang terlewat memang masalah besar, silap haribulan mengamuk sakan dia. Dia paling pantang kalau ada complain dari pelanggan.” Beritahu Uji secara berbisik.

“Yang dia sebut sayang-sayang tu siapa pulak?” Risik Natrah ingin tahu.

“Itu aku tak tahu. Mungkin girlfriend dia agaknya. Beruntung betullah siapa yang jadi kekasih dia.” Kata Uji sambil tersenyum. Tak terbayang lelaki serba tak baik itu kalau mempunyai teman wanita.
Rashdan dan Zakuan masih berada bilik mesyuarat walaupun mesyuarat hari itu sudah selesai.

“Rashdan, aku pelik sangat tengok kau ni. Kalau sebelum-sebelum ni kau memang tak nak sebut langsung pasal Adam. Tapi tadi kau dah sebut nama Adam!” soal Zakuan bersama perasaan ingin tahu.
Rashdan hanya tersenyum. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia boleh bercakap tentang Adam.

“Kau dah boleh terima dia?”

“Entahlah. Banyak perkara yang aku fikirkan kebelakangan ini. Aku rasa dah tiba masanya aku suruh dia kerja di syarikat ni.”

“Tapi sebelum ni kau membantah keras. Sampaikan merajuk-rajuk bawa diri!”

“Dulu aku tak fikir apa-apa. Aku ikutkan kata hati aku saja. Tapi sejak aku kenal dengan gadis yang aku suka ni, aku rasa, aku dah banyak buat kesilapan. Sepatutnya aku harus memperbaiki keadaan dari terus-terusan menyimpan rasa dendam!”

“Huh! Dahsyat betul pengaruh gadis tu.” kata Zakuan sambil bangun. Dia terus keluar dari bilik mesyuarat tanpa menanti Rashdan terlebih dahulu.
Rashdan segera mencari telefon bimbitnya sebaik sashaja Zakuan hilang dari pandangannya. Tidak sabar-sabar lagi hendak menghubungi seseorang.

“Helo sayang, hujan dah berhenti?” soal Rashdan.

“Abang janganlah panggil Irra sayang. Buruk sangat bunyinya!” rungut Adirra.

“Okeylah kalau macam tu. Abang sedarlah siapa abang ni. Nak menumpang sayang pun tak boleh. Abang ni bukan ke buruk…..” Rashdan buat-buat merajuk pulak. Tahu selepas ini bersungguh pula Adirra memujuknya. Sekali dua dia tahu juga sikap Adirra itu bagaimana.

“Abang ni, dah mula buat perangai dia. Tua-tua nak merajuk. Bukan Irra tak suka abang nak menumpang sayang, tapi janganlah sebut sayang-sayang dnegan Irra, naik geli Irra dengar.” Adirra cuba memujuk.

Di situ Rashdan sudah tersenyum lebar. Benar belaka tekaannya. Gadis seorang ini sesungguhnya pandai memujuk. Terbayang sudah akan wajah Adirra yang comel ketika ini. Kalaulah ketika ini dia ada di sisinya mahu dicubit pipi comel itu.

“Iyalah, siapalah abang…” Tak sudah Zahim mengusik.

“Dah, dah. Karang Irra tutup telefon ni.” Ugut Adirra pula.

“Hemm… Kenapa tiba-tiba telefon abang?” Sebenarnya itulah tujuan dia menghubungi Adirra semula tetapi melalut-lalut ke perkara lain.

“Sebenarnya Irra tertekan nombor abang. Irra nak hubungi kawan Irra sebenarnya..” kata Adirra. Pengakuan yang tidak berapa jujur. Memang Adirra cuba menghubungi Rashdan sebentar tadi tetapi malu untuk mengaku.

Rashdan tersenyum sendirian. Kata hatinya bijak sungguh gadis ini mencari alasan. Kalau rindu, katalah rindu. Tak ada siapa yang akan marah. Lagi Rashdan suka.

“Maaflah, kalau Irra ganggu abang. Bos abang tak marah ke Irra telefon abang tengah meeting tadi?” soal Adirra.

“Tak, siapa yang berani marah abang?”

“Abang ni, berlagak betul.”
Rashdan rasa perkataan yang paling sedap didengarnya daripada mulut Adirra ialah bila Adirra menyebut perkataan ‘abang ni’, manjanya semacam.

“Siapa yang berani marah abang, naknya kalau Irra yang telefon.” Rashdan percaya mesti perkataan ‘abang ni’ bakal menyusul dari mulut comel itu.

“Abang ni….”
Terburai ketawa Rashdan sudahnya. Betul tekaannya.

“Okeylah bang, Irra nak jaga gerai ni. Nanti kalau senang Irra call abang.” Putus Adirra begitu. Makin lama dia bercakap, makin susah nak di layan cakap lelaki seorang ini. makin mengada-ada.

“Okey, sayang. Kerja baik-baik.”

“Abang….!” Adirra menjerit. Rashdan sudah terlupa akan janjinya. Cepat-cepat Rashdan gosok telinganya. Jeritan Adirra tadi hampir saja begitu menyakitkan gegendang telinga Rashdan. Kalau begini selalu mahu pekak dia dibuatnya.

“Sekali lagi abang cakap macam tu, kita putus hubungan. Tak ada kawan-kawan lagi.” ugut Adirra bersungguh.

“Okey, okey abang janji.” Rashdan masih ketawa. Suka benar dia mendengar suara Adirra begitu. terubat sedikit rasa rindunya.

“Dah, Irra nak tutup telefon. Assalamualaikum!”

“Waalaikumusalam.”
Suara Adirra tidak lagi kedengaran. Yang terdengar hanya suara-suara hati Rashdan berbisik-bisik. Emm…Rindunya dengan dia ni. Dan kerana bisikan-bisikan kecil itu, Rashdan rasa perasaannya benar-benar merimbun dengan perasaan itu. Perasaan rindu. Benarkah itu namanya rindu? Kalau benar bermakna tidak lama lagi dia bakal demam pula. Demam rindu.
Aduhai perasaan. Di usia begini janganlah hendaknya diterokai rasa begitu. Tak lalu rasanya nak menanggung semuanya. Rashdan gosok perlahan dadanya. Memujuk adanya. Tetapi rasa aneh itu tidak berganjak walau sedikitpun.

“Aduh, parah aku kalau begini,” rungut Rashdan sendirian. Dia bangun. Berdiri di tepi tingkap. Dari tingkat tiga dia melihat ke bawah. Merenung pokok yang di tanam secara beratur berhampiran bangunan miliknya. Kehijuannya mengingatkan dia akan keindahan Bukit Senyum. Bukan dia bersungguh untuk mengingati tempat itu, tetapi dik kerana tempat itu adanya gadis bernama Adirra, maka secara tidak langsung hijau dedaunnan yang di pandang tentu saja tertuju ke arah itu.

“Adirra, Adirra, Adirra.” Berkali Rashdan sebut nama itu dengan harapan apa yang dialami ketika ini bakal beransur pergi. Pergilah dulu segala rindunya. Kelak dia akan bertemu juga dengan gadis comel itu.

—————
Kami di penulisan2u memerlukan Undian dan Vote untuk pertandingan ” Blogger of the year ” anjuran Digi dengan kerjasama Astro, Hitz.Fm dan juga Radio Era. Pembaca dan penulis diharap menyokong kami dengan mengundi kami. Klik saja banner / logo Vote yang berwarna kuning di bawah. Sokongan anda amat kami perlukan. Undilah kami 1 kali setiap hari

Bab 16

Suasana makan malam di kediaman Encik Malek tidak banyak bezanya dengan malam-malam selepas ketiadaan Adirra. Semuanya serba hambar dan tawar. Sudah hilang keindahannya. Puan Umi juga sudah buntu. Tidak tahu untuk lakukan apa-apa. Ketiadaan Adirra benar-benar merubah keadaan.

Hakikatnya Puan Umi lebih rela berhadapan dengan kerenah Adirra berbanding sekarang ini. Suasana menjadi sangat sepi. Encik Malek jarang sekali mahu berbual dengan Puan Umi apatah lagi hendak bergurau seperti Adirra masih tinggal bersama dahulu.

“Kalau abang rasa Umi dan Natrah yang menjadi punca Adirra tinggalkan rumah, Umi rela kita berpisah.” Akhirnya Puan Umi luahkan juga apa yang terpendam. Dia tidak sanggup lagi melihat Encik Malek dalam keadaan begitu. Encik Malek sentiasa murung dan berduka cita. Rasanya rumah tangga yang baru dibina itu juga sudah tiada bahagianya. Jadi apa guna dia mengharap lagi.

Encik Malek diam sahaja. Dia sendiri tidak tahu untuk memberikan sebarang jawapan. Perlukah perpisahan untuk memulihkan keadaan?

“Umi tahu, Adirra memang tak perlukan Umi, jadi apalah gunanya kita teruskan kalau semua ini hanya sekadar menyakiti hati Adirra.” tambah Puan Umi bersama perasaan sedih yang tidak terungkap lagi. Tidak sangka dia bakal berhadapan dengan masalah seperti itu. Sangkanya semuanya akan bersifat sementara. Lambat laun Adirra akan terima juga dirinya. Tetapi semuanya memburukkan lagi keadaan.

“Berilah masa untuk abang fikirkan semua ini. Abang minta maaf kalau semua ini membuatkan Umi terluka, tetapi abang benar-benar sayangkan Adirra. Dialah satu-satunya anak abang. Dialah harta yang abang ada di dunia ini. Abang tak mahu kehilangan dia!” jawab Encik Malek perlahan. Kemudian dia bangun meninggalkan meja makan bersama wajah murung. Encik Malek langsung tiada selera untuk makan. Sejak ketiadaan Adirra, kesihatan Encik Malek juga terganggu kerana makan minumnya seperti sudah diabaikan. Encik Malek terlalu merindui Adirra sehingga dia tidak boleh berfikir apa-apa lagi.

Air mata Puan Umi luruh juga walaupun dia cuba bertahan. Nampaknya dia masih tidak berjaya untuk menawan hati Encik Malek. Kalau begitu keadaannya, tiada apa lagi yang boleh harapkan lagi. Ternyata kehadirannya benar-benar tidak diperlukan sejak mula lagi,

“Mama, apa mama cakap ni? Sebab perempuan tak guna tu mama nak lepaskan kebahgiaan mama? Mama nak mengalah begitu saja? Mama nak lepaskan semua peluang yang ada? Mama jangan terlalu ikut sangat perasaan! Jangan diikut sangat kehendak perempuan tu tak guna tu!” marah Natrah. Dia benar-benar sakit hati dengan Adirra ketika itu. Selama ini, Adirralah punca segalanya.

“Natrah, kenapa cakap Adirra macam tu. Kalau Pak Cik Malek dengar, lagi kecik hati dia.” marah Puan Umi.

“Ah! Biarlah pak cik dengar. Barulah dia tahu anak dia tu macam mana. Ingat bagus sangat perangai. Menyusahkan orang saja. Sebenarnya dialah punca semua ni. Kalau tak disebabkan dia, perkara ni tak jadi macam ni…” Marah Adirra lagi.

“Mama tak boleh buat apa-apa Natrah. Perkahwinan ni buat banyak hati yang terluka. Mama kira baiklah mama beralah kalau boleh kembalikan keadaan seperti biasa.”

“Mama, sepatutnya dengan ketiadaan perempuan tu mama gunakan sepenuhnya untuk tambat hati pak cik. Mama tak boleh mengalah begitu saja. Mama kena usahakan sesuatu untuk buat pak cik lupakan anak dia yang tak guna tu” desak Natrah.

“Dahlah Natrah. Mama tak nak rampas apa-apa. Mama redha saja dengan apa yang berlaku selepas ni. Kalau jodoh mama sampai setakat ini saja, mama terima saja ketentuan takdir. Mama akan terima.”

“Mama tak boleh macam ni. Sekarang ni mama yang berkuasa dalam rumah ni. Mama punya hak yang lebih berbanding anak Pak Cik Malek tu. Mama dah jadi isteri pak cik. Sekarang ni semua harta Pak Cik Malek, harta mama juga. Mama nak lepaskan semuanya? Mama nak hidup susah seperti sebelum-sebelum ni?”

“Tapi Natrah, mama tak inginkan kehidupan seperti sekarang ni. Semua orang tak gembira. Mama sikitpun tak terfikir nakkan kemewahan. Mama hanya ingin menumpang bahagia. Sebab mama ingatkan Pak Cik Malek seorang lelaki yang boleh memberikan kebahagiaan buat mama!”

“Pak Cik Malek tu memang baik orangnya. Tapi sebab terlalu baiklah dia jadi macam tu. Takutkan anak sendiri. Nak cari kebahagiaanpun susah!” Natrah masih tak susah-sudah lagi.
Puan Umi mengeluh lagi.

“Mama, percayalah. Nanti Pak Cik Malek akan biasa juga dengan ketiadaan anak kesayangan dia tu. Mama tu yang tak pandai nak ambil kesempatan. Inilah peluang mama nak rebut semuanya. Ambillah hati pak cik tu. Jangan nak menyerah saja!” desak Natrah. Tak akan sama sekali membiarkan mamanya menyerah kalah begitu saja dan membiarkan apa yang bakal mereka miliki hilang begitu saja. Dia akan berusaha bersungguh-sungguh untuk pertahankan segalanya dan akan pastikan semuanya menjadi miliknya dan mamanya. Natrah mahu Adirra berputih mata.
Puan Umi hanya berdiam diri selepas itu. Dia sendiri tidak tahu untuk berfikir apa-apa lagi. Kelihatan seperti sudah tiada jalan untuk menyelamatkan keadaan.

Selesai makan malam, Natrah terus keluar. Saban malam dia begitu. Waktu-waktu yang ada akan dihabiskan dengan berbual dengan Zafril di halaman rumah masing-masing. Natrah akan berbuai di buaian besi, sementara Zafril akan duduk di kerusi di halaman rumah mereka.

“Kenapa ni? Nampak macam tak gembira saja?” tegur Zafril bila melihat wajah Natrah begitu masam sekali.

“Perempuan tak guna tu punya pasallah. Ingatkan dia tak ada rumah ni akan aman. Rupanya dia tak ada, keadaan jadi tambah teruk!” bebel Natrah. Sudah tidak boleh dibendung lagi perasaan marahnya. Betul-betul dia marah.

Zafril tarik nafas panjang. Susah untuk dia berbicara lebih-lebih tentang Adirra. Nanti Natrah akan terasa. Mula ungkit yang bukan-bukan. Pertengkaran kecil pasti akan berlaku. Untuk mengelak dari semua itu berlaku, Zafril lebih suka memilih untuk mendiamkan diri.

“Entah-entah, awakpun rindukan dia jugak!” kata Natrah sambil jeling Zafril. Sikap berdiam diri Zafril buat Natrah kurang senang. Dia mula terfikir yang bukan-bukan.
Zafril tidak bersuara juga. Rasa begitu serba salah.

“Betul awak rindukan dia?” Tengking Natrah pula. Kurang sabar melihat sikap bisu Zafril yang serba mengelirukan sehingga dia mengandaikan Zafril sedang memikirkan tentang Adirra ketika itu.

“Kenapa pulak awak ni? Saya tak ingat pun dia. Kenapa suka fikir yang bukan-bukan” balas Zafril, mempertahankan dirinya. Tidak mahu Natrah terlalu menuduh dirinya untuk perkara yang bukan-bukan.

“Tipu! Awak mesti rindukan perempuan tak guna tu bukan? Sebab saya dapat tahu awak pun berusaha cari dia. Rupanya awak masih sayangkan dia!” marah Natrah. Tiba-tiba saja dia gagal untuk mengawal diri. Dari tadi dia sudah marahkan Adirra kini bertambah lagi dengan sikap Zafril.

“Memanglah saya ada cari dia. Itu bukan bermakna saya rindukan dia. Saya buat semua tu sebab kasihankan Pak Cik Malek saja. Tak lebih dari itu!” jawab Zafril. Dia sendiri kurang senang tuduhan Natrah yang tidak berasas sama sekali.

“Awak tipu! Awak tipu! Mesti awak masih sayangkan dia!” Natrah langsung tidak berpuas hati dengan penjelasan Zafril. Hatinya masih kuat menyatakan Zafril masih sayangkan Adirra.

“Memang saya pernah sayangkan Irra satu masa dulu, tapi itu dulu. Sekarang ni saya sayang awak seorang saja. Percayalah!” tegas Zafril. Suaranya juga sudah menjadi sedikit kuat.
Natrah diam selepas itu. Terkejut juga mendengar suara Zafril. Selama ini belum pernah Zafril meninggikan suaranya.

Zafril pula dapat rasakan ada sesuatu yang sedang menghempap perasaannya. Benarkah dia sudah tidak sayang akan Adirra? Begitukah perasaannya ketika itu sedang wajah Adirra, kadang-kadang bermain di fikirannya.

Mudahnya dia berubah. Cepatnya dia melupakan semua impiannya untuk bersama Adirra. Kenapa dia boleh jadi seorang lelaki yang betul-betul tiada perasaan?
“Betul awak sayang saya seorang saja?” soal Natrah setelah Zafril tidak bersuara.
Zafril kembali dengan sikap berdiam diri.

“Betul awak sayangkan saya?” desak Natrah. Seolah-olah apa yang terucap dari mulut Zafril sebentar tadi tidak mampu membuatkan Natrah percaya.

“Percayalah, awak seorang saja!” kata Zafril sambil tarik nafas panjang. Tapi ada nada tidak bersungguh pada kata-katanya kali ini.

Natrah senyum puas. Akhirnya berjaya juga dia memiliki kasih Zafril. Tidak sepayah mana rupanya. Tinggal lagi dia hendak mengambil hati Pak Cik Malek saja. Kalau boleh, Natrah mahu menguasai semua yang mempunyai hubungan dengan Adirra. Baru puas hatinya. Baru impiannya tercapai.

Tiba-tiba Natrah teringat Rashdan. Lelaki kaya yang menjadi sebutan para pekerja perempuan di pejabatnya. Hmm, kalaulah dia memiliki lelaki seperti Rashdan itu tentu dia akan hidup senang. Tidak perlu bersusah payah lagi. tetapi mampukah dia memiliki lelaki seperti itu.

Ah! Kalau tidak diusahakan bagaiman hendak tahu berjaya atau tidak. Nanti-nantilah dia fikirkan lelaki seorang itu. Sekarang ini dia harus fikirkan hal Zafril dan Pak Cik Malek terlebih dahulu.

“Hah! Ini kenapa pulak senyum sorang-sorang?” tegur Zafril bila melihat ada senyuman manis menghiasi bibir Natrah. Tiba-tiba saja Natrah boleh tersenyum sedang tadi bukan main marah.

“Tak ada apa-apa. Cuma nak senyum. Tak boleh ke?” soal Natrah.
Zafril gelengkan kepalanya. Tak faham dengan sikap Natrah yang suka berubah-ubah itu.

——————

Bab 17

Hari Sabtu itu Rashdan ke pejabat terlebih awal. Pukul 7.00 pagi dia sudah tiba. Pakaiannya juga terlalu ringkas. Berseluar jeans dan t shirt. Sekali pandang terserlahlah juga ketampanannya. Sempat lagi dia bertopi. Macamlah pejabatnya panas benar. Tetapi gaya begitulah yang Adirra suka, maka Rashdan akur juga dengan cita rasa Adirra. Kata Adirra dia paling tidak suka lelaki terlalu kemas. Adira suka yang biasa-biasa saja. Jadi untuk menambat hati gadis seorang itu, Rashdan akan lakukan apa saja.

Rashdan periksa semua dokumen yang memerlukan pengesahannya. Sekalipun hati Rashdan terlebih dahulu tiba di Bukit Senyum, tanggungjawab tetap tidak terabai. Tumpuan tetap diberikan demi menjaga Syarikat penghantaran yang sudah diusahakan oleh arwah ibunya. Amanah akan kekal sebagai amanah, walaupun Rashdan cuba mengelak beberapa kali. Lebih-lebih lagi dengan hadirnya Adirra di dalam hidupnya . Semahunya Rashdan ingin bebas. Bebas dari semua tanggung jawab. Dia hanya mahu menjadi lelaki yang biasa-biasa saja. Hidup juga biasa-biasa. Tidak terlalu dibebani tugas dan tanggung jawab.

Sekejap saja masa sudah menghampiri ke angka 9.30 pagi. Waktu itulah Rashdan keluar dari biliknya. Beberapa kaki tangan yang masih berbual sesama mereka terkejut bila melihat Rashdan di muka pintu biliknya. Tidak seorang pun yang menyangka bos mereka terlebih dahulu sampai.

Rashdan tidak menegur sebaliknya dia melihat jam dinding sebagai tanda sindirannya. Serentak dengan itu serba kelam kabut para pekerjanya ke tempat masing-masing.

Dengan wajah serius Rashdan melangkah ke meja Natrah. Beberapa fail yang sudah disahkan diletakkan di situ.

“Kemas kinikan semuanya. Saya nak hari Isnin semua ada di atas meja saya.” Arah Rashdan dengan tegas.

“Baik Tuan….” Kata Natrah dengan perlahan. Takut juga dia kerana dia salah seorang kaki tangan yang berborak tadi. Wajah Rashdan ditatap lama. Masa itulah hati Natrah mula berdetik-detik. Sudahlah segak bergaya, kaya pula tu. Hmm, alangkah bertuahnya dia kalau berjaya memiliki Rashdan. Bisik hati Natrah.

“Zakuan!” Lantang suara Rashdan memanggil nama kawan baiknya. Tanpa menunggu Zakuan, Rashdan kembali semula ke biliknya.
Beberapa ketika, Zakuan muncul bersama wajah separuh pelik. Cara Rashdan berpakaian sangat berbeza dengan kebanyakkan hari mereka berkerja.

“Aku nak ke Bukit Senyum sekejap lagi. Apa-apa hal kau tolong incharge. Telefon aku kalau ada perkara penting. ” Arah Rashdan sambil mengemas mejanya.
Zakuan gelengkan kepalanya. Memang benar-benar parah temannya seorang ini. Tak habis-habis dengan Bukit Senyum.

“Bukir Senyum lagi?” sengaja Zakuan bertanya.
Rashdan sekadar tersenyum sebagai tanda jawapannya. Tak pelulalh dia bercerita lebih lanjut kalau semuanya Zakuan sudah tahu.

“Emm…. Kalau macam ni, kau ajaklah dia kahwin cepat. Tak payah bersusah payah nak berulang alik selalu. Buatnya kau mabuk rindu setiap minggu, teruk kau di buatnya.” Usik Zakuan sambil tersenyum sinis.

“Aku mabuk rindu bukan hari minggu saja, setiap hari. Kalau ikutkan hati aku nak pergi sana tiap-tiap hari.” Kata Rashdan sambil bangun. Ditepuknya bahu Zakuan sebelum dia mula melangkah.

“Orang tak pernah bercinta beginilah jadinya. Kemaruk! Dunia pun dah tak ingat!” Sindir Zakuan yang juga melangkah beriringan dengan Rashdan.

“Sekarang baru aku tahu, cinta itu indah rupanya. Tak boleh diluahkan dengan kata-kata. Boleh buat kita lupa diri dan lupa segalanya…” Besungguh Rashdan menjelaskannya tetapi sesungguhnya dia percaya, Zakuan tak akan faham apa-apa. Zakuan tak akan mengerti perasaan yang Rashdan tanggung ketika ini. Tapi tak mengalah. Fikir Rashdan, Zakuan mengerti atau tidak itu tidak penting buat Rashdan.

“Apa-apapun jangan lupa nak balik pulak…” Pesan Zakuan kemudiannya.

“Petang esok aku baliklah, Kau jangan bimbang.” jawab Rashdan.

“Pujuk perempuan tu ikut kau. Aku tak sanggup nak tengok kau gila macam ni.”

“Bukan selalupun aku gila. Inilah kali pertama dan terakhir…” Kata Rashdan tersenyum mesra. Mereka terus melangkah beriringan.

“Nak ke mana ni…?” Tanya Maya sebaik sahaja Rashdan melintasi mejanya.

“Hai orang nak jumpa buah hati. Dah tak tahan menanggung rindu!” Zakuan cepat-cepat menjawab bagi pihak Rashdan. Rashdan pula langsung tak bersuara.
Wajah Maya serta merta bertukar kelat. Kelat sekelatnya. Hibanya tak terkata sebaik saja Zakuan menyebut perkataan buah hati. Jauh di sudut hati Maya masih menaruh harapan kata-kata Zakuan itu sekadar gurauan pagi Sabtu. Gurauan untuk mengusik perasaan Maya.

“Aku pergi dulu…” Kata Rashdan sebelum beredar.

“Ingat, pujuk dia baik-baik.” Pesan Zakuan lagi.
Waktu itulah Maya benar-benar percaya, cakap-cakap Zakuan bukan lagi sekadar gurauan. Zakuan bersungguh dan cerita tentang Rashdan itu juga tentunya benar.

“Dia nak ke mana tu..?” Tanya Maya perlahan sambil membendung seribu gundah. Rashdan diperhatikan sehingga hilang dari pandangan mata.

“Jumpa buah hati dialah. Mana lagi. Orang tengah mabuk asmara memang begitulah keadaannya. Siang malam tak senang.” Jawab Zakuan sambil melangkah menuju ke mejanya.
Maya terkedu sendiri. Hilang punca arah. Sekarang dia benar-benar sudah kehilangan Rashdan.

“Tuan Rashdan nak ke mana Cik Maya?” soal Natrah. Dia juga ingin tahu.

“Zakuan cakap dia nak jumpa buah hati dia!” jawab Maya jujur tetapi waktu itulah dia merasakan air mata sudah bergenang. Menantikan masa untuk luruh ke pipi.
Rashdan sudah ada buah hati? Betulkah? Betulkan hati lelaki itu sudah dimiliki? Soal Natrah sendirian. Ah! Di mulut naga lagi orang berani rebut, inikan pulak di tangan orang. Di situ Natrah yakin sangat-sangat, lelaki sangat mudah berubah hati.

“Eh! Abang! Bila abang sampai?” Terkejut Adirra melihat kemunculan Rashdan di hadapan gerai dengan tiba-tiba. Tersenyum sambil memandang Adirra dengan wajah yang cukup ceria.

“Baru sekejap tadi.” jawab Rashdan sambil matanya tak lepas dari pandang Adirra. Gadis yang sangat dirinduinya.

Adirra tidak memberi perhatian kepada Rashdan kerana dia sibuk membantu Kak Lina yang baru saja hendak memulakan perniagaan petang itu.
Sedang Rashdan masih lagi tersenyum sambil memerhatikan Adirra. Makin melebar senyumannya. Makin bersemangat. Seminggu tanpa terpandang, Rashdan nampak tiada perubahan pada Adirra. Hidungnya masih terletak, pipinya masih begitu, matanya tetap bulat, dan senyumannya. Senyuman itulah yang Rashdan terkenang saban siang saban malam. Betul-betul buat Rashdan tidak serupa orang!

“Apa hal pulak abang datang ke sini.” Soal Adirra selepas kerja-kerjanya selesai.

“Abang tertinggal sesuatu. Jadi abang ingat datang sini nak ambil balik.” Rashdan menjeling pula. Manja saja jelingannya.

“Penting sangatkah?” soal Adirra hairan. Cara Rashdan bercakap seperti sangat bersungguh. Seperti barang yang tertinggal itu terlalu penting buatnya.

“Penting. Sangat-sangat penting. Tak ada perkara lebih penting dari perkara ni. Soal hidup abang!” Jelas Rashdan bersungguh tetapi dalam nada seloroh. Kemudaoan Rashdan tersenyum lagi. Senang hati. Adirra pula terpaksa kerutkan dahinya kerana cuba mencari apa perkara yang penting sangat buat Rashdan itu. Namun sampai sudah dia gagal mengenal pasti perkara tersebut.

“Tapi tak tahulah sama ada boleh ambil semula atau tidak.” Rashdan seakan mengeluh pula. Mengeluh yang masih dalam nada seloroh.

“Pulak! Kenapa?” Adirra masih ingin tahu. Rashdan garu dahinya. Kemudian dia alihkan pandangnya ke arah hujung warung Kak Lina. Cuba mencari jawapan, tetapi akhirnya Rashdan sedar, dia sedang mencari kekuatan. Kekuatan untuk berterus terang.

“Abang, abang ada masalah?” soal Adirra tiba-tiba.

“Hah?” Rashdan sedikir terperanjat bila diajukan soalan begitu.

“Abang ada masalah? Irra nampak macam ada masalah saja. Apa yang abang cuba ambil semula tu? Kalau Irra boleh tolong, Irra akan tolong. Abang cakap aje…” Tanpa rasa terpaksa Adirra hulurkan cadangan. Dia memang sedia membantu Rashdan andai khidmatnya diperlukan.

“Abang nak ambil hati orang!” jawab Rashdan perlahan tetapi ada satu keyakinan sudah terbina dalam dirinya ketika itu. Hati orang itu bakal dia tawan tidak lama lagi. Tengoklah nanti!

“Hah? Apa bendanya?” Soal Adirra sedikit kuat. Seakan dia terdengar Rashdan bercakap tentang sesuatu. Tapi kurang jelas. Bunyi desiran goreng pisang menghalang Adirra untuk mendengar dengan lebih jelas lagi.

“Adalah….” Jawab Rashdan. Masih dalam nada perlahan. Wajah Adirra masih tetap ditatap dengan pandangan penuh makna. Betapa dia merindui wajah itu beberapa hari kebelakangan ini. Wajah itu jugalah buat Rashdan kurang sedar, dalam minggu ini entah berapa kali saja dia menjamah nasi. Kalau adapun mungkin dipaksa dengan air. Kalau tidak tentu saja tak tertelan. Betul kata orang, sakit rindu jangan dibuat main.

“Bila abang balik KL?” Tanya Adirra tiba-tiba.

“Kenapa? Tak suka abang datang?” Duga Rashdan. Wajah Rashdn juga berubah. Menipu benar kalau dia tidak terkilan dengan pertanyaan Adirra itu. Sedang penat lelahnya menjengah ke sini belum reda, sudah diusir-usir. Langsung tidak sukakah dia pada dirinya itu?

“Taklah gitu. Irra ingat nak tumpang abang balik KL. Irra dah dapat kerja.” Beritahu Adirra bersungguh. Tidak sedar pula akan perubahan wajah Rashdan. Serentak dengan itu wajah Rashdan kembali pulih seperti ketika mula-mula melihat Adirra. Jauh lebih ceria.

“Iya…?” Menipu jugalah kalau Rashdan tidak gembira. Kalau boleh melompat, mahu dia melompat sekarang juga. Namun diusia begitu rasanya tidak molek kalau dia terlompat-lompat macam beruk. Buat Adirra menyumpah saja. Tahulah Rashdan akan mulut Adirra itu. Cakapnya main lepas saja. Tapi itulah yang dia rasa sekarang. Sangat gembira. Bermakna dia bakal dekat selalu dengan Adirra. Tak perlulah dia bersusah payah menanggung rindu.

“Boleh ke? Kalau tak boleh pagi esok Irra naik bas saja.” kata Adirra lagi.

“Bila abang cakap tak boleh.” Balas Rashdan cepat.

“Habis tu macam terangak-agak saja nak tumpangkan Irra.”

“Dia ni cepatnya terasa. Abang tak cakap apapun lagi.”

“Iyalah, manalah tahu takut girlfriend abang marah.” Teka Adirra pula.

“Hisy, manalah abang ada girlfriend. Macam abang ni siapalah yang berkenan…” seloroh Rashdan lagi.

“La, sedar pulak. Ingat tadi tak sedar.” Adirra tergelak. Kuat gelaknya sehingga Rashdan tumpang sama tergelak.

“Iyalah, iyalah, abang sedar siapalah abang ni. Dahlah muka buruk, harta pulak kurang! Siapalah yang nak berkenan…” Rashdan buat-buat merajuk. Bergerak perlahan seperti hendak tinggalkan Adirra.

“Eh! Abang, janganlah merajuk.” Adirra terus berlari anak dan tarik tangan Rashdan.

“Abang ni…., cakap macam itupun nak merajuk.” Pujuk Adirra lagi.
Waktu itu Rashdan seperti terlupa akan segalanya. Sedar atau tidak, akhirnya Rashdan mengaku juga. Dia benar-benar suudah jatuh cinta pada gadis seorang ini. Itulah perasaannya ketika ini.
Adirra masih memegang erat tangan Rashdan. Lagak gadis manja memang begitu. Suka berpaut, suka bergantung harap dengan orang lain. Tapi bagi Rashdan, dia bukan lagi orang asing buat Adirra. Dia sudah jadi orang penting, kelak kalau Adirra mengharapkan lebih dari berpaut, Rashdan rela juga.

Adirra tersedar sesuatu. Dia masih memaut tangan Rashdan dengan erat rupanya. Bila dia melihat wajah Kak Lina yang sedang mengupas ubi keledek tersenyum semacam, baru Adirra tahu, dia sudah tunjukkan sesuatu yang sangat luar biasa.

“Bila masa Irra pegang tangan abang ni?” Soalnya sambil melihat wajah Rashdan kemudiannya. Kurang percaya dengan apa yang berlaku. Cepat-cepat dia lepaskan tangan Rashdan. Rashdan pula sekadar tersenyum. Huh! Dia sendiri yang pegang pun masih tak sedar, bisik hati Rashdan.

“Err…. Abang dah makan?” soal Adirra tiba-tiba. Cuba menutup rasa malunya.

“Belum, kenapa nak masakkan untuk abang pulak ke?” balas Rashdan selamba. Tahu apa yang cuba disembunyikan oleh Adirra.

“Mana ada! Irra mana tahu masak!”
Rashdan sudah ketawa melihat tingkah manja Adirra.

“Err, malam ni abang masakkan untuk Irra. Nak?” soal Rashdan.

“Tak naklah!”

“Yalah, orang tak sudi nak makan masakan abangkan!” Rashdan buat-buat merajuk lagi.

“Yalah, yalah.” Jawab Adirra.

“Okey, malam nanti abang datang jemput Irra! Abang masakkan hidangan paling istimewa untuk Irra!” janji Rashdan.

“Abang nak cakap Irra tak tahu masak ke?” soal Adirra pula. Dari gaya percakapan Rashdan seperti hendak menyindir Adirra saja.

“Abang tak kisah, Irra tahu masak atau tidak. Tak ada masalah buat abang, janji Irra sudi makan dengan abang malam ni.”
Adirra hanya menjeling manja selepas itu.

Petang yang indah. Ketika duduk di pagar kayu yang memagari hampir keseluruhan kawasan berumput itu, perasaan Rashdan begitu tenang. Rasa begitu damai. Belum pernah dia rasa begitu. Sebenarnya kehidupan begitulah yang dia inginkan.
Tiba-tiba dia terasa matanya sudah ditutup dengan tangan seseorang. Sekaligus dia tersenyum. Sudah tahu siapa empunya angkara. Dia membiarkan tangan lembut itu menutup matanya. Kalau cepat dia bersuara, maka akan cepat juga tangan itu dilepaskan. Jadi dia membiarkan saja.

“Teka cepat!” desak Adirra.

“Hmm, Puteri Kayangan yang datang nak berdating dengan abang!” usik Rashdan.

“Hisy! Abang ni..,” Adirra tolak badan Rashdan dan dia juga memanjat pagar untuk duduk bersebelahan dengan Rashdan.

“kenapa abang termenung kat sini? Abang ingat buah hati abang?” soal Adirra.

“Buah hati? Emm… mungkin jugak!” Rashdan menjeling Adirra.

“Kalau macam tu Irra baliklah. Tak nak kacau buah hati orang!”

“Hisy! Macam abang ni, perempuan manalah yang berkenan!” Rashdan tarik tangan Adirra. Paksa semula Adirra duduk bersebelahan dengannya.

“Habis tu jauh sangat menungnya!”
Rashdan tersenyum.

“Abang sukakan tempat ni,” kata Rashdan sambil menghirup udara petang yang begitu menyamankan. Matanya asyik melihat rumput-rumput yang tak ubah seperti permaidani hijau. Tenang lagi mendamaikan.

“Dulu sebelum jumpa Irra, saban petang abang lepak sini,” kata Rashdan lagi.
Adirra juga menjamu matanya. Terasa sangat tenang. Seperti sengsara yang melingkari hidupnya kebelakangan ini beransur pergi.

“Irra…”

“Emm…”
Seketika mata mereka bertentangan. Dan sesuatu sudah berlaku di dalam dada Rashdan.

“Abang nak cakap apa?” soal Adirra sambil melirik manja.
Rashdan kian tidak tentu arah.

“Abang nak cakap abang suka Irra?”
Terpanar Rashdan jadinya. Gadis ini nampaknya pandai juga menyelami perasaan lelaki.

“Kalau abang suka Irra, baik simpan sajalah niat suci abang tu. Irra ni tak layak untuk lelaki baik macam abang. Irra ni jahat. Hati busuk. Hidup menyusahkan orang saja. Kebolehan Irra hanya menyakit hati orang. Jadi abang baik jangan suka pada Irra.”

Emm…Betullah tu. Itu yang Rashdan rasakan sejak mula, tapi dengan yang seorang ini juga hatinya berkenan. Jadi yang buruk-buruk tu nampak seperti biasa saja.

“Tak, abang bukan nak cakap benda tu…” Rashdan berlapik kata. Tak mahu perasaannya terhadap Adirra terhidu. Kelak pasti saja Adirra akan menjauhkan diri, akan mengelak dari bertemu dengannya. Kalau di Bukit Senyum ini Rashdan tidak kisah. Tidak luas mana. Tapi kalau sudah tiba di Kuala-Lumpur, susah nanti kalau Adirra mengelak. Buat sementara waktu biarlah mereka begitu. Bak kata orang sekarang, teman tapi mesra. Suatu hari, suatu masa, pasti saja dirinya bakal diterima. Untuk itu Rashdan akan sediakan masa yang secukupnya untuk Adirra. Tidak kiralah lama mana sekalipun, dia rela menanti.

“Ah! Malunya..” Adirra menutup mukanya.

“Abang nak cakap rambut Irra ada ulat,” kata Rashdan sambil berpura-pura mengambil sesuatu dari rambut Adirra lalu dibuang sesuatu itu. Cuba menutup riak wajah dengan cara begitu.

“ada lagi?”

“Dah tak ada…”

“Err.. malunya. Ingat abang nak luahkan perasaan tadi.” Adirra masih ditimpa perasaan. Dipandangnya wajah Rashdan yang sudah melihat ke arah kebun teh. Wajah lelaki nampak serius.

“Kenapa? Kalau Abang luahkan perasaan Irra nak terima?”

“Tak naklah!”

“Kenapa? Abang dah tua atau abang tak sekacak lelaki idaman Irra?”

“Irra rasa Irra tak layak untuk disayangi. Irra hanya tahu melukakan hati orang yang menyanyangi Irra. Jadi lebih baiklah Irra tak terlibat dengan bab kasih sayang ni.”

“Manusia boleh berubah.”

“Betul manusia boleh berubah, tapi tengok jugaklah manusia yang jenis bagaimana.”
Rashdan tergelak. Sudah tidak tahu untuk berkata apa. Jawapan Adirra sama sekali mematikan niat Rashdan untuk berbicara.
Tapi yakinlah hati, kita mampu mengubah sikap gadis ini. Kita mampu untuk membuat dia mendengar kata. Dia pasti saja akan berubah satu hari nanti.

“Kalau boleh abang nak tinggal di sini. Abang nak bina kehidupan yang sederhana tapi penuh dengan kebahagiaan.”
Adirra pandang wajah Rashdan.

Komen pembaca amatlah saya harapkan bagi memperbaiki penulisan dan juga melihat potensi yang ada pada karya ini. Apa pendapat anda tentang novel ini?

————————-
Kami di penulisan2u memerlukan Undian dan Vote untuk pertandingan ” Blogger of the year ” anjuran Digi dengan kerjasama Astro, Hitz.Fm dan juga Radio Era. Pembaca dan penulis diharap menyokong kami dengan mengundi kami. Klik saja banner / logo Vote yang berwarna kuning di bawah. Sokongan anda amat kami perlukan. Undilah kami 1 kali setiap hari

Bersambung.....