viglink

Facebook like


Logo

Image by FlamingText.com

Enable clik

Info masuk



Listen My Radio at Facebook or Here

Background

Tweet Terbang

online

wibiya widget

Change colour

Silahkan Pilih Warna Background

Follow


Tulisan Ketik

Terima Kasih Dah Berkunjung di http://www.boynordin.blogspot.comSilahkan Anda Bagi Komen Ya...

Radio Boy Nordin Streaming



Listen My Radio at Facebook or Here




















Tuesday, November 22, 2011

Novel: Dan hati pun berkata (18,19,20,21)


Bab 18

“Dah tahu nak berjalan jauh, masing-masing merayap lagi.” Kak Lina mula membebel bila Adirra mengheret beg pakaiannya ketika jam sudah menghampiri jam 8.00 malam. Rashdan yang sedia menanti juga takut hendak bersuara.

Adirra tidak menjawab. Tahu akan salahnya. Seharian suntuk menghabiskan masa bersama Rashdan. Waktu Maghrib tadi Kak Linanya sudah berleter. Marah dengan sikap cuai Adirra. Mulalah diungkit-ungkit tentang caka-cakap Adirra dulu.

“Kata tak suka dengan orang tu, tapi sampai ke senja Irra ikut dia. Tak suka apa namanya tu!” Bebelan Kak Lina yang masih terdengar-dengar. Masih terasa-rasa buat Adirra rasa menyesal kerana pernah mengutuk Rashdan.

Adirra terus bawa beg pakaian keluar. Kak Lina juga membimbit sebuah lagi beg pakaian Adirra. Rashdan ambil kedua beg tersebut lalu dibawa ke belakang kereta.
Adirra terus peluk erat Kak Lina. Air matanya sudah berderai. Benar-benar kasihnya sudah tertumpah untuk kakak sepupunya itu.

“Terima kasih sebab sudi layan Irra selama ni. Kalau kakak tak ada, Irra tak tahu apa yang dah jadi dengan Irra!” esak Adirra. Sedih betul dia bila terpaksa berpisah dengan Kak Lina.

“Kalau Irra ada masalah, Irra datang saja kat sini. Bila-bila Irra boleh datang. Tapi akak harap sangat Irra boleh berbaik-baik semula dengan papa Irra. Tak baik bermasam muka dengan papa sendiri. Berdosa besar. Akak harap jugak, Irra berlajar untuk terima kenyataan. Irra dah besar, jangan terlalu kebudak-budakkan. Lagipun Irra dah ada Rashdan!” nasihat Kak Lina sebelum Adirra leraikan pelukkannya.

“Akak percaya, dia seorang lelaki yang baik dan boleh dipercayai,” bisik Kak Lina perlahan. Kemudian masing-masing melihat Rashdan yang sudah sedia menanti di tepi keretanya.

“Dan dia sayang Irra,” tokok Kak Lina lagi.

“Tak adalah kak. Dia anggap Irra ni kawan dia aje…Dia tak cakap pun sayang Irra,” balas Adirra.

“Sayang tak perlu diucap, sekadar difahami dan dihargai!” ujar Kak Lina dengan harapan Adirra bakal mengerti.
Adirra anggukkan kepalanya sambil pandang Rashdan.

“Belajar untuk menerima dia dan menghargai dia, sebab Kak Lina percaya, Irra tak akan menyesal kalau pilih dia!”

“Terima kasih kak, Irra akan cuba belajar untuk terima dia. Insya Allah!” Adirra peluk sekali lagi Kak Lina dengan erat sebelum melangkah ke kereta Rashdan.

” Hati-hati pandu kereta!” pesan Kak Lina kepada Rashdan.

“Insya Allah kak,” jawab Rashdan perlahan.

“Kamu tolong jaga Irra. Apa-apa hal kamu yang bertanggung jawab. Hantar dia betul-betul sampai muka pintu rumah papa dia. Jangan kamu tinggalkan dia merata-rata.” Pesan Kak Lina lagi.

“Inilah satu-satunya anak tinggalan arwah mak cik akak..” tambah Kak Lina bersama perasaan yang cukup berat.

Waktu Kak Lina bercakap begitu, air mata Adirra bergenang semula. Sedar akan kasih sayang Kak Lina selama ini terhadapnya.

“Insya Allah kak..” Rashdan memandang Adirra yang mula memeluk kakak sepupunya.

“Sudah sudahlah merajuk Irra. Dah besar panjangpun. Tapi kalau nak merajuk jugak, rumah akak ni masih ternuka untuk Irra. Jangan nak ke mana-mana..”
Setelah berpelukkan dengan Kak Lina, Adirra minta diri.

“Inilah rumah Irra. Abang tak nak singgah dulu?” pelawa Adirra sebaik sahaja tiba di hadapan rumah Adirra.

“Nanti-nantilah. Dah malam sangat ni. Nanti apa pulak kata papa Irra. Tapi esok jangan lupa tunggu abang. Abang jemput Irra.” Ujar Rashdan.

“Tak menyusahkan abang ke?” soal Adirra pula. Bimbang pula dirinya jadi bebanan buat Rashdan.

“Taklah. Tempat tu berhampiran dengan tempat kerja abang. Tak jauh mana pun. Kalau untuk Irra, jauh sekalipun abang sanggup hantar.” Balas Rashdan bersama wajah cerita. Betul. Jauh manapun untuk Adirra akan diusahakan juga.

“Yalah tu…”

“Betul, abang sumpah!”

“Tak naklah main sumpah-sumpah. Nanti kena makan sumpah, baru abang tahu!”
Rashdan sambut dengan tergelak kecil.

“Irra pergi dulu…” Adirra pandang wajah Rashdan. Wajah itu diamati betul-betul buat berapa ketika. Tiba-tiba Adirra rasa sedikit keberatan untuk keluar dari kereta Rashdan. Seperti ada sesuatu yang ingin dia katakan.

“Kenapa?” soal Rashdan bila melihat cara Adirra memandangnya sangat berbeza.

“Abang, Irra suka berkwan dengan abang. Abang buat Irra rasa gembira sangat.” kata Adirra perlahan. Walaupun dia rasa sangat berat untuk luahkan apa yang dia rasa kebelakangan ini, tetapi Adirra ingin berlaku jujur terhadap diri sendiri.

“Kalau Irra tak jumpa abang, Irra tak tahulah apa yang akan terjadi kepada Irra.” Sambung Adirra. Baru Adirra rasa sangat bertuah kerana dipertemukan dengan lelaki seperti Rashdan.

“Sebenarnya abang lagi suka berkawan dengan Irra. Kalau Irra sekali suka rasanya abang seribu kali suka.” Balas Rashdan bersungguh.

“Yalah tu… Mesti abang rasa terpaksakan untuk berkawan dengan Irra. Irra sedar Irra ni jahat.” Keluh Adirra.

“Sayang, jangan cakap macam tu. Bagi abang, Irra adalah kegembiraan buat abang. Irra buatkan hidup abang gembira dan rasa sangat bahagia. Bahagia yang tak pernah abang rasa sejak arwah mak abang meninggal dunia.”

“Betul ni? Abang tak rasa terpaksa bila berkawan dengan Irra? Irra tak nak abang tipu Irra sebab selama ni orang yang rapat dengan Irra semua cakap macam tu. Rasa terpaksa sebab nak jaga perasaan Irra.” Soal Adirra.

“Abang ikhlas nak berkawan dengan Irra, jadi abang harap Irra pun ikhlas nak kawan dengan abang. Jangan rasa terpaksa juga.”
Adirrra diam. memang dia ada rasa terpaksa. Tapi itu sebelum-sebelumnya. Tetapi setelah dia mengenali Rashdan dengan lebih dekat lagi, Adirra sedar, dia sangat-sanagt perlukan lelaki seperti Rashdan.

“Okeylah. Selamat malam. Bawa kereta hati-hati. Assalamualaikum.” Kata Adirra sebelum tolak pintu kereta.

“Waalaikumusalam!”
Adirra melangkah juga. Berat untuk dia tinggalkan Rashadan tapi tak mengapalah. Bukan lama mana pun. Hanya untuk beberapa jam saja.

“Jangan lupa tunggu abang esok!” ujar Rashdan sambil menjenguk muka di tingkap kereta.

“Iya. Irra tak lupa!” kata Adirra sambil tersenyum.
Rashdan mula memandu dan Adirra tolak pintu pagar dengan perlahan.

“Eh! Irra! Kamu dah balik?” Sapa Encik Fuad sebaik sahaja terpandang wajah Adirra. Adirra buat tak tahu. tiba-tiba saja hatinya rasa sakit semula.

“Ke mana kamu pergi selama ini? Puas kami cari.” Soal Encik Fuad lagi.

“Irra tak mati lagi pak cik. Tak ke mana pun.” jawab Adirra sambil melangkah perlahan menuju pintu rumahnya.
Encik Fuad gelengkan kepalanya. Masih tidak berubah rupanya Adirra. Tidak tahu langsung untuk menghormati orang tua.

“Irra…!” Terperanjat Encik Malek bila melihat kehadiran Adirra dengan tiba-tiba. Cepat-cepat Encik Malek bangun untuk mendapatkan Adirra.

“Irra penat sangat papa. Irra nak rehat.” kata Adirra apabila Encik Malek cuba memeluknya. Adirra mengelak dari dipeluk Encik Malek.

Encik Malek terkaku di situ. Dia benar-benar terasa dengan sikap Adirra yang langsung tidak menunjukkan rasa hormat padanya. Bukan saja tidak bersalaman bahkan cuba mengelak daripada Encik Malek. Puan Umi yang turut bangun dari sofa, hanya melihatkan saja wajah suaminya yang kecewa. Tahu akan perasaan suaminya ketika itu.

“Apa khabar Irra?.” Sapanya ketika Adirra melintasi Puan Umi.

Adirra tidak menjawab. Pandang wajah Puan Umi juga tidak. Marahnya terus menggila. Kejap itu juga Adirra rasa nak pulang semula ke Bukit Senyum. Rasa betul-betul menyesal kerana setuju dengan pelawaan Hadirah. Kalau tidak tentu hatinya tidak sakit.

Puan Umi turut terasa dengan sikap Adirra. Ternyata Adirra masih tidak boleh menerima kehadiran dirinya. Tapi Puan Umi tetap bersabar. Encik Malek pula sudah terduduk di anak tangga. Kesalnya menerjah. Baru dia sedar, dia sudah benar-benar kehilangan anaknya. Adirra tidak lagi seperti Adirra dahulu.

Di dalam bilik Adirra menghempaskan badannya. Dia mula teresak. Hatinya sakit dengan perbuatan sendiri. Kenapalah dia tidak boleh menerima kenyataan sebenar? Kenapa dia masih tidak boleh untuk menghormati hak papanya? Terasa dia betul-betul pentingkan diri sendiri. Tetapi Adirra tiada upaya hendak melawan kehendak hatinya. Dia masih tidak boleh mengawal perasaan sekalipun dia sudah berjanji untuk berubah. Lalu untuk meluahkan rasa kesalnya dia hubungi Rashdan. Kepada lelaki itulah ingin Adirra bergantung harap.

“Abang, Irra buat perangai lagi.” Rengek Adirra ketika berjaya menghubungi Rashdan. Dia tahu hanya lelaki itu yang mampu memujuk luka hatinya. Selama inipun Rashdan mamang banyak membantu Adirra.

“Bukankah abang dah pesan tadi, Irra buat macam biasa saja. Kenapa masih nak cari pasal?”

“Tapi Irra tak boleh. Bila pandang muka papa, hati Irra sakit. Terus Irra buat perangai lama! Irra susah nak kawal perasaan marah Irra. Abang, apa yang harus Irra lakukan? Irra tak boleh hidup dalam keadaan macam ni!” Adirra terus menangis.

“Sayang, jangan macam tu. Irra kena lapangkan fikiran. Jangan fikir yang bukan-bukan. Kita kena beri peluang juga kepada orang lain. Barulah kita dapat peluang kita. Abang tak nak Irra fikirkan apa-apa lagi. kalau Irra rasa papa Irra dah tak sayang Irra, Irra ingatlah pada abang. Abang sentiasa ada untuk Irra. Abang akan sayang Irra dengan sepenuh hati abang. Percayalah cakap abang.”

“Tapi Irra sedih sangat!” Adirra mula menangis.

“Dahlah. Jangan menangis lagi. Sekarang Irra kena rehat dulu. Esok Irra nak mulakan hidup baru bersama abang, jadi Irra kena rehat secukupnya.”

“Mulakan hidup baru dengan abang? Abang ingat kita dah nak kahwin ke?” jerkah Adirra bila merasakan cakap-cakap Rashdan itu agak pelik bunyinya.
Rashdan sambut dengan ketawa. Rasa gembira sangat mendengar suara Adirra begitu.

“Maksud abang, esok kita mulakan hidup yang baru dengan gembira. Tak nak fikir apa-apa lagi.” jelas Rashdan.
Adirra diam. Terubat jugak hatinya.

——————
Suka dengan jalan cerita novel ini? Komen dan pendapat dari kawan-kawan dapat membantu saya memperbaiki penulisan.
——————
Anda menyukai novel ini? ingin novel ini diterbitkan di terbitkan di pasaran dengan segera? – admin penulisan2u -

Bab 19

Natrah terkejut juga bila Puan Umi mengkhabarkan tentang kepulangan Adirra. Dia seperti tidak percaya.
“Apa hal pulak perempuan tak guna tu balik sini? Nak sambung balik cari pasal?” bebel Natrah. Betul-betul kurang senang. Seperti apa yang bakal dia rancang bakal mendapat tentangan.

“Inikan rumah dia jugak. Suka hati dialah nak balik ke tidak. Natrah jangan cakap macam tu depan Pak Cik Malek. Kecik hati dia nanti!” marah Puan Umi.

“Mama, kenapa semua orang harus jaga perasaan dia? Dia tu bagus sangat ke? Penting sangat ke dalam rumah ni? Masa dia tak ada, kita aman saja tau. Tak ada apa-apa masalahpun. Dia balik nanti, mesti rumah ni huru hara semula. Kalau mama tak percaya, mama tengoklah nanti!” Rasa marah Natrah sudah terbangkit di dalam dirinya.

“Natrah, sekurang-kurangnya Pak Cik Malek rasa gembira Adirra dah balik. Mama lebih rela berhadapan dengan kerenah Adirra daripada melihat Pak Cik Malek murung selalu. Tengok tu, tak nampak Pak Cik Malek macam dah gembira.” Kata Puan Umi sambil melihat Encik Malek yang datang menghampiri meja makan.

“Hisy! Semua orang dalam rumah ni dah gila agaknya!” rungut Natrah perlahan.

Waktu itu Adirra tergesa-gesa turun. Rashdan sudah setia menantinya di hadapan pintu pagar lebih awal. Tidak seperti yang dijanjikan sehingga membuat Adirra benar-benar kalut.

“Irra nak ke mana?” soal Encik Malek dengan lembut sebaik sahaja melihat Adirra turun. Dia bangun dan datang dekat kepada Adirra.

“Hari ini hari pertama Irra kerja,” jawab Adirra dengan pantas.

“Irra kerja? Kerja kat mana? Boleh papa hantarkan!” bertalu soalan daripada Encik Malek.

“Sama tempat kerja dengan Hadirah. Tak payahlah papa susah nak hantar. Nanti menyusahkan papa pulak.” Kata Natrah dalam nada menyindir.

“Kalau iyapun kita sarapan dulu. Mak cik Umi dah buat sarapan tu.” pelawa Encik Malek pula.

“Irra nak cepat ni, tak ada masa nak sarapan-sarapan. Papa tak payahlah susah-susah lagi. Papa dah ada keluarga sendiri. Baik papa uruskan keluarga papa. Irra dah boleh uruskan diri Irra. Irra tak jadi batu penghalang untuk papa hidup bahagia. Baik papa lupakan saja Irra ni. Kalau boleh papa angga saja Irra ni dah mati. Sama macam arwah mama Irra.” Jawab Adirra kasar sambil mencari kasutnya.
Air mata Encik Malek sudah bergenang. Tak sangka sebisa itu tutur bicara Adirra.

“Hah! Satu lagi, nanti kalau Irra dah dapat rumah sewa, Irra akan pindah,” beritahu Adirra.

“Pindah? Kenapa pulak nak pindah.” Soal Encik Malek bersama rasa sebak dan sedih.

“Papa lebih senang hati kalau Irra tak tinggal kat sini bukan? Jadi Irra dah ambil keputusan nak pindah saja dari rumah ni. Irra tak nak jadi penghalang kebahagian rumah tangga papa!”
Encik Malek tarik tangan Adirra. Dia sudah tidak boleh menahan sabar lagi dengan sikap Adirra. Benar-benar melukakan perasaannya.

“Papa tak pernah fikir macam tu. Papa lakukan semua ni semata-mata sebab Irra. Kenapa Irra boleh fikir sampai begitu sekali? Irra langsung tak nampak apa yang cuba papa lakukan untuk Irra? Bersalah sangat ke papa ni terhadap Irra? ” soal Encik Malek dengan tegas. Sedih betul dia dengan kata-kata Adirra. Seolah-olah sudah tiada kasih sayang Adirra untuknya.

“Irra tahu papa berat hati nak cakap. Bukan Irra tak tahu papa memang nak sangat Irra keluar dari rumah ni jadi untuk menyenangkan kerja papa, Irra akan keluar dari rumah ni sebab Irra ni hanya jadi pengacau dalam rumah tangga papa.” Jawab Adirra. Dia tidak mahu mengaku kalah juga.

“Irra, kenapa Irra cakap macam tu. Ini rumah Irra, Irra ada hak dalam rumah ni, kenapa Irra boleh cakap perkara yang bukan-bukan?” soal Encik Malek lagi.

“Sudahlah papa, Irra tahu papa memang dah tak sayangkan Irra lagi. Jadi tak guna Irra tinggal di sini. Kelak Irra ni akan jadi beban papa pula. Jadi sekarang ni, biarlah kita dengan haluan kita masing-masing. Irra rasa itu lebih baik untuk kita. Papa senang dan Irra pun senang!”

“Siapa cakap papa tak sayangkan Irra? Papa sayang sangat dengan Irra. Hanya Irra saja anak papa. Kenapa Irra marah sangat dengan papa?”

“Kalau papa sayangkan Irra, papa tak akan kahwin lagi. Dah jelas papa nak buang Irra jauh-jauh. ”

“Irra, papa..”

“Sudahlah papa, Irra tak nak dengar apa-apa lagi. Kalau papa nak Irra keluar dari rumah ni segera, papa cakap saja. Tak perlu nak jaga perasaan Irra lagi. Irra faham dan Irra tak akan jadi seperti anak papa macam dulu lagi!” tegas Adirra

Adirra terus melangkah tanpa menghiraukan perasan Encik Malek. Hatinya jadi pilu semula. Rasanya lebih baik dia tidak bercakap langsung dengan papanya, setidak-tidak hatinya tidak sakit.
“Kenapa bang?” soal Puan Umi.

“Saya dah hilang dia. Saya benar-benar dah hilang anak saya.” Kata Encik Malek sambil sapu air matanya.
Puan Umi hanya memandang Adirra tanpa sepatah kata selepas itu. Keras benar hati Adirra sehingga langsung tidak memberi ruang walau sedikit buatnya untuk menumpang kasih.

Tanpa Adirra sedar pipinya sudah basah. Air matanya luruh lagi. Rasanya dia lebih kecewa dengan sikapnya sendiri tetapi dia tidak mahu kalah dengan sesiapa. Dia tidak akan menyerah saja hanya semata-mata untuk disayangi. Hatinya masih sakit dan kesakitan itu hampir saja mengaburi perasaannya.

Waktu duduk dan tarik tali pinggang keselamatan, Rashdan lihat mata Adirra berair. Huh! Hujan lagi! Ini mesti ada masalah yang timbul. Kalau tak cari pasal tak sah! Bisik hati Rashdan.

“Sayang kenapa ni?” soal Rashdan perlahan. Tahu Adirra lebih senang dipujuk dengan cara begitu.

Adira menangis terus. Teresak-esak. Kalut juga Rashdan jadinya sekalipun sudah terbiasa melihat Adirra begitu.

“Cuba cerita dengan abang, apa masalahnya ni.” Rashdan berusaha untuk memujuk. Adirra teresak juga. Seperti tidak mendengar kata-kata Rashdan.

“Irra…,” panggil Rashdan dengan lembut. Berusaha untuk memulihkan keadaan Hmm, payah betul nak menjaga budak manja seorang ini.

“Tadi papa tegur Irra baik-baik. Tapi Irra jawab kasar. Kesian sangat tengok papa. Sampainya hati Irra buat papanya macam tu!” rengekan Adirra kian menjadi. Pilu benar perasaannya ketika itu.

Hmm, begitu rupanya. Alahai gadis manja lagi comel, nak tunjuk keras hati, tapi tak menjadi. Rashdan sudah tersenyum. Tahulah dia kini, hati Adirra tu sangat keras, tetapi tak sampai mana kerasnya.

“Kan abang dah pesan. Buat macam biasa. Cuba beri peluang untuk Irra pulihkan hubungan Irra dengan papa Irra. Jangan terlalu ikut perasaan.”

“Tapi Irra tak boleh buat macam biasa. Hati Irra sakit sangat. Kalau hati Irra sakit, Irra tak ingat apa-apa. Tentu sekarang ni papa sedih dengan perbuatan Irra.”

“Dahlah, Irra nak kerja. Kalau orang tengok muka Irra macam ni, apa pulak nanti kata orang.”

Rashdan terus memandu. Membiarkan Adirra bersama esakkan. Kalau itu buat dia rasa lega, Rashdan akan biarkan saja.

“Irra dah tak tahan nak tinggal dalam rumah tu. Irra nak pindah.”
Rashdan diam juga. Biarlah Adirra hendak kata apa kerana Rashdan tahu, perasaan Adirra masih tidak tenteram.

Natrah langsung tak bercakap dari tadi. Sejak Zafril mula tinggalkan perkarangan rumah, sejak itu jugaklah mereka berdua tidak bercakap. Zafril malas hendak bertanya sebab dia tahu itu mesti sebab Adirra. Kalau tak takkan Natrah begitu.

“Hah! Sukalah awak perempuan tak guna tu dah balik, hilanglah rindu awak!” kata Natrah tiba-tiba.

“Apa awak cakap ni, saya tak fahamlah!” balas Zafril tenang.

“Faham ke saja nak buat-buat tak faham? Awak dah tahu bukan Irra dah balik?” Natrah tanya dengan kuat.

“Irra dah balik? Bila?” Zafril pura-pura bertanya. Sedangkan dia dah tahu Adirra sudah pulang. Ayahnya yang mengkhabarkan berita tu kepadanya malam tadi.

“Sukalah dia dah balik bukan? Lepas ni bolehlah awak sambung kasih awak yang dah putus tu,” tokok Natrah dengan perasaan marah.

“Apa yang awak cakap ni? Apa yang nak sambungnya? Bukankah saya dah cakap, saya sayang awak. Apa lagi masalahnya? Boleh tak awak jangan cakap benda yang tak berfaedah ni. Jangan disebabkan dia, kita jadi bergaduh. Kalau saya cakap saya sayang awak, saya sayang awaklah! Jangan nak ungkit apa-apa lagi!” marah Zafril pula.

“Bukannya apa, saya takut awak berubah kasih saja. perempuan tu dah balik. Mesti dia balik nak rampas awak semula,” suara Natrah sudah kembali perlahan.

“Nak rampas apa pulak? Awak ingat saya apa? Cubalah buka minda awak tu sikit. Jangan suka fikirkan perkara yang bukan-bukan. Semua tu akan meracuni fikiran awak!” tegas Zafril lagi.
“Baiklah, saya akan ingat nasihat awak ni, tapi awak jangan balik kat perempuan tu ya!” Natrah pegang tangan Zafril sambil mencebik. Rasa begitu muak dengan semua itu. Terpaksa bermuka-muka hanya untuk meraih sedikit kasih sayang. Sakit betul hati Natrah.

Rashdan jemput Adirra makan tengahari. Kalau boleh setiap hari dia hendak buat begitu, tetapi kadang-kadang keadaan sangat cemburu kepada Rashdan memaksa Rashdan ketepikan hasratnya.
“Hmm, macam mana dengan kerja? Okey?” soal Rashdan sambil tak lepas pandang wajah Adirra.

Adirra hanya mengeluh berat. Susah nak cakap. Rashdan sudah tersenyum. Apa yang dia ramalkan nampak benar-benar belaka. Adirra tentu tidak tahan. dari riak wajah Adira juga, Rashdan cukup percaya, tentu tak sampai sebulan budak ni bekerja. Sah! Berhenti.

“Kenapa mengeluh pulak ni? cuba cerita pada abang!” Rashdan cuba memujuk.

“Kat rumah banyak masalah, kat tempat kerja pun banyak masalah!” Adirra merungut. Kemudian dia lemparkan pandangannya kea rah luar. melihat orang yang lalu lalang di sekitar restoren.

“Tak habis-habis lagi ke masalah kat rumah tu?” soal Rashdan.

“Selagi tak keluar dari rumah tu, tak akan aman. Masa kat Bukit Senyum dulu, rasa aman saja dunia. Tak ada sakit hati langsung!” rungut Adirra.

“Hah! Kalau macam tu kita tinggal ajelah kat Bukit Senyum.” Cadang Rashdan.

“Abang ni, Irra cakap betul-betul ni!” rungut Adirra.

“Dahlah. Jangan fikir apa-apa. Abang nak Irra jangan terlalu fikirkan perkara tu. Bukankah abang dah cakap, Irra kena berlajar untuk meneriman. Jangan terlalu ikut perasaan. Benda-benda macam tulah yang buat hati Irra tidak tenang. Bila hati Irra tak tenang, macam-macam perasaan akan datang menghantui perasaan Irra. Mulai sekarang, abang nak Irra fikirkan tentang abang saja!”

“Ah! Abang ingat abang tu siapa suruh Irra ingat selalu?” Adirra mula senyum. Lega sikit hatinya mendengar celoteh Rashdan. Sesungguhnya, terpaksa Adirra akui, Rashda mampu meredakan kemarahan Adirra.

“Habis Irra nak ingat siapa lagi kalau bukan abang?’

“yalah, yalah. Ingat abanglah!” kata Adirra sambil menjeling manja.

Selepas menghantar Adirra, Rashdan terus kembali ke pejabat dengan wajah berseri-seri. Makan tengahari bersama Adirra sebentar tadi benar-benar merubah sikap Rashdan.
“Hmm, nampak gembira saja bos kita tu, mesti baru lepas jumpa buah hati dia!” kata Uji, sebaik sahaja Rashdan menutup pintu biliknya.

“Betullah. Aku pun fikir macam tu. Mesti bos baru lepas makan tengahari dengan kekasih dia. Kalau tidak muka dia tak adalah macam tu.” tokok Rafidah, menghangatkan lagi suasana.

“Yalah, siapalah gadis yang berjaya mencuri hati Tuan Rashdan tu. Dahlah orangnya segak, bergaya, banyak duit. Orang kata memang seratus peratus sempurnalah!” kata Uji.

Maya sudah berubah wajah. Terasa hati dengan perbualan Uji dan Rafidah. Entah gadis manalah yang sudah berjaya menambat hati Rashdan. Tentu gadis itu bukan sembarang gadis. Mesti mempunyai keistimewaan yang sangat luar biasa. Kalau tidak masakan Rashdan tertawan dengan mudah. Maya kenal siapa sebenarnya Rashdan. Lelaki yang terlalu susah untuk didekati. Dia sendiri sehingga sekarang gagal untuk menarik perhatian Rashdan.

Sementara itu Natrah hanya mampu berdiam diri. Dalam hati berdetik jugak, kalaulah dia mampu menawan hati lelaki itu tentu dia akan memiliki segalanya.

Ah! Di mulut naga lagi orang berani rebut, inikan pula baru di tangan manusia. Tiba-tiba saja Natrah rasa begitu bersemangat.

Bab 20

Encik Malek ketuk dengan perlahan pintu bilik Adirra. Hendak berbicara seketika dengan anaknya itu. Sejak Adira kembali, belum pernah Encik Malek berbual dengan Adirra. Harap-harap kali ini terbuka juga pintu hati Adirra untuk berbicara dengannya.

Sebaik sahaja mendengar pintu diketuk, segera Adirra membukanya. Kemudian dia kembali menyambung kerja mengemas pakaiannya.

“Irra nak ke mana ni…?” soal Encik Malek kehairanan bila melihat Adirra mengemas pakaiannya.

“Irra nak pindah. Irra dah dapat bilik untuk di sewa,” jawab Adirra ringkas tanpa ada perasaan sedikitpun untuk melihat wajah Encik Malek.

“Irra nak tinggalkan papa? Irra dah tak sayang papa?” soal Encik Malek bersama sebak di dada. Sudah tidak boleh ditahan-tahan lagi bila menlihat Adirra mengemas pakaiannya. Seolah-olah dia bakal kehilangan Adirra buat selama-lamanya.

Adirra tidak menjawab soalan papanya. Sengaja dikeraskan hatinya. Dia tidak akan berganjak lagi. Keputusannya muktamad. Apa nak jadi, jadilah. Dia tetap hendak tinggalkan rumah. Bagi Adirra semuanya sudah berakhir. Tiada apa yang tertinggal lagi untuknya. Jadi, dia harus pergi. Dia lebih rela jadi anak yang terbuang, dari melihat kebahagian penghuni rumah tersebut.

“Tolong Irra jangan tinggalkan papa. Papa tak nak Irra tingalkan rumah ni. Ini rumah Irra, kenapa Irra nak tinggalkan pulak. Irra tak sayangkan papa lagi?” rayu Encik Malek bersungguh-sungguh dengan harapan Adirra melupakan niatnya.

“Kenapa papa tanya Irra sayang papa atau tak, sedangkan papa sendiri dah tak sayangkan Irra. Jadi apa gunanya lagi Irra tinggal di rumah ni, kalau papa memang dah tak sayangkan Irra?” Adirra pula menyoal Encik Malek. Menipu sangatlah kalau Adirra tidak sedih dengan apa yang berlaku. Hendak saja dia menangis masa itu juga, tetapi Adirra perlu bertahan. Tidak mahu tunjuk kelemahan drinya di hadapan papanya.

“Macam mana lagi nak papa jelaskan supaya Irra faham? Papa sayangkan Irra sampai bila-bila. Dari dunia sampai akhirat nanti, papa tetap sayang Irra. Irra sajalah satu-satunya anak papa. Harta yang papa ada. Kenapa Irra tak nak faham-faham lagi maksud papa?”

Adirra diam. Masih menyusun pakaiannya ke dalam beg pakaian. Kedegilannya memaksa dia jangan bersuara.

“Apa salah papa sampai Irra buat papa macam ni?” Suara Encik Malek sudah kuat. Rasanya dia juga sudah tidak boleh bersabar lagi. Adirra benar-benar menguji kesabarannya.
Adirra masih tidak mengendahkan papanya. Masih berkeras dengan keputusannya. Dia sudah tidak peduli apa-apa.

Puan Umi dan Natrah segera mendapatkan mereka berdua bila suara Encik Malek sudah melepasi kamar tidur masing-masing.

“Irra tak mahu menyusahkan papa lagi. Irra tak mahu papa susah hati sebab Irra. Irra rasa lebih baik Irra tinggalkan rumah ni. Irra ni anak yang degil. Susah untuk diuruskan. Jadi, Irra fikir baiklah Irra tinggalkan saja rumah ni!” kata Adirra dengan tegas. Sambil-sambil itu dia berusaha juga menahan sebak.

Natrah mencebik. Dia memang suka kalau Adirra pindah saja. Kehadiran Adirra hanya mengeruhkan lagi suasana. Kalau Adirra langsung tak ujud lagi bagus.

“Irra tak perlu pindah. Biar mak cik dengan Natrah saja yang keluar dari rumah ini. Ini rumah Irra, mak cik dan Natrah sekadar menumpang saja!” Tiba-tiba Puan Umi bersuara. Dia sudah tidak tahan melihat keadaan seperti itu.

Natrah tarik muka masam. Kurang senang dengan kata-kata mamanya. Lembut hati benar. Suka nak mengalah tak tentu pasal. Tapi dia tidak boleh bersuara kerana terang-terang dia tidak perlu bersuara apa-apa. Nanti keadaan menjadi lebih buruk lagi.

Encik Malek tunduk. Dia bingung untuk berpihak kepada siapa. Kedua-duanya kini sudah menjadi orang penting dalam hidupnya.

“Irra tak perlulah Irra buat macam ni kalau Irra betul-betul tak sukakan kami. Kami boleh pergi. Ini rumah Irra,” kata Puan Umi lagi.
Adirra terus berkemas. Dia sudah tidak mahu mendengar suara sesiapapun juga. Hati Adirra sakit sesakitnya. Lantas Encik Malek terus menghubungi Zafril. Mungkin Zafril akan dapat meredakan keadaan kerana selama ini hanya Zafril yang mampu melembutkan hati Adirra.

“Cepat datang rumah. Irra nak keluar dari rumah.” Begitu kata Encik Malek dengan cemas membuatkan Zafril terus berlari menuju rumah Encik Malek.

Bagi Adirra, sesiapapun tidak akan berjaya memujuknya. Dia sudah nekad kali ini. Apa nak jadi, jadilah. Dia tetap dengan keputusannya.

“Tolonglah papa Irra. Papa tak benarkan sesiapa pun keluar dari rumah kita. Bukankah kita sudah menjadi satu keluarga.” Encik Malek kembali memujuk Adirra.

“Ini keluarga papa. Bukan keluarga Irra. Irra tak dialu-alukan dalam keluarga ini.” jawab Adirra kasar. Begitu yang dia rasa selama ini. Memang dia tidak dialu-alukan.

“Siapa cakap macam tu. Papa kahwin dengan Mak Cik Umi sebab nak berikan peluang kepada Irra agar merasa kasih sayang seorang ibu. Papa buat semua ini semata-mata untuk Irra. Kalau tak sebabkan Irra, papa tak akan kahwin. Irra, tolonglah percaya cakap papa. Papa sayangkan Irra. Hanya Irra sajalah anak papa.”

Adirra tidak mahu juga mendengar penjelasan daripada Encik Malek. Bagi Adirra, semuanya sudah berakhir. Perlahan dia tarik beg pakaiannya sambil melangkah.
“Tolong Irra. Tolong papa. Jangan buat papa macam ni. Kalau papa salah papa minta maaf. Hanya Irra seorang saja anak papa. Tolong papa Irra.” Encik Malek benar-benar merayu kali ini. Dia tidak sanggup kehilangan anak kesayangannya itu.

Adirra sudah tidak peduli. Dikeraskan juga hatinya melawan perasaan.
“Sampainya hati Irra. Papa tak sangka tergamak Irra tinggalkan papa. Irra memang dah tak sayang papa lagi? Kalau begitu biarlah papa mati saja!”Air mata Encik Malek berlinangan. Terlalu sedih. Satu-satunya puteri kesayangan yang ditatang dengan sepenuh kasih dan sayang melangkah juga. Langsung tidak menghiraukan rayuannya.

“Kau ni kenapa Irra? Tak puas lagi untuk menyakiti hati semua orang. Sudahlah berbulan menghilangkan diri sekarang nak buat perangai lagi. Kau ni ada otak ke tidak?” Zafril mengherdik di kaki tangga sebaik saja melihat Adirra mengheret beg pakaiannya.
Adirra tolak badan Zafril untuk turun ke bawah. Lantas Zafril tarik tangan Adirra.

“Kau ni bukan lagi Adirra yang aku kenal dulu. Kenapa Adirra sekarang ini keras sangat hatinya. Tergamak kau buat papa kau macam ni. Apa kesalahan yang sudah papa kau buat sehingga sanggup kau buat dia begini.” Marah Zafril. Kali ini dia benar-benar marah. Tidak boleh bersabar lagi bila dirasakan tindakan Adirra sudah terlalu melampau.

“Kau ni manusia yang terlalu pentingkan diri sendiri. Manusia yang tidak tahu menghargai kasih sayang orang lain. Aku betul-betul tak sangka kau boleh jadi macam ni Irra!
Adirra terdiam. Sebentar dia merenung lantai. Mencari kesilapan sendiri. Tertanya juga kenapa dia harus jadi sehingga begitu sekali. Rajuk apakah sehingga dia terlupa akan
kasih sayang yang telah di curahkan kepadanya selama ini.
Tapi hati Adirra sakit. Kerana rasa sakit itulah Adirra terlupa akan segalanya.

“Kau marah sangat sebab papa kau kahwin lain? Sekalipun papa kau dah kahwin, kasih sayang dia pada kau tak penah berubah. Kau tetap anak dia sampai bila-bila. Sebab itu yang yang buat kau marahkan sangat? Eh! Adirra, jangan jadi budak-budaklah! Jadilah dewasa sikit!”

Adirra tarik semula beg pakaiannya. Melangkah semula dengan perlahan. Dia sudah tidak peduli lagi. Dia tidak mahu mendengar kata-kata sesiapa juga. Kali ini keputusannya sudah muktamd. Dia tidak akan berganjak lagi. Apa guna dia tinggal di situ, kalau sekadar untuk mencarikkan lagi hati yang sudah sedia terluka.

“Adirra!” Zafril menjerit sekuatnya bila melihat Adirra tidak peduli langsung.
Natrah yang turut sama menyaksikan kejadian itu senyum sinis. Memang sejak mula dia mengharapkan Adirra berambus dari situ. Dia tidak mahu semua orang memberi perhatian semula kepada Adirra. Lebih-lebih lagi Zafril. Hatinya begitu sakit sebaik sahaja Adirra pulang semula.

“Irra, tak baik Irra buat papa Irra macam ni. Dia dah cukup sedih dengan kehilangan Irra dulu, janganlah Irra tambah lagi kesedihannya,” pujuk Puan Rohani yang baru sampai. Dia sangat kecewa melihat apa yang berlaku.

“Tapi hati Irra yang sedih, siapa yang nak ambil tahu? Mak cik tahu tak, Irra sedih sangat?” soal Adirra kepada Puan Rohani. Marah betul dia dengan Puan Rohani.

“Ini semua mak cik punya pasal. Kalau mak cik yang tak suruh papa kahwin, papa tak akan kahwin. Sekarang, mak cik nak salahkan Irra pulak?” soal Adirra dengan berani.

“Mak cik buat semua tu untuk kebaikkan papa Irra dan Irra jugak!”

“Tidak! mak cik bukan buat semua tu untuk kebaikkan Irra, tetapi untuk kepentingan kawan baik mak cik. Mak cik nak kawan mak cik tu tumpang kesenangan papa bukan? Sekarang ni apa yang mak cik rancangkan dah berhasil. Jadi Irra tak mahu jadi penghalang kepada rancangan mak cik! Biarlah Irra pergi saja dari sini!. Itu yang semua orang nak!” jawab Adirra sedikit menjerit.
Puan Rohani menahan sabar. Kalau ikutkan hati, mahu ditamparnya mulut Adirra. Kurang ajar betul!

Sementara itu, Encik Malek masih bersedih di dalam bilik Adirra. Merasakan dia sudah gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa. Puan Umi mendapatkan suaminya yang sedang menangis di birai katil. Dia turut menangis di sisi suaminya.

“Maafkan Umi bang. Umi tak sangka perkara ni akan jadi begini. Sepatutnya kita tak perlu berkahwin kalau sekadar untuk melihat semua ini. Sejak mula keputusan kita ni adalah salah.” Kata Puan Umi.

Encik Malek diam. Dia juga sedar, selama ini dia cukup bahagia walau tanpa sesiapa. Mungkin perkahwinan itu satu kesilapan sejak mula. Dan seharusnya tidak perlu berlangsung sekiranya hanya untuk memisahkan dia dengan Adirra.

Encik Malek bangun mengejar Adirra. Kali ini dia perlu pertahankan Adirra. Itulah satu-satunya lambang cinta agung peninggalan arwah Sofea. Dia tidak mahu kehilangannya.

“Papa minta maaf sayang. Kalau Irra nak papa tinggalkan Mak Cik Umi, papa akan turutkan kehendak Irra. Tapi tolong jangan tinggalkan papa.” Rayu Encik Malek bersungguh.

Adirra diam saja. Dibiarkan papanya memeluk badannya. Namun tiada apa yang mampu merubah keputusan Adirra. Dia akan tinggalkan semua kenangannya di sini buat selamanya. Dia sudah nekad dah tiada siapa yang mampu merubah keputusannya.

Rashdan yang sedang berkira-kira hendak menghubungi Adirra keluar dari keretanya. Dia agak kalut bila melihat Encik Malek memeluk erat Adirra. Anak manja itu buat perangai lagi rupanya. Padanlah beberapa panggilannya sebelum itu tidak berjawab.

“Irra….!” panggil Rashdan.
Adirra menoleh untuk melihat Rashdan. Dalam menahan segala perasaan, dia tergamam seketika melihat kehadiran Rashdan. Datang yang tidak diundang namun muncul tiba-tiba.

“Kenapa pak cik?” soal Rashdan bila melihat Encik Malek sedang menangis.

“Irra nak tinggalkan pak cik. Irra dah tak sayangkan pak cik,” beritahu Encik Malek tanpa segan silu.

“Irra, kenapa buat papa macam ni? Sudah, masuk kereta dulu. Kita bincang.” Arah Rashdan.
Adirra tarik beg pakaiannya.

“Tinggalkan beg tu. Tak perlu nak pindah-pindah. Sikit punya hal nak kecoh satu rumah. Sudah! Masuk kereta sekarang.” Suara Rashdan sudah benar-benar kuat. Rashdan tahu anak manja seorang ini tidak perlu diberi muka selalu. Disebabkan tiada siapa yang berani menegur sikapnya, maka dia makin lupa diri.

Adirra jadi tergamam bila mendengar suara Rashdan begitu. Selama ini belum pernah Rashdan keluarkan suara begitu. Terus saja beg pakaian Adirra lepaskan. Takut juga dia dengan perubahan sikap Rashdan.

“Abang cakap masuk kereta sekarang!” Suara Rashdan makin tegas membuatkan Adirra melangkah dengan perlahan. Lantas menarik pintu kereta Rashdan. Ditutup dengan kuat selepas itu sebagai tanda tidak puas hatinya.

“Hah! Tutup kuat-kuat. Kalau tercabut pintu tu abang minta ganti,” jerit Rashdan lagi. Kemudian dia terus mendekati Encik Malek. Cuba mereda kesedihan Encik Malek. Waktu it uterus Rashdan teringat ayahnya. Dia juga pernah lakukan perkara yang sama terhadap ayahnya. Cuma yang berbeza hanya keadaan. Adirra anak yang terlalu disayangi, sedangkan dia sekadar anak yang hampir-hampir disingkirkan. Tetapi tentu ayahnya juga rasa sedih. Bibit-bibit penyesalan mula mendatangi diri Rashdan.

“Pak cik, saya bawa Irra keluar sekejap. Pak cik jangan bimbang, nanti tahulah saya nak pujuk dia. Pak cik bawa sajalah beg pakaian Irra masuk.” Rashdan terus bersalaman dengan Encik Malek selepas itu.

“Pak cik berharap sangat anak ni dapat pujuk Irra. Pak cik sendiri dah buntu. Dah tak tahu nak buat apa. Irra betul-betul keras hati!” kata Encik Malek penuh mengharap.

“Panggil saja saya Rashdan.” Rashdan perkenalkan dirinya.

“Pak cik jangan bimbang. Insya Allah, saya boleh pujuk Irra. Saya pergi dulu pak cik.” Selepas itu Rashdan melangkah semula ke dalam keretanya.

“Siapa tu Malek?” soal Puan Rohani sebaik sahaja kereta Rashdan berlalu pergi. Zafril turut melihat kereta yang membawa Adirra pergi dengan perasaan kecewa. Kenapa dia harus ada rasa begitu, sedangkan dia sendiri yang tinggalkan Adirra? Ada sesuatu sudah mengusik perasaan Zafril ketika itu.

“Kawan Irra. Dia cakap dia boleh tolong pujuk Irra. Harap-harap Irra akan dengar cakap budak tu!” kata Encik Malek penuh mengharap.
Zafril kian terasa. Rupanya Adirra sudah temui pengganti dirinya. Cepatnya Adirra berubah. Ah! Dia sendiri yang buat perangai. Jadi tidak hairanlah kalau Adirra mengikut jejaknya. Dia tidak boleh salahkan Adirra sama sekali. Adirra berhak untuk memiliki kebahagiaan sendiri.

Di dalam kereta Adirra terus masamkan wajahnya. Tunjuk perasaan habis-habisan. Sebelum ini, tak pernah lagi Rashdan bersikap garang dengannya.

“Tunjuk muka masam dengan abang. Ingat cantik sangat macam tu…!” Rashdan mulakan bicaranya.
Adirra palingkan mukanya ke arah cermin tingkap kereta. Tak mahu pandang muka Rashdan.

“Eh! Anak monyet pun tak merajuk macam ni tau!” tokoknya. Cuba berseloroh pula.

“Anak monyet mana ada hati dan perasaan. Sebab itu anak monyet tak akan rasa sakit hati sampai bila-bilapun.” Jawab Adirra kasar. Masih lagi dengan perasaan marahnya.
Rashdan ketawa kecil. Lucu melihat tingkah Adirra begitu.

“Untungkan jadi anak monyet. Tak ada hati tak ada perasaan. Tidaklah macam anak orang tu. Buat perangai selalu!” usik Rashdan lagi. Suka dia mengusik Adirra. Makin diusik, makin masam wajah Adirra. Makin comel.

“Abang ni kenapa? Nak sakitkan hati Irra lagi?” soal Adirra kasar. Kali ini dia beranikan diri pandang wajah Rashdan.

“Cakap macam itupun nak sakit hati? Amboi, hati Irra tu hati emas ke sampai tak boleh nak diusik langsung?”
Adirra diam. Membatukan diri buat seketika. Malas nak berlawan cakap dengan Rashdan. Buat hati Adirra tambah sakit.

“Irra tak baik buat papa Irra macam tu. Apalah kesalahan yang papa Irra buat sampai Irra sakit hati sangat.”

“Abang tak rasa macam mana Irra sakit hati, bolehlah abang cakap macam tu. Cuba kalau abang sendiri yang rasa, barulah abang tahu betapa sakitnya.” Kata Adirra. Hatinya mula pedih mengingatkan kembali perkara tersebut.

“Dalam soal ni, abang tak setuju dengan cakap-cakap Irra. Sebab abang terlebih dahulu merasakannya. Irra dah lupa tentang ayah abang yang abang ceritakan pada Irra dulu? Emak abang masih hidup, tapi ayah abang dah kahwin lain. Papa Irra pula tujuh belas tahun hidup menduda. Bagi seorang lelaki tujuh belas tahun itu satu jangka masa yang terlalu lama. Irra kena faham juga perasaan papa Irra. Jangan terlalu mementingkan diri sendiri. Irra tak sayang papa Irra?”

“Habis abang merajuk boleh? Irra merajuk tak boleh?” Adirra pandang lagi muka Rashdan. Rashdan sambut dengan ketawa kecil. Soalan budak-budak!

“Abang tak salahkan Irra kalau nak merajuk, tapi biarlah berpada. Jangan sampai

merosakkan hubungan baik Irra dengan papa Irra. Jangan terlalu mengikut perasaan!” Waktu itu Rashdan terus teringatkan dirinya. Mudahnya dia menasihati orang. Sedangkan dia sendiri juga terlalu mengikut kata hati tanpa memikirkan perasaan sesiapa. Memang betul, rupanya manusia ini hanya tahu bercakap. Hanya tahu menasihati orang. Sedang keburukkan sendiri langsung tidak diambil kira.

“Abang cakap senanglah. Cuba kalau abang berada di tempat Irra sekarang. Irra rasa, mesti abang akan lebih teruk daripada Irra.”

“Tolong Irra. Jangan keras hati macam ni. Susah abang nanti.”

“Kalau abang rasa susah jangan ambil tahu langsung tentang Irra. Jangan berkawan dengan Irra. Abang pun taklah bersusah payah nak pujuk Irra.”

“Masalahnya abang dah suka dengan Irra. Nak tak nak terpaksa jugalah abang terima perangai buruk Irra. Kalau abang tak sukakan Irra, tak sayangkan Irra, dah lama abang tinggalkan Irra. Tak nak abang susahkan diri pujuk gadis degil macam Irra!” tegas Rashdan. Sekali lagi suaranya kuat dan kedengaran sangat tegas.

Adirra terdiam jadinya. Tiba-tiba saja jantungnya berdegup dengan kencang. Perasaan yang tersedia terluka bagai diusik sesuatu. Sesuatu yang dia sendiri tidak faham. Yang pasti sesuatu itu membuatkan ruang fikirannya kosong buat seketika.

Rashdan juga terdiam selepas itu. Dia sedar akan kata-kata yang sepatutnya tidak sesuai untuk diucapkan. Masih terlalu awal. Dan sekiranya hendak disebut juga bukanlah dalam keadaan begitu. Biarlah suasananya lebih romantis dan lebih tenang. Dalam suasana yang lebih bermakna. Bukan disebut dalam keadaan yang tergesa-gesa atau marah. Akan tetapi mulut Rashdan sudah terlanjur berkata.

“Err….kita makan dululah. Perut abang pun dah terasa lapar.” Cadang Rashdan dalam keadaan sedikit gementar. Dia tidak mahu Adirra rasa apa-apa kerana bimbang Adirra akan mengambil tindakan diluar pengetahuan Rashdan. Kalau Adirra bertindak begitu, memang susah Rashdan nanti.

“Hmm..” Adirra anggukkan perlahan kepalanya. Wajah Rashdan langsung tidak berani untuk dipandang. Tiba-tiba saja rasa begitu keberatan untuk melihat wajah lelaki itu.

Sehingga tiba di perkarangan tempat letak kereta restoren yang menjadi pilihan Rashdan, masing-masing enggan bersuara. Baik Rashdan mahupun Adirra, berdiam diri adalah pilihan paling sesuai buat mereka ketika itu.

“Selepas ni jangan merajuk lagi. Yang sudah tu sudahlah. Baik Irra lupakan saja.” kata Rashdan setelah agak lama mereka tidak berbicara.

“Tapi abang juga yang janji nak carikan Irra rumah sewa untuk Irra. Tapi bila Irra nak pindah, abang tak benarkan pulak.”

“Abang cakap saja. Nak pujuk Irra balik KL. Sebenarnya abang keberatan nak benarkan Irra tinggal bujang. Abang dah terlalu banyak masalah. Mana nak fikirkan tempat kerja, masalah keluarga abang lagi. Nak fikirkan keselamatan Irra lagi. Abang pening dengan semua ni. Jadi abang harap, Irra jangan tambah lagi masalah abang.” Ada kesungguhan pada kata-kata Rashdan itu.

“Irra bukannya sesiapa buat abang, sampai abang harus risaukan tentang Irra. Tak perlulah nak susah-susah fikirkan Irra!” tegas Adirra.

“Sampainya hati Irra cakap macam tu. Macamlah abang ni tak berguna sangat pada Irra. Yalah abang sedar siapa abang ni. Ingat nak menumpang kasih Irra sikit, nampak gaya abang berputih mata sajalah macam ni.”

“Apa yang abang merepek yang bukan-bukan ni. Cakap tu biarlah terang sikit supaya Irra faham.”

“Tak betul apa yang abang cakap ni?”
Adirra tidak berani menjawab. Sebenarnya lidahnya jadi kelu tiba-tiba. Makin dia hendak merajuk, makin menjadi kata-kata pelik daripada mulut Rashdan. Buat rajuk Adirra hilang terus. Yang tertinggal hanya perasaan tanda tanya yang masih tidak berjawab.

“Okeylah, apa-apa hal, kita makan dulu!” kata Rashdan sebagai penyelamat keadaan.

Selepas selesai makan malam, Rashdan terus hantar Adirra. Berjaya juga dia memujuk Adirra. Ah! Adirra itu kena dengan cara pujuknya, pasti menjadi. Tinggal lagi kena bersabar dnegan kerenahnya. Tetapi itu tidak menjadi masalah buat Rashdan.

“Lepas ni, abang tak mahu lagi Irra bersusah payah nak lari-lari dari rumah lagi. Abang ada untuk Irra. Beritahu saja apa masalah Irra pada abang. Abang sentiasa ada untuk Irra.” Pesan Rashdan sebelum Adirra masuk ke dalam rumah.

“Hmm, terima kasih bang, sebab ambil berat tentang Irra. Sekarang ni Irra ada abang saja.” jawab Adirra perlahan.

“Emm, kalau macam tu, Irra kena selalu dengar cakap abang!” balas Rashdan dengan perasaan yang cukup gembira.

“Selamat malam bang,” kata Adirra selepas itu.

“Selamat malam, sayang. Mimpi indah nanti!” balas Rashdan sambil tersenyum cantik.
Adirra masuk terus ke dalam rumah. Encik Malek yang menunggu di kerusi luar langsung tidak disapa. Lalu Encik Malek bangun dan berjalan ke arah pintu pagar di mana Rashdan masih berdiri.
“Terima kasih Rashdan. Pak cik tak sangka Rashdan berjaya pujuk Irra,” kata Encik Malek sedikit gembira.

“Sama-sama pak cik. Perkara kecik aje tu. Kita sendiri pun dah sedia maklum tentang perangai Irra. Macam ini sajalah. Saya cadangkan buat sementara waktu ni, pak cik jangan ganggu sangat Irra. Tengokkan saja perangai dia.” kata Rashdan sambil melihat wajah Encik Malek.

“Satu lagi, pak cik jangan tunjukkan sangat kemesraan pak cik dengan isteri pakcik. Adirra masih tidak boleh terima semua tu. Jadi pak cik kena beri Adirra masa untuk sesuaikan diri.” Tokok Rashdan.
Encik Malek anggukkan kepalanya.

“Perangai Irra tu buruk tetapi saya tahu hati dia baik. Dia jadi macam tu pun sebab sayangkan pak cik.Saya harap pak cik akan lebih faham dengan sikap Adirra. Insya Allah, sikit masa lagi dia akan berubah. Cuma kita kena beri ruang untuk dia berlajar menerima semuanya.” jelas Rashdan yang sejak mula begitu memahami sikap Adirra. Kerana sikap-sikap itulah buat Rashdan tertarik untuk mengenali Adirrra dengan lebih dekat lagi.

“Terima kasih sekali lagi pak cik ucapkan. Insya Allah, pak cik akan cuba buat seperti yang Rashdan cadangkan tu. Mudah-mudahan Irra akan boleh terima nanti!” balas Encik Malek dengan perasaan cukup lega.

“Saya balik dulu pak cik, assalamualaikum,” terus Rashdan hulurkan tangannya kepada Encik Malek.

“waalaikumusalam.”
Mereka berpisah di situ.

“Ayah tak tidur lagi?” tegur Rashdan bila melihat ayahnya masih di bilik bacaan. Entah apa saja yang dibuat.
Tuan Zahari tidak menjawab. Bimbang akan menaikkan kemarahan Rashdan.

“Ayah bawalah berehat. Jangan nak susah-susahkan diri lagi. kalau ayah tak percayakan saya untuk uruskan syarikat tu, saya boleh serahkan semula kepada ayah!” tambah Rashdan. Kali ini memang keras suara Rashdan.

“Bukan begitu, ayah dah biasa tidur lewat. jadi ayah tak boleh nak tidur awal.” Jawab Tuan Zahari perlahan.

“Ayah kena jaga kesihatan, jangan nak fikir apa-apa lagi. Sekarang masa untuk ayah berehat dan utamakan kesihatan. Saya naik dulu. Selamat malam,” ujar Rashdan sambil berlalu.

Tuan Zahari sedikit hairan melihat perubahan diri Rashdan. Tak pernah dia mendengar Rashdan ucap selamat malam kepadanya. Mungkin sudah ada tanda-tanda Rahsdan mulai berubah.

Perlahan Tuan Zahari urut dadanya. Rasa sedikit lega.

—————–

Bab 21

“Irra, aku hantar kau sekali. Masuklah.” Pelawa Zafril bila melihat Adirra berdiri di hadapan pintu pagar.
Adirra menjeling tempat duduk sebelah pemandu. Kelihatan Natrah sedang mengemas kinikan wajahnya tanpa memperdulikan sesiapa. Entah kenapa sudah tiada rasa sakit hati melihat kemesraan mereka berdua.

“Aku tunggu kawan aku. Kau pergi ajelah.” Balas Adirra kemudiannya.
Wajah Zafril berubah lantas Zafril keluar dari keretanya.

“Jomlah aku hantar kau sekali. Kau telefon kawan kau tu cakap aku hantar kau.” Zafril seakan mendesak.
Sementara itu Natrah sudah menoleh ke arah Adirra. Tidak senang dengan sikap Zafril. Seperti member perhatian semula kepada Adirra.

“Ah! Apa pulak. Aku dah janji dengan dia. Tak pasal-pasal nanti aku kena dengan dia. Tak nak aku. Dia kalau marah, bukannya kenal orang.” Pantas Adirra menjawab.
Zafril sudah bercekak pinggang. Hatinya rasa sakit tiba-tiba. Perkataan ‘dia’ yang disebut Adirra bagai istimewa benar. Mungkinkah lelaki yang Adirra tunggu adalah lelaki yang pernah dia lihat pada malam Adirra buat perangai?

“Kau orang pergi ajelah. Selama inipun ada kau kisahkan tentang aku? Baru sekarang nak sibuk-sibuk! Dah lambat!” Makin panjang jawapan Adirra dan makin sakit dada Zafril.

“Eh! Selama ini kurang ke perhatian aku terhadap kau? Apa selama ini aku dah abaikan kau. Kau tu yang tak ada otak nak fikir tentang kasih sayang orang.” Zafril marah dan dia sungguh-sungguh marah selepas itu.

“Iya ke? Tak tahu pulak. Tapi yang aku rasa lain. Sejak dua menjak ni aku rasa aku ni macam dah tak sabar-sabar nak dicampak. Nak dibuang sejauh yang boleh. Mungkin selama sebulan aku tak ada, ada orang yang nak buat pulut kuning sebab suka sangat aku lari.” Adirra menyindir. Bukan Zafril saja yang hendak disindirnya tetapi Natrah juga.
Bukan saja hati Zafril yang panas, hati Natrah juga bagai sudah disalai. Benar-benar terasa dengan sindiran Adirra.

“Manusia ni kadang-kadang ramai yang tak sedar diri. Bila dah diberi betis, melarat-larat pulak sampai peha. Kalau boleh semuanya nak dirampasnya…! Macam itulah kalau dah jadi manusia yang tak tahu nak sedar diri!” Adirra menyindir lagi.

Natrah betul-betul marah dengan sindiran Adirra itu. Nak saja dia menampar mulut Adirra. Tapi dia bertahan. Dia tidak akan tunjuk perangai yang buruk depan Zafril. Dia perlu lebih bersabar.
“Sudahlah. Kalau kau tak nak naik kereta aku cakap ajelah. Jangan nak merepek yang bukan-bukan.” Marah Zafril.

“Merepek? Aku merepek?” Soal Adirra dengan mata yang sengaja dibulatkan.

“Malaslah aku nak cakap dengan orang yang tak pandai guna otak ni.” Bebel Zafril.

“Ah! Akupun tak suruh kau bercakap dengan aku.” Kata Adirra sedikit menjerit.

“Zafril, jomlah kita pergi. Dah lambat ni. Nak sarapan lagi.” Sengaja Natrah buat suara manja. Hendak menyakitkan hati Adirra.
Terus Zafril masuk ke dalam kereta. Sebentar kemudian kereta Zafril hilang daripada pandangan. Wajah Adirra terus masam. Marah kerana pagi-pagi lagi Zafril sudah mencari pasal dengannya. Selalu-selalunya, tidak pula nak ajak naik kereta. Hari ni pulak tunjuk baik.

“Merajuk lagi? Kali ini apa pulak yang tidak kena?” Tegur Rashdan bila Adirra langsung tidak bersuara sejak dia masuk ke dalam kereta. Adirra tidak jawab apa-apa. Dimasamkan juga mukanya sehabis masam.

“Sudahlah tu… Pagi-pagi merajuk tak baik. Hilang seri muka. Dah masam macam kari basi.” Rashdan cuba memujuk. Adirra diam juga. Malas nak bercakap. Nanti kala bercakap tentu saja jadi lawan bertengkar. Adirra fikir, biarlah dia mendiamkan diri sahaja.

“Irra marah abang sebab lambat jemput Irra?” teka Rashdan pula. Mana tahu dialah penyebab kenapa Adirra marah. Masih tiada tindak balas daripada Adirra. Masih senyap sunyi.

“Abang mengaku abang salah. Lepas sembahyang Subuh tadi abang sambung tidur. Lepas tu lupa nak set handphone, sebab itu terbabas. Abang minta maaf, okey.” Jelas Rashdan agar Adirra memahami keadaan sebenar.

“Irra tak marah abang pun. Irra marah Zafril. Pagi-pagi buta cari pasal dengan Irra.” Jawab Adirra. Baru Adirra bersuara.Tidak mahu Rashdan lebih menyalahkan diri sendiri.

“Kenapa pulak cari pasal dengan orang ni? Apa yang dia dah buat sampai Irra marah begitu sekali? Bukankah abang dah cakap, jangan cari pasal dengan orang. Biarlah mereka tu, Irra jangan ambil tahu lagi.” Balas Rashdan. Tersebut nama Zafril terusik juga hati lelakinya. Mana boleh tidak cemburu sedang Zafril adalah lelaki yang pernah Adirra sayang. Kerana lelaki itulah Adirra bawa diri ke Bukit Senyum.

“Dia ajak Irra naik kereta dia. Irra tolak sebab Irra dah janji dengan abang. Lepas tu dia cakap yang bukan-bukan dengan Irra. Anginlah Irra.” Adu Adirra dengan manja.
Hmm, dah nak ajak naik kereta pulak? Masih sayangkah pada Adirra? Ini tak boleh jadi. Hati Rashdan sudah berdetik-detik.

“Perkara kecik macam tu pun nak buat rajuk. Biasalah tu.” pujuk Rashdan tetapi sesungguhnya Rashdan cuba pujuk hati sendiri. Tak nak fikir yang bukan-bukan. Dia harus menjaga hati Adirra agar gadis itu boleh menerima Rashdan seperti yang diharapkan. Tetapi tentang Zafril juga tidak boleh dipandang ringan.

“Abang cakap senang. Cuba kalau orang buat abang macam tu.”

“Irra, abang ni dah macam-macam orang buat pada abang. Tinggal lagi orang belum bunuh abang saja.”

“abang ni….kenapa cakap yang bukan-bukan.”

“Kenapa? Sayang abang? Takut orang apa-apakan abang?”
Adirra diam. Malu. Dan buat sementara waktu, dia betul-betul tiada jawapan. Rashdan pula sudah tersenyum simpul.

Sengaja Natrah tarik tangan Zafril agar duduk dibuaian besi bersama. Dia hendak pamerkan kemesraan antara dia dengan Zafril. Hendak benar melihat Adirra sakit hati. Suka benar dia kalau Adirra sakit hati dan marah-marah. Kelak, makin bencilah orang lain terhadap Adirra.

Namun dia begitu terkejut bila melihat Rashdan menghantar Adirra pulang. Kenapa Adirra boleh kenal dengan majikannya? Dan apakah hubungan mereka berdua sehingga kelihatannya Adirra sangat mesra dengan Rashdan? Apakah ini lelaki yang disebut-sebut Encik Malek sebagai teman lelaki Adirra? Lelaki yang dikatakan berjaya memujuk Adirra? Natrah sudah separuh cemas. Tidak boleh jadi ni. Mana boleh Adirra rapat dengan lelaki kaya itu. Sedangkan Natrah terlebih dahulu menaruh hati kepada Rashdan.

“Itulah teman lelaki baru Adirra,” beritahu Zafril dengan perlahan. Sudah beberapa kali dia melihat lelaki itu bersama Adirra. Waktu itu Zafril sudah mula rasa sesuatu.
Wajah Natrah berubah terus. Jadi benarlah Adirra ada hubungan intim dengan Rashdan? Tapi bagaimana mereka boleh berkenalan? Tambah pelik bagaimana lelaki seperti Rashdan itu boleh suka kepada Adirra. Sedangkan semua sudah sedia maklum akan perangai buruk Adirra. Lagi pula Adirra tu bukanlah cantik sangat. Kalau hendak dibandingkan dengan dirinya, Natrah fikir Adirra itu dua tiga kali ganda jauh bezanya. Adirra tu tak cantik langsung!

“Pak Cik Malek kata, mereka berkenalan masa Adirra hilangkan diri dulu. Lelaki tu jugaklah yang berjaya pujuk Adirra balik. Tentu hubungan mereka istimewa kan?” kata Zafril dengan nada kecewa. Sedikit tidak, Zafril rasa cemburu juga dengan perkembangan tersebut. Dia rasa sangat cemburu melihatkan kemesraan Adirra dan teman barunya itu. Tapi apa boleh buat. Dia sendiri yang lepaskan Adirra begitu saja!

“Iya ke, entah-entah kawan angkut saja. Saya tak percayalah! Tak kanlah ada orang yang berkenan perempuan macam tu!” kata Natrah bersama sakit hati yang amat sangat.

“Saya rasa tak, sebabnya lelaki tu jugaklah yang pujuk Adirra jangan pindah. Lagipun Pak Cik Malek cakap, Irra dengar cakap lelaki tu. Adirra tu bukan senang nak dengar cakap orang, kalau orang tu tak betul-betul istimewa buat Irra.” Kata Zafril lagi. Ada rasa sesuatu yang sudah menyinggah di benak Zafril. Rasa sedikit pilu bila mengenangkan Adirra kini sudah ada seseorang yang istimewa dalam hidupnya. Sedang selama ini, tempat itu milik Zafril seorang, dan kini sudah di huni oleh orang lain.

Tersirap darah Natrah tiba-tiba. Bermakna lelaki itulah yang menemani Adirra selama ini. Padanlah Adirra kelihatan seperti bahagia benar. Rupanya sudah bertemu dengan lelaki kaya.
“Elok jugalah kalau macam tu. Ada juga yang mampu menjinakkan budak manja tu.” kata Zafril sambil melihat Adirra yang sedang melangkah memasuki ruang halaman rumah.
Natrah terdiam terus. Tiba-tiba saja rasa tidak tentu arah. Rasa tidak percaya juga Adirra boleh mengenali lelaki seperti Rashdan.

“Hai senang hati nampak!” sapa Zafril ketika Adirra menghampiri mereka.

“Dengki ke aku senang hati?” soal Adirra pula.

“Taklah sampai dengki.” Jawab Zafril pula.

“Tapi bunyi soalan macam orang dengki je. Iyalah, kau orang mana boleh tengok aku senang hati. Kalau boleh nak tengok aku ni murung selalu. Kalau nampak aku senang sikit mulalah kau orang tak senang hidup.” Adirra menyindir.

Zafril sudah tidak tahu untuk berkata apa. Cakap-cakap Adirra seperti mengunci mulutnya untuk berlawan cakap lagi.

“Cakap ajelah kau orang tu memang dengki dengan aku. Habis cerita!” tambah Adirra dan dia terus masuk ke dalam rumah.

“Budak ni memang tak sayang mulut betul. Suka-suka hati dia nak cakap apa.” Rungut Zafril selepas itu.
Natrah masih membisu. Rasa sakit hati kian berhimpun membuatkan Natrah langsung tidak mampu untuk bersuara.

“Err…saya balik dululah. Malam nanti kita keluar makan boleh?”

“Hmm..” Itu saja yang terdaya Natrah lakukan bila dia benar-benar rasa tidak senang.

—————
Novel ini akan diterbitkan pada bulan Ogos 2011 oleh penerbit KaryaSeni. Jangan lupa dapatkan novel ini pada bulan ogos untuk sambungan dan mengetahui kesudahan novel ini.

*Di petik dari berbagai sumber*