viglink

Facebook like


Logo

Image by FlamingText.com

Enable clik

Info masuk



Listen My Radio at Facebook or Here

Background

Tweet Terbang

online

wibiya widget

Change colour

Silahkan Pilih Warna Background

Follow


Tulisan Ketik

Terima Kasih Dah Berkunjung di http://www.boynordin.blogspot.comSilahkan Anda Bagi Komen Ya...

Radio Boy Nordin Streaming



Listen My Radio at Facebook or Here




















Tuesday, November 22, 2011

Novel: Dan hati pun berkata (6,7,8,9,10,11)


Bab 6

Petang itu, ketika Adirra keluar dari biliknya dia terdengar ada suara bising-bising di ruang tamu. Kemudian suara itu semakin jelas. Rupanya Puan Rohani sudah bertandang.

“Ini mesti tak ada kerja lain. Mesti nak kutuk aku!” rungut Adirra sendirian. Dah tahu sangat mulut Puan Rohani tu. Jadi, Adirra ambil keputusan hendak dengarkan saja perbualan mereka dari situ saja. Manalah tahu memang betul Puan Rohani mengumpatnya. Senanglah dia menyerang balik nanti.

“Saya bukan tak suka Natrah berkawan dengan Zafril, cuma saya bimbang. Bimbang Irra akan salah faham nanti….” kata Puan Umi dengan wajah yang jelas-jelas menampakkan rasa kurang senangnya. Dia betul-betul bimbang dengan apa yang berlaku ketika itu.

“Nak bimbangkan apa pulak. Zafril dengan Irra bukannya ada apa-apa. Setakat kawan biasa saja. Tak usahlah Umi bimbangkan apa-apa!” Pantas Puan Rohani menjawab.

Natrah sudah tersenyum girang. Sambil itu menjeling mamanya, juga Puan Rohani saling berganti. Bermakna rancangannya untuk mengusai Zafril hampir berjaya.

“Selama ni budak tu saja yang melebih-lebih dengan Zafril. Sedangkan Zafril biasa saja. Mengada-ada tak tentu pasal. Menyampah saya tengok. ” Kutuk Puan Noraini lagi.

Perasaan Adirra jadi retak seribu. Kecewa dari segala kecewa. Rupanya begitu selama ini. Dia yang berlebih-lebih. Dia yang terhegeh-hegeh. Padanlah sekarang ini Zafril bagai endah tak endah dengannya. Rupanya dulu sekadar menjaga hati dan perasaannya saja.

“Tidaklah, saya tidak mahu kami anak beranak dituduh perampas. Sebab setahu saya, sebelum ini Zafril dan Adirra memang rapat. Jangan disebabkan kehadiran kami, Zafril juga berubah hati,” jelas Puan Umi. Sebenarnya dia begitu bersungguh dengan kebimbangannya.

“Janganlah bimbang sangat perkara tu. Perempuan macam Irra tu tak sanggup saya nak buat menantu. Kurang ajarnya satu hal, degilnya satu hal. Saya tak mahu mencari masalah. Memang tak layaklah nak jadi menantu saya. Lagipun Zafril sendiri yang beritahu saya, dia dengan Natrah memang tak ada hubungan istimewa. Sekadar kawan-kawan saja! Tak usahlah Umi bimbang.” jelas Puan Rohani sambil tersenyum. Dia sudah jelaskan apa yang sepatutnya. Harap-harap selepas ini, dia dapat melihat Zafril dan Natrah akan berkawan rapat. Itulah hajatnya sejak mula lagi.

Natrah bertambah-tambah girang. Bukan kepalang lagi. Bermakna Zafril itu bukanlah milik sesiapa, bahkan bukan milik Adirra juga. Natrah dapat merasakan bahawa selama ini Adirra sekadar bertepuk sebelah tangan saja. Memikirkan bahawa Adirra bakal kecewa, Natrah rasa nak ketawa. Rasa betul-betul gembira. Puas hatinya.

“Lainlah kalau macam Natrah. Siapa yang tak berkenan nak buat menantu. Baik orangnya. Bersopan santun. Senang hati mak mertua.” Puan Rohani dakap mesra bahu Natrah.

“Jadi Zafril dan Irra tak ada apa-apa hubungan selama ni?” soal Puan Umi inginkan kepastian.

“Jangan bimbang. Mereka tak ada apa-apa hubungan. Kalau adapun saya tak akan benarkan. Saya tak nak anak lelaki saya jadi hamba nanti. Jangan harap perempuan macam tu jadi menantu saya!” ujar Puan Rohani bersungguh.

Perlahan air mata Adirra luruh ke pipi. Sudah tak terkata. Nampak dengan jelas, satu persatu miliknya tidak diperakui lagi. Semuanya sudah pergi tinggalkannya.
Mujur juga papanya berkahwin lain, kalau tidak sampai sudah dia tidak akan tahu semuanya. Pasti dia tidak akan tahu selama ini Zafril sekeluarga hanya berpura-pura baik dengannya. Rupa-rupanya mereka langsung tidak ikhlas.

“Tapi saya rasa Adirra tu sayang sangat dengan Zafril. Mungkin dia tak akan lepaskan Zafril,” ujar Natrah setelah agak lama mendiamkan diri.

“Itu Natrah jangan bimbang. Tahulah nanti mak cik buat macam mana. Perempuan tak tahu malu memang macam tu!” kata Puan Rohani bersungguh.

“Hmm. Zafril pun masih ambil berat tentang Adirra. Mungkin Zafril pun sayangkan Adirra.”

“Tak adalah. Selama ni Zafril cuma menjaga hati Adirra tu saja. Anak manjalah katakan. Kenalah layan dengan baik walaupun tak suka!” Puan Rohani ketawa mengejek pula.
Sakit hati Adirra sudah tidak terkata. Dia terus ke biliknya. Tidak sanggup lagi mendengar semuanya.

Nampaknya setakat ini sajalah hubungannya dengan mereka. Selepas ini kalau ada dikalangan mereka yang mati tergolekpun di hadapannya, dia tidak akan peduli lagi. Adirra sudah nekad.

“Ah! Akupun tak ingin!” kata Adirra sendirian sambil memujuk hatinya yang sakit.

Adirra duduk di birai katil sambil berfikir untuk mencari jalan penyelesaian bagi semua masalah tersebut. Dia sudah tidak tahan tinggal di situ. Seperti semua sudah membenci dirinya. Adirra fikir, eloklah dia beransur pergi. Pergi jauh dari keluarga ini dan pergi jauh dari kehidupan yang pernah menjadi miliknya. Dia sudah jadi orang asing dan mungkin pihak ketiga. Untuk itu dia rela beralah. Tiada ada apa lagi yang tinggal untuknya.

Papanya sudah temui kehidupan sendiri. Zafril pula sudah berubah hati. Jadi, baiklah dia pergi saja.

Encik Malek termenung di meja makan. Melihat saja lauk pauk yang terhidang. Kalau dulu waktu-waktu begini, adalah saat-saat paling menggembirakan buatnya. Ada gelak tawa Adirra serta gurau sendanya. Sekarangnya semuanya serba sepi.

“Jemput makan bang,” pelawa Puan Umi bila melihat Encik Malek hanya termenung dan berdiam diri sejak tadi. Sejak akhir-akhir ini, Puan Umi dapat rasakan ada perubahan pada diri Encik Malek. Tidak seperti mula-mula mereka berkahwin dulu.

“Maaflah, abang tak selera nak makan.” Kata Encik Malek perlahan.

“Jamahlah sikit. Penat Umi masak.” Rungut Puan Umi.

“Abang betul-betul tak selera.”

“Umi tengok dua tiga hari ini abang nampak berubah. Tidak banyak bercakap, lebih banyak termenung. Abang ada masalah?’ soal Puan Umi lagi.
Natrah yang berselera makan sekadar menjeling Encik Malek dan Puan Umi. Malas nak tumpang sama bercakap. Tak ada faedah buatnya. Ini mesti tentang Adirra. Kalau bukan tentang Adirra, tentang apa lagi. Hanya Adirra saja punca semua masalah.

“Abang rasa rancangan untuk kita ke Pulau Langkawi tu terpaksa kita batalkan sebab Adirra tak nak ikut sama.”

“Tak apalah bang. Umi tak kisah. Tak pergipun tak apa. ” jawab Puan Umi hampa. Dia sendiri sudah berangan-angan untuk ke Pulau Langkawi.
Wajah Natrah sudah berubah. Terhenti seketika mengunyah makanan.

“Kenapa pulak pak cik?” soal Natrah dengan nada yang cukup kecewa.

“Tak seronoklah kalau Irra tak pergi…” jawab Encik Malek sambil bangun. Dia melangkah perlahan tinggalkan ruang makan selepas itu.

“Melampau betul! Sebab anak dia tak nak pergi, habis semua orang tak jadi pergi. Ikutkan sangat anak manja bodoh tu. Kalau tak nak pergi lantak dialah!” Natrah membebel namun dia menyambung semula makan.

“Janganlah macam tu Natrah. Natrah boleh pergi kemudian nanti. Lagipun Natrah dah kerja. Dah boleh pergi sendiri!” pujuk Puan Umi. Puan Umi mengeluh selepas itu. Dia sendiri sesungguh terlebih kecewa.

“Menyusahkan orang betul!” rungut Natrah.

Puan Umi mengeluh panjang selepas itu. Ternyata masing-masing sudah tidak gembira. Kegembiraan yang diharapkan seolah-olah sedang bersembunyi sangat jauh. Payah untuk ditemui.

“Makan ajelah mama, jangan pedulikan sangat pak cik. Hmm, anak dia yang buat perangai. Bukanlah salah kita.” kata Natrah bila melihat mamanya termenung sama.

“Mama susah hati dengan perangai Adirra. Dia masih tak boleh terima mama.”

“Mama jangan layan sangat budak manja tu. Kalau dia tak nak terima mama, mama jangan terima dia jugak. Habis cerita.”
Puan Umi mengeluh lagi Entah apa lagi yang harus di lakukan untuk menawan hati anak tirinya itu.

Perlahan Encik Malek berjalan ke arah pintu bilik Adirra. Kemudian diketuk pintu bilik dengan perlahan juga.

“Masuklah pintu tak berkunci,” jerit Adirra dari dalam bilik.

“Irra nak ke mana siap kemas baju ni?” soal Encik Malek sebaik sahaja terlihat Adirra sedang berkemas-kemas. Rasa terperanjat sudah menjengah. Apa lagi yang hendak Adirra lakukan. Lagaknya seperti orang hendak lari dari rumah sahaja.

“Irra nak balik kampung. Nak tengok nenek. Sementara belum dapat kerja ni Irra nak tinggal dengan nenek.” Beritahu Adirra tanpa melihat wajah Encik Malek. Masih sibuk memasukkan beberapa helai pakaian ke dalam beg.

“Kenapa tiba-tiba saja Irra nak tinggal dengan nenek. Selama ni Irra tak suka dengan suasana kampung. Irra takut sangat dengan nyamuk. Irra masih marah papa ya?” Teka Encik Malek sambil lihat wajah anak kesayangannya.

Adirra diam. Terus saja melipat pakaiannya. Bibit-bibit kesedihan sudah bermula di dalam dadanya. Sebentar lagi Adirra yakin air matanya akan luruh.

“Irrra merajuk dengan papa? Irra marah papa?” Encik Malek terus-terusan bertanya. Dia sama sekali tidak akan benarkan Adirra ke mana-mana.

Adirra diam juga. Kali ini dia tidak akan berubah hati lagi. Keputusannya sudah nekad. Tak akan berganjak, walau bagaimana sekalipun papanya memujuk.

“Atau Irra dah tak sayang papa lagi.”

“Kalau Irra tak sayang papa pun, apa papa susahkan. Papa dah ada Mak Cik Umi. Papa dah ada Natrah. Jadi kalau Irra pergi sekalipun, papa tak terkurang apa-apa. Mungkin papa akan lebih gembira nanti sebab anak papa yang kurang ajar ni dah tak kacau hidup papa.” Kata Adirra. Dia sudah mula rasa sebak. Tinggal masa saja lagi hendak menangis. Namun dia berusaha untuk bertahan. Dia tidak akan tunjukkan kesedihannya kepada papanya.

“Tapi Irra tetap anak papa. Sekalipun papa dah ada Mak Cik Umi dan Natrah, Irra tetap anak papa. Papa tetap sayangkan Irra sampai bila-bila.” Jelas Encik Malek. Itulah yang dia ingin Adirra tahu. Sampai bila-bila Adirra tetap akan kekal menjadi permata hatinya.

“Tak apalah papa. Irra tak mahu buat papa susah hati. Irra tak nak papa rasa serba salah. Irra ni susah untuk dijaga. Mak cik Umi pun dah merungut pada Mak Cik Ani. Mungkin dah tak tahan dengan perangai Irra. Yalah, Irra ni bukankah anak yang tak ada ibu sejak kecil. Jadi memang Irra kurang ajar dan tidak dididik dengan baik!” Beritahu Adirra perlahan.

Encik Malek pula yang terdiam. Sejak akhir-akhir ini juga, Encik Malek sendiri rasakan yang Adirra benar-benar susah untuk difahami. Ada saja perangainya yang membuatkan orang lain naik marah.
“Okeylah papa. Irra nak tidur ni. Irra naik bas pukul Sembilan pagi esok.” Bukan niat Adirra hendak menghalau papanya tetapi Adirra sudah tidak boleh berbicara dengan baik. Hatinya kian sakit. Mungkin sudah hancur juga.

“Esok papa hantar Irra ke Puduraya. Selamat malam sayang,” kata Encik Malek.

Adirra sudah tidak terkata. Dia saja menantikan papanya keluar dari bilik.

Sebaik sahaja Encik Malek tutup pintu Adirra, waktu itulah air mata Adirra berderai. Sedih dan pilu saling menguasai peraaannya. Bersungguh dia memujuk hati agar merelakan semuanya. Tiada apa lagi yang tinggal untuknya.

Encik Malek terus ke ruang tamu. Duduk di situ sambil termenung panjang. Nampak rajuk Adirra tak mahunya reda bahkan melarat pula hingga sanggup keluar rumah.

“Kenapa bang,” tanya Puan Umi.

“Irra nak pergi rumah neneknya.”

“Bila?”

“Esok pagi.”

“Dia masih merajuk ke bang?”
“Bukan senang rajuknya nak baik. Hmm, abang rasa eloklah jugak dia bawak diri sementara waktu. Manalah tahu boleh mengubat perasaannya,” kata Encik Malek dengan nada kecewa.

——————————-

Bab 7

Adirra bangun awal hari itu. Belum lagi pukul 7.00 pagi dia sudah keluar rumah dengan perlahan. Tidak mahu kepergiannya diketahui oleh sesiapa. Kalau boleh dia tidak mahu sesiapapun tahu ke mana dia pergi. Dia benar-benar hendak bawa diri jauh-jauh.

Selesai bersiap Encik Malek terus ke bilik Adirra. Hendak mengejutkan anak kesayangannya. Tahu Adirra memang susah hendak bangun pagi. Dari dulu, tugas mengejutkan Adirra memang terletak di bahu Encik Malek.

“Irra, bangun sayang. Dah pukul lapan ni. Kata naik bas pukul Sembilan.” Encik Malek ketuk pintu bilik anaknya namun beberapa kali panggilannya tidak terjawab. Bila Encik Malek tolak pintu bilik, Adirra sudah tiada. Beg pakaian yang diletakkan di tepi katil juga tidak kelihatan. Ini bermakna Adirra sudah pergi. Dia pergi sendirian. Pergi tanpa pesan.
Tiba-tiba saja Encik Malek rasa sudah tidak terkata. Rasa sedih yang tidak terungkap. Anak gadis kesayangannya pergi begitu saja tanpa pengetahuannya. Inilah buat kali pertamanya Encik Malek rasa dipinggirkan. Rasa tidak diperlukan lagi. Perlahan dia tutup semula pintu bilik Adirra dan melangkah menuruni anak tangga.

“Irra tak bangun lagi bang?” soal Puan Umi.

“Dia dah pergi.” Jawab Encik Malek perlahan. Sudah terpamer dengan jelas akan kesedihan di wajah Encik Malek.
“Dah pergi? Tak beritahu pun.” Puan Umi kelihatan terkejut. Begitu juga dengan Natrah. Namun Natrah senyum sinis selepas itu. Puas hatinya. Pengacau utama sudah tiada di dalam rumah itu. Jadi, selepas ini bolehlah dia berkuasa penuh.

Encik Malek tidak bersuara. Dia hanya duduk dan meneguk air minuman yang tersedia terhidang.

“Abang pergi dulu,” kata Encik Malek sambil bangun.

“Kalau iyapun jamahlah dulu nasi goreng ni.” kata Puan Umi dengan lembut.

“Tak apalah.” Encik Malek terus beredar.
Puan Umi dan Natrah hanya saling berpandangan berpandangan selepas itu.

Selesai bersarapan, Natrah terus keluar rumah. Tahu Zafril sudah setia menantinya.

“Kenapa dengan Pak Cik Malek tu. Saya tegurpun tak jawab,” soal Zafril sebaik sahaja Natrah masuk ke dalam kereta.

“Hmm…dia sedih agaknya.”

“Sedih?”

“Irra dah tinggalkan rumah.” Beritahu Natrah.

“Irra tinggalkan rumah?” soal Zafril dengan rasa terperanjat.

“Hmm…Irra kata nak duduk dengan nenek dia di kampung sementara dapat kerja,” beritahu Natrah dengan perasaan gembira. Gembira kerana Adirra sudah tinggalkan rumah. Bermakna dia boleh buat sesuka hatinya tanpa perlu menjaga hati Adirra.

“Irra ni memang suka sangat cari pasal!” Zafril segera mencari telefon bimbitnya. Cuba menghubungi Adirra.

“Irra, kenapa dengan awak ni?” marah Zafril sebaik sahaja panggilannya dijawab.

“Merajuk? Tua-tua nak merajuk?” soal Zafril lagi.
Adirra terus tutup telefon bimbitnya. Tidak mahu lagi mendengar suara Zafril. Makin menjadi-jadi sakit hatinya bila mendengar suara Zafril.

“Irra….!” Zafrl menjerit bila suara Adirra sudah tidak kedengaran.

“Kenapa?” soal Natrah ingin tahu. Pelik juga bila mendengar suara Zafril begitu. Selalunya tak pernah nak menjerit-jerit.

“Irra tutup telefon dia.” jawab Zafril hampa.

Natrah senyum puas. Akhirnya dia berjaya juga menyingkirkan Adirra. Tidak sangka pula semudah itu.

“Dahlah, jangan fikirkan sangat pasal dia.” desak Natrah bila melihat wajah Zafril berubah. Natrah tahu Zafril masih sayangkan Adirra. Dari tingkah Zafril, Adirra tahu Zafril masih mengambil berat tentng diri Adirra. Ini bermakna Zafril masih sayangkan Adirra. Tapi Natrah sudah berazam. Dia tidak akan membuatkan Zafril berpatah arah semula. Dia akan pegang Zafril seeratnya. Dia janji tak akan membiarkan Zafril kembali kepada Adirra. Tidak akan sama sekali.

Sudah seminggu Adirra tinggalkan rumah. Namun sekalipun tidak dia menghubungi papanya. Berkali-kali juga Encik Malek menghubungi Adirra namun panggilannya bagai tidak dijawab. Keadaan itu memaksa untuk Encik Malek menghubungi nenek Adirra belah arwah isterinya untuk bertanyakan tentang Adirra.

“Saya nak tanya keadaan Irra. Bagaimana dia di kampung?” soal Encik Malek ketika panggilannya dijawab.

“Irra? Tak tahu. Mak tak tahu tentang Irra,” jawab nenek Adirra.

“Irra tak balik kampung?” soal Encik Malek dengan hairan.

“Tak ada. Cuma dia ada telefon mak dua tiga hari lepas. Katanya dia sihat-sihat saja.”
Encik Malek panik tiba-tiba. Untuk tidak lebih membimbangkan nenek Adirra, Encik Malek tidak bertanya lebih lanjut. Hanya bertanyakan duit belanja yang di kirimkan sudah sampai ke belum. Selepas itu Encik Malek tidak bercerita lagi tentang Adirra.

“Ke mana pulak dia pergi.” Encik Malek dilanda cemas.

“Kenapa bang?”soal Puan Umi bila melihat suami dalam keadaan cemas.
Encik Malek hanya memandang wajah Puan Umi. Kemudian dia tergesa-gesa hendak keluar.

“Abang kenapa saya tengok abang cemas saja,” soal Puan Umi lagi.

“Abang nak pergi rumah Fuad sekejap, nak tanyakan tentang Irra.”

“Kenapa dengan Irra?”

“Irra tak ada di kampung. Neneknya cakap Irra tak balik kampung.”

“Kalau Irra tak balik kampung, dia ke mana?” soal Puan Umi.

“Inilah yang abang nak tanyakan Zafril. Manalah tahu Irra ada telefon dia.”

“Bang, janganlah cemas sangat. Irra tu dah besar. Dia tahu apa yang dia buat.” Nasihat Puan Umi.

“Eh, mestilah abang cemas. Irra tu anak abang. Darah daging abang. Awak senanglah bercakap sebab dia bukan anak awak.” Encik Malek sudah tidak dapat mengawal rasa marahnya. Bila melibatkan soal Adirra, Encik Malek tidak boleh bertolak ansur lagi.

“Apa maksud abang ni? Abang nak cakap saya tak bimbangkan Irra, begitu?” soal Puan Umi pula.

“Iyalah. Sebab dia cuma anak tiri awak. Bukan anak kandung aak. Jadi, tak perlulah awak ambil berat tentang dia. Dia nak ke mana pun, awak peduli apa!” marah Encik Malek.

“Dari mula lagi saya dah anggap Irra macam anak saya sendiri, tapi Irra yang tak pernah nak terima saya. Itupun abang nak salahkan saya?” balas Puan Umi dengan nada sedih dan kesal. Tidak boleh terima tuduhan Encik Malek terhadapnya.

“Kalau betul awak terima dia sebagai anak awak sendiri, awak tak akan jaja keburukkan dia pada orang lain. Ini tidak. Awak beritahu pada orang lain yang perangai Irra tu teruk sangat.” tambah Encik Malek.

“Apa abang cakap ni…? Umi tak faham!” soal Puan Umi.

“Apa yang awak dah cerita pada Ani tentang Irra?” soal Encik Malek sambil pandang tepat wajah Puan Umi.

Puan Umi terdiam. Teringat beberapa hari sebelum Adirra tinggalkan rumah dia ada mengadu hal kepada Puan Rohani. Hal itu jugaklah yang membangkitkan kemarahan Adirra.

“Lepas kena tegur dengan Ani, Irra terus bawa diri. Apa gunanya awak selaku emak kalau masih minta bantuan orang lain untuk tegur perangai dia? Itu yang buat dia merajuk begitu sekali. Sekarang dia dah tak ada dalam rumah ni, awakpun rasa amanlah. Seronoklah. Taklah awak sakit mata nak tengok perangai anak saya.” Suara Encik Malek sudah kuat.

Puan Umi rasa begitu sedih. Kali pertama dia dimarahi selepas berkahwin dengan Encik Malek. Dia sendiri tidak menyangka Adirra tinggalkan rumah hanya disebabkan perkara tersebut. Kalau dia tahu, dia tidak akan sama sekali ceritakan apa-apa pada Puan Rohani.

“Adirra tu anak saya. Dari kecil saya bela dia. Saya tahu perangai dia. Buruk baiknya dia semua saya tahu. Saya kahwin dengan awak pun sebab dia. Saya nak dia rasa ada seoran ibu. Rasa macam mana seorang ibu mendidik dia sebab saya rasa dalam usia begini dia lebih memerlukan seorang ibu dari seorang ayah. Tapi saya silap tentang awak.” Kata Encik Malek dengan kesal.
Encik Malek terus beredar bersama perasaan marah. Sedang Puan Umi sudah mula menangis. Rasa begitu sebak sekali. Tidak sangka Encik Malek akan keluarkan kenyataan seperti itu.

“Irra tak balik kampung?” Zafril juga terperanjat. Wajahnya terus berubah. Cuba berfikir seketika. Ke manalah Adirra membawa diri.

“Tak ada dia hubungi kamu langsung?” soal Encik Fuad pula.

“Tak ada ayah. Dah banyak kali saya telefon dia, tapi langsung tak berjawab.” Balas Zafril.

“Ke mana pulak dia pergi,” keluh Encik Fuad sendirian.

“Pak cik ada bergaduh dengan dia? Manalah tahu dia merajuk,” soal Zafril pula.

“Pak cik rasa tak ada pulak bergaduh dengan dia. Cuma sejak akhir-akhir ini pak cik kurang memberi perhatian kepada Irra.” jawab Encik Malek.
Masing-masing cuba mencari punca selepas itu.

“Tapi sebelum pergi malam tu dia ada cakap tentang Ani. Ani ada cakap apa-apa pada dia sebelum tu?” soal Encik Malek kepada Puan Rohani.
Puan Rohani terdiam. Mengingati semula akan tutur bicaranya.

“Mak ada cakap apa-apa pada Irra?” soal Zafril pula.

“Mak tak cakap apa-apa. Cuma mak nasihatkan dia supaya berubah. Mak cik Umi ada mengadu dengan mak dia dah tahan dengan perangai Irra. Itu saja.”

“Apa yang Umi cakap pada awak?” soal Encik Fuad.

“Dia cakap Irra tu mengada sangat. Kurang ajar. Cakap main lepas. Cakap Umi langsung tak nak dengar. Jadi saya pun tegurlah pada Irra. Tak tahu pulak Irra merajuk sampai begitu sekali. Bukannya saya marah dia. Saya cakap elok-elok,” kata Puan Rohani perlahan.

“Benda ni tak akan jadi kalau saya tak kahwin lagi. Sudahnya saya hilang anak yang saya sayangi. Selama ini saya tak tahu pulak anak saya tu mengada-ngada. Belum pernah dia kurang ajar dengan saya.” Balas Encik Malek dengan nada kesal.

Puan Rohani diam. Dia dalam hati merungut juga. Huh! Siapa yang mahu mengaku anak sendiri jahat! Ibu bapa mana yang mahu mengaku salah silap anak sendiri. Puan Rohani sedar juga, Encik Malek cuba menyalahkan dirinya dalam hal ini. Dari itu Puan Rohani fikir eloklah dia diamkan saja.

“Sabarlah Malek. Nanti kita cari Irra sama-sama. Saya yakin Irra tak ke mana-mana tu. Mesti dia sedang berada di rumah kawan-kawannya.” Pujuk Encik Fuad lagi.

“Mana saya nak cari Irra kalau dia sendiri yang nak larikan diri daripada saya. Dia memang dah merajuk. Saya tahu dia berjauh hati. Kenapalah saya setuju dengan perkahwinan ini. Kalau saya tahu perkara ni akan terjadi, pasti saya akan tolak.” Keluh Encik Malek.

Puan Rohani dan Encik Fuad hanya mendiamkan diri selepas itu. Mereka tahu seperti Encik Malek sedang ditimpa rasa kesal yang amat sangat.

“Nanti saya tanyakan pada kawan-kawan dia. Mungkin mereka tahu di mana Irra berada,” kata Zafril cuba meredakan keresahan Encik Malek.

Encik Malek terus diamkan diri selepas itu. Fikirannya jadi berserabut. Sudah tidak tahu untuk berfikir apa-apa.

Bab 8

Adirra membantu kakak sepupunya mengemas. Sudah hampir seminggu dia tinggal di rumah kakak sepupunya. Adirra sesungguhnya sejak awal telah memilih untuk tinggal di rumah kakak sepupunya itu. Kerana kawasan perbukitan itu sangat sesuai buat Adirra untuk mencari ketenangan.

Rumah kakak sepupu yang dipanggil Kak Lina itu, terletak di kaki Bukit Senyap. Satu kawasan yang jauh ke pendalaman. Kebanyakkan penduduk di situ hanya bergantung kepada usaha bertani termasuklah ada yang bekerja di ladang lembu di kawasan tempat mereka. Suami Kak Lina sendiri bekerja sebagai pemandu lori yang mengangkut lembu-lembu ke tempat pemasaran.

Untuk menambah wang perbelanjaan, Kak Lina membuka warung goreng pisang. Seawal pukul 2.00 petang dia sudah mula membuka warungnya. Di warung itulah Adirra habiskan masanya saban petang, membantu Kak Lina.

“Irra, baik Irra telefon sajalah papa Irra. Nanti risau pulak dia. Kakak rasa tentu papa Irra dah tahu Irra tak ada di kampung sekarang ni,” usul Kak Lina. Dia sendiri rasa serba salah dengan keadaan itu. Hendak sendiri menghubungi papa Adirra, takut Adirra merajuk pula. Setakat merajuk saja masih tidak apa, buatnya Adirra membawa diri entah ke mana, lagi masalah nanti.

“Kalau papa tahu pun papa dah tak kisah. Papa bukannya sayang Irra lagi.” jawab Adirra sambil menahan perasaan sedih.

“Irra jangan jadi budak-budak. Irra dah besar, kenapa masih berfikiran macam tu lagi. Cubalah berlajar untuk memahami keadaan. Apa salahnya Irra terima saja pilihan papa Irra tu. Irra tak suka nak tengok papa Irra bahagia?”

“Iyalah. Papa Irra dah ada Mak Cik Umi, dah ada Natrah. Tentu papa Irra bahagia sangat-sangat sekarang ni. Sebab itu Irra ada atau tak ada sama saja buat papa! Papa memang dah tak sayang Irra lagi!” Hampir saja Adirra menangis ketika menghabiskan tutur bicaranya.

“Jadi Irra pun tak sayangkan papa Irra lagi?” soal Kak Lina.

“Irra tetap sayangkan papa Irra sampai bila-bila. Dia papa Irra. Sampai matipun Irra akan sayang papa Irra.”

“Macam itu jugaklah papa Irra. Dia akan sayangkan Irra sampai bila-bila. Irra tetap anak dia sekalipun dia sudah ada orang lain, kasih sayang untuk Irra masih ada.” Pujuk Kak Lina dengan lembut. Manalah tahu boleh mencairkan perasaan Adirra yang sekeras batu itu.

“Irra malas nak fikir apa-apa lagi kak. Irra cuma nak tenangkan fikiran Irra saja. Jadi selepas ni Irra dah tak mahu ambil tahu lagi. Biarlah papa dengan kehidpuannya. Itu keputusan yang menjadi pilihan papa, jadi Irra terima saja!”

“Suka hati Irralah, akak tak boleh nak cakap apa. Irra fikirlah yang mana baik.” Kak Lina sudah hampir putus asa untuk menasihat adik sepupunya itu. Tahu juga hati Adiraa tidak boleh dilembutkan dengan mudah.

Untuk seketika Adirra hanya termenung. Dia cuba untuk memujuk perasaan sendiri. Cuba mempertahankan apa yang dilakukan itu adalah betul walaupun dia sedar tindakannya itu sama sekali salah.
Cuba menyakinkan diri juga bahawa keputusannya kali ini benar-benar tepat. Mungkin ketiadaannya akan buat semua orang tambah aman. Papanya akan tambah mesra dengan isteri barunya. Papanya juga akan menerima Natrah sebagai anak sendiri tanpa perasaan serba salah dan Zafril akan menyintai Natrah juga tanpa sebarang gangguan daripada Adirra. Adirra tahu dalam semua hubungan, dialah orang ketiga. Untuk itu Adirra kira dia tidak salah dengan meninggalkan semua yang pernah dia miliki sebelum ini. .Biarlah dia beralah demi kebahagian semua orang.

“Saudari, saudari…!” panggil seseorang.
Sekaligus lamunan Adirra terhenti. Dia terpandang seorang lelaki yang sedang berdiri di hadapannya.

“Maafkan saya,” kata Adirra. Jauh benar dia mengelamun sehingga terlupa seketika pada sekelililingnya.

“Saya nak goreng pisang ni tiga ringgit,” pinta lelaki tersebut.
Dengan pantas, Adirra membungkuskan goreng pisang yang dipesan. Lalu diserahkah kepada lelaki tersebut.

Sepuluh ringgit menjadi tukaran. Sementara menantikan wang baki, lelaki itu perhatikan wajah Adirra.

“Sebelum ni belum nampak awak? Pekerja baru di sini?” soal lelaki itu.
Adirra anggukkan kepalanya. Malas nak layan lebih-lebih.

“Indonesia bahagian mana?”

Bertuah betul! Dia ingat aku orang Indonesia? Gamaknya yang menjadi pembantu di gerai-gerai kawasan sini, semuanya orang Indonesia. Macam penduduk tempatan tak layak nak buat semua kerja ni. Marah Adirra di dalam hati.

“Saya bukan orang sana, saya rakyat Malaysia tulin!” beritahu Adirra dengan bangga berbaur marah.

“Oh, maaf. Sebabnya pembantu gerai sebelum ini kebanyakannya orang dari sana.” Beritahu lelaki itu lagi.

Adirra buat tidak tahu. Malas nak layan. Nanti hangit pula pisang gorengnya.

“Encik nak apa lagi?” soal Adirra bila melihat lelaki tersebut masih tak bergerak-gerak.

“Err..” Lelaki seorang itu teragak-agak hendak menjawab. Akhirnya dia melangkah juga tinggalkan gerai Kak Lina.

“Muka macam perompak!” rungut Adirra sendirian selepas itu.

“Apa ni, merungut sorang-sorang?” tegur Kak Lina.

“Tu mamat yang muka macam perompak tu, siap tanya kat Irra, Indonesia bahagian mana!” Bebel Adirra.

“Iyalah, sebelum-sebelum ni semua pembantu akak orang seberang. Jadi semua orang ingat Irrapun macam tu,” kata Kak Lina lagi.
Adirra terus tarik muka masam. Sementara Kak Lina senyum saja melihat tingkah Adirra. Dah dasar kepala angin. Benda remeh pun muka dah mencuka.

Keesokkannya lelaki itu muncul lagi di hadapan Adirra. Kali ini dia memilih untuk membeli goreng keledek pula.
Hmm, ada lagi rupanya perompak ni. Entah-entah sedang bersembunyi dari buruan polis. Berdetik juga hati kecil Adirra bila melihat lelaki yang sama muncul lagi.

Lelaki yang berkulit cerah itu nampak tidak terurus. Betul-betul nampak selekeh. Dengan rambutnya yang panjang mencecah bahu serta jambang yang tidak terjaga kelihatannnya dia seperti seorang lelaki yang hidup di dalam dunianya sendiri. Tak salah kalau Adirra katakan lelaki ini kalau tidak perompak mungkin baru terlepas dari mana-mana pusat sakit mental.

Tiba-tiba saja Adirra rasa cemas dan takut. Buatnya lelaki ini betul-betul gila. Di mana pulak dia hendak meminta tolong. Kak Lina pula balik rumah sekejap untuk melihat anaknya yang sedang demam.
Adirra menanti dalam cemas. Kali ini agak lama lelaki itu berdiri sambil memilih goreng keledek sehingga Adirra naik bosan.Betullah mamat ni tak cukup, pilih keledek goreng macam pilih baju. Lama betul. Sudahnya dia duduk semula sambil menongkat dagu. Diperhatikan gelagat lelaki itu sambil gelengkan kepala.

“Ada juga lelaki macam ini,” keluhnya dalam diam.

“Saudari…!” panggilnya bila sudah berpuas hati. Perlahan Adirra bangun mendapat lelaki tersebut.

“Goreng keledek tiga ringgit dan goreng pisang tiga ringgit!” arahnya. Dengan cepat Adirra membungkuskan pesanan lelaki tersebut.

“Tak ada diskaun?” soal lelaki itu tiba-tiba. Adirra menjeling. Nampak seperti lelaki itu sedang tersenyum. Tahulah Adirra ada yang sedang buat lawak bodoh.

“Kalau nak diskaun, goreng sendirilah!” jawab Adirra selamba.
Lelaki itu gelak pula. Macam suka benar dengan cakap-cakap Adirra. Tapi Adirra tak layanpun. Tak senang.

Adirra serahkan bungkusan goreng pisang dan goreng ubi keledek kepada lelaki tersebut tanpa memandang wajahnya.

.”Terima kasih,” kata lelaki itu sambil menyerahkan duit kepada Adirra sambil berdiri tegak di situ sambil memerhatikan Adirra melayan dua orang pelanggan yang baru sampai.
Ketika Adirra sibuk melayan pelanggan perlahan lelaki itu berjalan menuju ke tempat letak keretanya. Dari jauh dia menjeling. Dan dari jauh juga Adirra mengurut dada, selamat aku! Orang gila selalunya bukan semacam.

———————————-

Bab 9

Hujan turun lagi dengan lebatnya. Hampir saja mengaburi pandangan mata. Saban petang beginilah keadaannya. Hujan dan hujan. Basah serta kesejukan bagai setia menemani Adirra kebelakangan ini.

Waktu dia leka melihat wajah hujan, tiba-tiba Adirra terlihat seorang lelaki berpayung menuju gerai milik Kak Lina. Langkahnya laju dan kemudian berdiri di hadapan Adirra sambil menutup payung.

Adirra amati wajah lelaki itu berkali-kali. Kurang percaya dengan apa yang di lihatnya. Lelaki itu? Lelaki selekeh yang mula singgah di gerai Kak Lina dua tiga hari yang lalu? Hampir saja Adirra terperanjat bila lelaki yang sama muncul lagi. Kali ini dengan penampilan yang jauh berbeza dari hari-hari sebelumnya. Langsung tak ada gaya perompak. Kali ni macam ketua belia yang pergi meeting pun ada. Semacam betul!

“Kenapa? Tak percaya?” soalnya sambil tersenyum bila melihat mata Adirra tidak berkedip memandang ke arahnya.

Adirra tergamam seketika. Diam seribu bahasa. Wajah lelaki di hadapannya menjadi tatapan. Menipu benarlah kalau Adirra tak rasa apa-apa.

“Kenapa? Kacak sangat ke saya ni…?” soalnya lagi sambil tersenyum.

Adirra tersentak. Tak guna! Macamlah dia itu kacak benar. Perasan betul! Yang Adirra cari sebenarnya ialah jambangnya.
Adirra urut dagunya beberapa kali. Tanda Adirra bertanyakan jambang lelaki tersebut.

“Oh! Dah buang.” Faham juga lelaki itu sekalipun Adirra bertanya hanya menggunakan bahasa isyarat.

“Kenapa? Handsome?” Lelaki itu tersenyum pula.
Aduhai, tak pernah ku jumpa lelaki yang sebegini perasan! Bisik hati Adirra.

“Hmm…Lebat betul hujan petang ni.” Kata lelaki itu lagi tanpa memperdulikan perasaan yang melanda Adirra.
Adirra masih tidak mampu untuk bersuara. Diam membatu. Pelik juga, kenapa dia jadi begitu? Kenapa dia tidak boleh bercakap lagi?

Lelaki itu memilih untuk duduk disalah satu kerusi yang disediakan di warung tersebut. Betul-betul berhampiran tempat Adirra berdiri.

“Saya Rashdan. Tapi panggil abang saja.” Tiba-tiba lelaki itu memperkenalkan diri dari tempt duduknya..
Adirra masih begitu. Masih kurang percaya dengan apa yang terpandang. Adirra sendiri tidak tahu kenapa dia harus jadi begitu. Selalunya dia tidak hairan langsung dengan mana-mana lelaki.

“Kenapa ni….?” tanya Rashdan lagi.

Barulah Adirra tersedar. Barulah Adirra tahu hujan masih belum reda dan baru Adirra kembali berpijak di dunia nyata. Sebentar tadi entah ke dunia mana dia di bawa terbang. Aduhai, entah apa-apalah perasaan ini, rungut Adirra di dalam hati.

“Apa encik cakap tadi?” soal Adirra. Sengaja bertanya untuk sembunyikan rasa malu. Yalah, mana manis anak dara tengok lelaki begitu.

“Janganlah berencik pulak. Panggil abang dahlah!”
Banyaklah dia punya abang! Bisik hati Adirra.

“Nak minum apa?” Perlahan Adirra bertanya.

“Kopi O.”
Adirra tersedak. Kemudian terbatuk kecil. Kopi O? Mana dia pandai buat kopi O. selama ini papanya yang tukang buat air untuknya. Jangan kata nak buat kopi O, serbuk kopi pun dia tak kenal.

“Bang, air sirap boleh?” soal Adirra dengan wajah serba salah. Masa itulah Adirra lihat lelaki bernama Rashdan itu melihat hujan yang mencurah. Hujan-hujan nak jamu air sirap? Fikir secara logik, mesti orang lain dapat agak Adirra tak pandai buat kopi O.

“Tak apalah. Air sirap pun air siraplah!” kata Rashdan beralah. Cuba memahami keadaan Adirra.

Wajah Adirra kembali ceria. Selesai buatkan air sirap, dia letak atas meja. Waktu itu Rashdan sudah mengambil beberapa ketul goreng pisang.

“Terima kasih,” katanya perlahan.

“Maaf bang, sebenarnya Irra…” Adirra teragak-agak hendak mengakui kekurangan sendiri. Selama ini pun, dia mana pernah mengaku apa-apa, sekalipun dia benar-benar salah, tetapi melihatkan Rashdan tidak begitu berkira dengannya, Adirra rasa kurang senang. Lebih-lebih lagi memang tidak sesuai menjamu pelanggan dengan air sirap waktu-waktu hujan begitu. Kalau Kak Lina tahu, habislah Adirra dibebelnya. Dah besar panjang begitu masih tidak tahu bancuh air kopi.

“Tak apa, abang tak kisah. Abang faham,” kata Rashdan penuh pengertian. Sudah tahu apa yang hendak disampaikan oleh Adirra. Budak perempuan sekaranglah katakan!
Adirra teresenyum riang. Tiba-tiba dia rasa begitu senang hati. Sikap lelaki yang minta dipanggil abang itu sangat menyenangkan. Rasanya dia bukan perompak. Kalau perompak dah lama Adirra kena tetak!

Adirra kembali ke tempat dia berdiri tadi. Kerja menggoreng pisang dihentikan buat seketika kerana masih ada goreng pisang yang sudah siap digoreng.

“Sebenarnya abang rasa bosan sangat di rumah. Tak tahu pulak nak pergi mana. Kemudian abang teringat adik. Mungkin kita boleh berbual sambil tu boleh juga abang mengenali diri adik.”

Ini yang Adirra tak suka. Nak kenal-kenallah pulak. Tapi Adirra senang dengan cara lelaki itu. Lelaki yang berterus terang. Dia suka lelaki yang berani menyuarakan keinginan. Jadi dia tidak keberatan menerima salam perkenalan daripada lelaki tersebut.

Adirra sendiri juga selalu rasa bosan. Lebih-lebih lagi sepanjang dia di sini, tiada teman untuk berbicara, apatah lagi untuk bergurau senda. Kakak sepupunya tidak boleh diharap benar. Sibuk memanjang. Tambahan pula kakak sepupunya itu punya keluarga yang perlu diuruskan juga.

“Abang dah 32 tahun.” beritahu Rashdan walau tanpa diminta. Terpaksa juga Rashdan beritahu usianya kerana tidak mahu suasana jadi senyap sunyi. Lagi pula, Rashdan sendiri bingung untuk mencari bahan bicara. Jadi, apa salahnya dia perkenalkan dirinya.

“Saya Adirra, umur…” Adirra merenung tepat wajah lelaki itu. Jauh benar jarak usia mereka. Bolehkah mereka berkawan nanti.

“Kalau tak sebut umur tak mengapa. Abang tak kisah. Tapi abang tahu, masih muda lagi bukan?”

“Irra baru 21 tahun.” Balas Adirra. Tak ada rahsia tentang angka umurnya.

“Hmm…, Adirra…” Rashdan tersenyum sendirian. Sudah tahu nama gadis yang menjadi intaiannya dua tiga hari kebelakangan ini.
“Irra, panggil Irra saja.” Adirra paling tak gemar kalau orang menyebut nama penuhnya.

Perbualan mereka terhenti bila ada yang hendak membeli goreng pisang.

“Sebelum ini abang tak pernah nampak Irra. Sebenarnya Irra berasal dari mana?” soal Rashdan setelah pelanggan beredar.

“Orang KL.” Jawab Adirra ringkas.

“Jauhnya. Kenapa jauh-jauh bawak diri sampai ke sini?”

“Irra lari dari rumah.” Adirra berterus terang.

“Lari lari dari rumah?” soal Rashdan dengan rasa pelik. Cepatnya gadis ini berterus terang.

“Papa Irra kahwin lain. Lepas tu dah tak sayangkan Irra.” Terus Adirra menangis. Kedua tangan sudah menutup muka. Setiap kali diungkit perkara tersebut, setiap kali juga air mata Adirra berjuraian. Hatinya jadi sakit.

Rashdan sudah tersenyum. Hmm.. Sah anak manja yang bermasalah. Baru terbukak sedikit cerita dah meraung.

“Sabarlah…Kita tak mampu nak melawan suratan takdir. ” Pujuk Rashdan perlahan. Tahu anak manja selalunya suka di beri perhatian begitu.

“Habis mama Irra macam mana?”

“Irra dah lama tak ada mama. Mama Irra meninggal masa Irra umur tujuh tahun.”

“Senasiblah kita. Mak abang pun meninggal masa abang masih kecil. Tapi ayah abang dah siap-siap kahwin sebelum emak abang meninggal. Jadi elok saja arwah mak abang dikebumikan, terus mak tiri dengan adik abang masuk rumah. Lagi sedihkan?”

“Abang pun ada mak tiri?” Adirra cepat-cepat sapu air matanya. Rasa sedikit lega bila ada orang lain yang senasib dengannya.

“Hmm..”

“Mak tiri jahatkan.” Kata Adirra perlahan.

“Memang.” Ringkas jawapan Rashdan. Tapi Rashdan rasa seperti dia sedang bercakap dengan seorang budak sekolah tadika yang manja, yang tahu merengek dan merungut. Akan tetapi dia cukup selesa begitu. Rasa gembira juga melihat telatah Adirra. Bukan saja nampak manja, tapi berwajah comel juga. Sesuai sangatlah dengan sikap kebudak-budakkannya. Mungkin sebab itu hati Rashdan tertawan. Tertawan? Hmm…

“Sudahlah, jangan menangis lagi. Irra sendiri dah besar. Dah ada kehidupan sendiri. Biarkanlah papa Irra teruskan hidup dia.”

“Tapi Irra sedih. Papa macam tak sayangkan Irra lagi.”

“Papa Irra masih sayangkan Irra. Mana boleh dia tak sayangkan Irra, sebab Irra anak dia. Cuma abang rasa Irra masih tidak boleh terima kenyataan. Irra perlukan lebih banyak masa!” kata Rashdan.

“Habis abang dah boleh terima kenyataan? Abang boleh terima ibu tiri serta adik abang?” soal Adirra.
Rashdan mengeluh panjang. Susah untuk dia berikan jawapan kerana sesungguhnya, sehingga saat itu, dia masih belum boleh terima semuanya. Dia masih berdendam dengan ayah dan ibu tirinya.

Rashdan renung tepat wajah Adirra. Dia tidak boleh berikan jawapan jujur kerana itu bakal menambah lagi kebencian di hati Adirra. Rashdan tahu hati Adirra sangat suci, jadi dia tidak boleh cemarkan kesucian itu dengan menambah kebencian yang mula bercambah pada diri gadis berwajah comel itu.

“Abang dah boleh terima kenyataan. Tapi abang pilih untuk hidup begini. Buat hal sendiri!”

“Kalau begitu abang masih tak boleh terima kenyataan. Maknanya abang pun sama macam Irra. Abang larikan diri!”

“Abang tak larikan diri. Abang cuma jauhkan diri saja!” Rashdan pertahankan kata-katanya.

“Samalah tu…Tapi Irra gembira, sebab kita sama!”

Adirra tersenyum. Rasa gembira mengenali Rashdan yang senasib dengannya. Akhirnya dia bertemu juga dengan kawan yang boleh memahami keadaan dirinya. Dan selepas itu mereka terus berbual panjang. Seolah-olah rakan lama yang baru bertemu.

Bab 10

Rashdan gagal untuk melelapkan matanya. Hampir sepetang menemani gadis yang baru dikenali sebagai Adirra itu seperti membangkitkan semula semangatnya. Semangat yang sudah lama mati. Seolah-olah dia sudah dipertemukan dengan sinar baru. Sinar yang tak pernah dia impikan selama ini.

Tiba-tiba saja Rashdan rasa semuanya seperti indah belaka.

Rashdan mengiring ke kanan. Tak kena ke kanan, dia ke kiri pula. Ah! Semuanya tidak menjadi. Akhirnya dia putuskan untuk tinggalkan katilnya. Dia melangkah ke dapur. Hendak basahkan tekak.
Rashdan sendiri tidak tahu kenapa dia begitu berkenan dengan gadis yang seorang itu? Kenapa hatinya bagai ditarik sesuatu untuk mengenalinya.

Kalau dari sudut pandangan mata, Adirra itu kelihatanya biasa-biasa saja. Seperti kebanyakkan gadis lain. Lebih sikitpun gadis itu memiliki raut wajah yang comel. Akan tetapi entah kenapa di dalam dada Rashdan bagai ada yang sudah tidak kena pada pandangan pertama lagi.

“Tak mengapalah. Kita kenal saja dia dulu. Kemudian nanti kita buat penilaian. Dia layak atau tidak untuk bertempat di dalam hati, kita akan putuskan nanti.” Begitu sekali Rashdan memujuk diri.
Namun yang anehnya kenapa dia harus memiliki rasa begitu ketika usianya beranjak ke 32 tahun? Kenapa sebelum-sebelumnya langsung perasaannya tidak diusik dengan rasa aneh itu.
Ah! Malas dia hendak fikirkan sebab sejak mula dia tidak tahu akan jawapannya.

Pagi itu sengaja Rashdan keluar awal. Bersama basikalnya dia menuju gerai di mana hatinya sudah tertinggal. Sayangnya gerai itu masih tutup. Yalah, mana ada orang jual goreng pisang pagi-pagi buta! Akhirnya Rashdan tersenyum sendiri.

Rashdan berpatah semula. Hampa. Tetapi salah sendiri juga. Cari orang salah masa.

“Abang, ke mana tu..?” sapa seseorang sebelum Rashdan mula mengayuh basikal.

Rashdan menoleh dan sebaik sahaja terpandang wajah Adirra, dadanya bergetar semula. Tidak sangka juga boleh berjumpa dengan Adirra pagi itu. Aduh! Kenapa yang terpandang nampak seperti melihat setaman bunga yang sangat cantik dan indah. Inikah yang di namakan cinta pandang pertama? Kalau betul, memang benarlah kata orang, jatuh cinta itu amat indah.

Bibir Rashdan sudah mengukir senyuman.

“Abang nak beli goreng pisang ke? Goreng pisang tak jual pagi-pagi buta ni,” kata Adirra bersahaja. Hendak mengusik sama. Agak lama dia tidak bergurau dengan sesiapa. Dulu ada juga dia tumpang bergurau dengan Zafril, tetapi kini semuanya tinggal kenangan saja.

Rashdan tersenyum lagi. Begitu senang dengan usikan Adirra. Hmm, nampak pemalu, tapi boleh tahan juga berguraunya.

“Tak lah, saja nak hirup udara segar.” Bohong Rashdan. Sambil-sambil itu dia cuba tenangkan perasaannya yang kian bergelora itu.

“Iya ke? Bukan cari Irra?” usik Adirra lagi sambil tersenyum manja.

Aduhai, nak kata gadis ini perasan, tidak boleh juga. Memang itu tujuan sebenar kenapa pagi-pagi sudah sampai di situ

“Kalau iya kenapa?” soal Rashdan pula sambil bibirnya tak lekang dari senyuman. Hah! Siapa suruh mulakan dulu. Ingat Rashdan tak berani?
Wajah Adirra berubah tiba-tiba. Menyesal juga bertanya begitu.

“Irra keluar awal-awal ni nak ke mana?” soal Rashdan lagi bila melihat wajah Adirra sudah berubah. Malu mungkin bila mendengar jawapan yang agak kurang wajar.
“Irra setiap hari keluar awal. Nak sedut udara segar!” jawab Adirra sambil menahan perasaan malu.

“Jomlah, naik basikal dengan abang.” pelawa Rashdan.

“Tak naklah.” Adirra menolak.

“Iyalah. Sebab basikal tua sajakan. Cuba kalau kereta besar ke , mewah ke, cepat je Irra terima.” Rashdan buat-buat merajuk. Sekadar menguji perasaan Adirra. Kalau tak buat begitu, memang kena tolak mentah-mentahlah jawabnya

Ewah, ewah mamat ni. Merajuk pulak pagi-pagi buta. Ini yang aku malas nak layan ni! bebel Adirra di dalam hati.

“Iyalah, iyalah. Tapi jangan bawak laju.” Akhirnya Adirra mengalah. Apa salahnya dia naik basikal sesekali. Lagipun sebelum-sebelum ini mana ada orang pelawa dia naik basikal.
“Mana ada basikal boleh bawak laju.” Jawab Rashdan pula.

Terus Adirra duduk di pelantar basikal. Dan Rashdan mula mengayuh. Tiba-tiba saja hati Rashdan berlagu riang. Seperti burung-burung yang sedang berkicauan menyambut suria pagi. Rasa sungguh gembira.

Adirra juga rasa sangat gembira. Itulah julung-julung kalinya dia rasa begitu sejak papanya kahwin lain. Sangka Adirra dia tidak akan merasa lagi rasa gembira kerana bagi Adirra rasa gembira itu sudah terlalu jauh daripada dirinya.

“Irra,” panggil Rashdan ketika dingin pagi menyapa pipinya.

“Hemm..” jawab Adirra perlahan.

“Kalau kita terus tinggal di sini Irra setuju?” soal Rashdan tiba-tiba. Kenapa dia mengajukan soalan itu kepada Adirra, dia sendiri tidak pasti. Tetapi yang Rashdan pasti, hatinya benar-benar sudah terpaut di Bukit Senyum.

“Kita? Apa maksud abang dengan kita?” soal Adirra. Tak faham langsung dia akan soalan Rashdan itu.

“Maksud abang, kita tinggal terus di sini.”

“Habis selama ni abang tinggal kat mana? Atas pokok? Atas gunung sana tu?’ soal Adirra lagi.
Rashdan tersenyum. Tiada jawapan. Di mana dia tinggal sebelum ini tidak penting lagi. Apa yang lebih penting, di mana hatinya bakal tertinggal.

“Irra kalau boleh nak tinggal lebih lama di tempat macam ni. Tapi kat sini tak ada peluang pekerjaan. Kalau ada pun sangat terhad.” Ujar Adirra. Ketika itu mereka sudah menghampiri kawasan rumput yang menghijau. Rashdan berhenti mengayuh dan Adirra juga sudah turun dari basikal. Mereka berjalan kaki pula menghampiri pagar kayu yang memagari kawasan rumput tersebut.

“Irra tak nak cuba kat ladang lembu tu? Manalah tahu ada kerja kosong!” cadang Rashdan. Kalau Adirra mahu, jadi penguruspun boleh. Bukan ladang siapapun, milik Rashdan juga.

“Kerja apa? Buang taik lembu?” soal Adirra cepat.

“Maksud abang bukan kat ladangnya. Dalam pejabatnya.”

“Ah! Malaslah Irra. Dah tentu tak ada.” Jawab Adirra dengan yakin.

“Tak cuba tak tahu…” usul Rashdan pula. Dalam hati harap juga kalau Adirra minta kerja di ladangnya itu. Bolehlah selalu dia melihat wajah Adirra.

“Ah! Malas, malas, malas!” jawab Adirra sambil duduk di pagar kayu.

Rashdan tersenyum. Budak manja memang begitu. Kuat menentang, suka ikut kata hati dan tak peduli siapa-siapa. Tapi satu yang Rashdan paling Rashdan tidak sangka tentang Adirra. Dialah gadis pertama yang Rashdan suka.

Rashdan letak basikalnya di tepi pokok kayu besar. Kemudian dia duduk bersebelahan Adirra sambil melihat rumput yang menghijau.
Pagi menjadi terlalu indah buat Rashdan. Mudah-mudahan rasa-rasa begitu akan kekal menemani hidupnya nanti.

Bulat mata Kak Lina sebaik sahaja melihat wajah Adirra. “Ke mana pagi-pagi ni?” soal Kak Lina.

“Ambik angin pagi.” Jawab Adirra ringkas.

“Tadi papa Irra ada telefon akak. Dia tanyakan pasal Irra.” Beritahu Kak Lina.

“Akak beritahu papa Irra ada kat sini?” soal Adirra bersama wajah cemas.

“Tak. Akak tak beritahu. Akak cakap akak tak tahu…”
Adirra rasa sedikit lega. Sekurang-kurangnya papanya tidak tahu dia berada sekarang ini.

“Kalau papa Irra tahu, mesti sekarang jugak papa Irra jemput Irra!” kata Kak Lina lagi.

“Yakah? Entah-entah lagi suka Irra duduk sini. Tak balik langsungpun tak apa!” kata Adirra sambil membantu Kak Lina menyidai kain. Nampak cuaca pagi itu sangat cantik.

“Irra telefonlah papa Irra. Kak Lina tahu papa Irra mesti risaukan Irra tu.” Kak Lina pujuk lagi Adirra walaupun dia tahu, Adirra tak akan dengar langsung.

“Kasihan akak tengok papa Irra tu.” tokok Kak Lina.

“Akak tak payah nak kasihanlah. Tentu sekarang ni papa tengah bahagia. Papa telefon tu pun sebab nak ambik patut saja. Nanti orang tuduh pada tak cari Irra pulak!” jawab Adirra.
Kak Lina sekadar mengelengkan kepala selepas itu. Keras betul hati Adirra, fikirnya.

——————————–
Bab 11

Sehari dua, Adirra rasa sangat selesa berbual dengan Rashdan, tetapi masuk ketiga dan keempat, Adirra mula bosan. Rimas bila kerap benar Rashdan mencarinya. Rasa sangat bosan bila berbicara dengan lelaki yang lebih berusia kerana topik bicara itu terlalu terbatas. Minat Rashdan lain dan minat Adirra ke lain. Jadi Adirra rasa tidak begitu selesa untuk berbual dengan Rashdan. Hari kelima Adirra sudah tidak tahan. Sesuatu mesti dilakukan. Adirra fikir dia perlu mengelak.

Adirra melihat kakak sepupunya dengan perasaan separuh serba salah. Terasa juga permintaannya nanti bakal menyusahkan. Sudahlah dia menumpang di situ. Makan minum ditanggung. Dua tiga hari ini suami Kak Lina masih belum berbunyi. Kalau ada kedengaran yang kurang enak nanti, yang terasa bukan orang lain. Adirra sendiri juga. Selepas ini ke mana pula Adirra hendak membawa diri.

Tetapi dia perlu. Dia perlu bercuti untuk mengelak daripada lelaki bernama Rashdan itu. Dengan cara itu dia pasti Rashdan tidak akan mencarinya. Sekaligus dia dapat menjauhkan diri daripada Rashdan. Walaupun Adirra rasa tindakannya itu kurang wajar, tapi dia perlu mencuba. Tanpa mencuba dia tidak akan tahu sama ada dia berjaya atau tidak.

“Kak Lina, Irra nak minta cuti untuk beberapa hari, boleh?” Perlahan suara Adirra memecah keheningan malam yang dingin.

“Cuti? Kenapa?” Kak Lina memandang wajah adik sepupunya yang sudah kelihatan murung. Tapi Kak Lina tahu juga. Kalau jenis yang bermasalah, di mana saja akan ada masalah.
“Irra bengang dengan seorang mamat tu. Hari-hari datang kacau Irra.” Rungut Adirra lambat. Sebenarnya dia cuba untuk rahsiakan hal seperti itu dari pengetahuan kakak sepupunya Tidak mahu menyusahkan Kak Lina dengan perkara remeh temeh.

Kak Lina tersenyum. Kak Lina faham benar akan sikap adik sepupunya seorang ini. Mudah bosan dan mudah rasa tak suka. Itu memang sudah sedia maklum. Mungkin dirasakan dirinya itu cantik. Jadi bukan senang untuk sesiapa mendekatinya.

“Apa salahnya. Mungkin dia suka dengan Irra.” Kak Lina cuba menyakat.

“Eee..Geli. Tak suka.” Adirra mencebik.

“Mula dulu macam penyangak. Dua tiga hari lepas tu macam YB yang nak pergi melawat kawasan. Entah berapa botol minyak dia pakai, sampai terserlah padang golf.” Makin galak Adirra mengutuk.

“Kamu ni Irra, kalau dapat mengutuk orang tak ingat dunia.” Kak Lina tumpang ketawa.

“Lagipun dia tu dah tua. Tak sesuai langsung dengan Irra. Bukan cita rasa Irrapun!”

“Irra, mana tahu dialah lelaki yang paling sesuai untuk Irra sebab akak rasa, Irra tak sesuai dengan lelaki yang sebaya Irra. Masing-masing keras kepala. Nanti hubungan pun tak ke mana. Kalau yang lebih tua ni lebih penyabar, penyayang dan amat memahami!” Kak Lina cuba memujuk. Manalah tahu terbuka hati Adirra.

“Dahlah kak, tak payahlah nak pujuk-pujuk Irra. Irra cakap Irra tak suka, tak sukalah.” Tegas Adirra.

“Jangan cakap macam tu, takut nanti Irra tergila-gilakan dia pulak. Kita ni kalau bercakap biar berlapik jugak!” nasihat Kak Lina.
Adirra terdiam. Betul kata kakak sepupunya itu. Selalunya orang yang bercakap besar itu akan terima padahnya. Nanti dari tak suka, jadi tergila-gila pula. Selalu begitulah keadaannya.

“Err…Boleh ke Irra cuti kak?” soal Adirra.

“Boleh. Kalau setakat nak bercuti memang boleh. Tapi sampai bila pulak Irra nak mengelak. Kemudian-kemudian nanti jumpa juga.”

Adirra mengeluh panjang. Susah betul berurusan dengan lelaki yang tak faham bahasa ini. Tak tahu orang tak suka.

“Lelaki ni Irra, kalau mereka dah suka, makin kita nak jauhkan diri, makin mereka dekat. Percayalah cakap akak, Irra mengelak macam mana pun, kalau dia dah suka kat Irra, Irra tak boleh nak buat apa.”
“Habis apa yang Irra patut buat kak?”

“Hmm…, apa lagi. Buat bodoh ajelah….” Jawab Kak Lina dengan selamba.
Kedua sepupu itu mengekek sudahnya.

Sudah tiga hari Adirra tidak kelihatan di gerai. Hendak bertanya kepada Kak Lina, Rashdan rasa agak keberatan. Mustahil pula sudah pulang ke Kuala-Lumpur. Dia sendiri yang bercakap, kalau hatinya betul-betul pulih, baru dia akan pulang.
Kebetulan pagi itu, dia bertembung dengan Kak Lina ketika Kak Lina membeli barang keperluan di pekan berhampiran. Peluang digunakan untuk bertanyakan tentang Adirra.
“Kak, boleh saya tumpang tanya?” Rashdan beranikan diri bertanya.

“Ya?”

“Adirra dah balik KL ke? Lama tak nampak dia!”
Kak Lina perhatikan Rashdan atas ke bawah. Dua tiga kali dia ulang perkara yang sama. Hmm…Tak adalah yang kurang, bahkan nampak seperti lelaki yang cukup matang. Di mana pula letak tuanya. Betullah mata si Adirra tu dah rabun. Lelaki setampan inipun dikatakan tua.

“Oh! Dah tak kerja dengan akak untuk beberapa hari. Dia cuti.” Jelas Kak Lina.

“Tak kerja…?” Rashdan kerutkan dahinya. Tak faham sebenarnya.

“Hmm tapi kalau awak nak jumpa dia, cari sajalah berhampiran rumah akak. Ada satu pokok besar selepas kawasan kebun bunga. Di situlah dia menghabiskan masanya.”

“Kat kaki bukit?” tanya Rashdan untuk kepastian.

“Hmm….”

“Naik basikal boleh?”

“Lagi elok. Kalau guna kereta mungkin payah sikit. Jalannya agak sempit.”

“Kebetulan saya naik basikal hari ni…”
Rashdan terus menarik basikalnya. Seperti arahan Kak Lina, Rashdan menyusuri jalan sempit yang terletak betul-betul berhampiran rumah Kak Lina.

Di bawah pokok yang besar lagi rendang, Adirra terbaring sambil membaca novel yang dibawa bersama. Novel Bila Hati Kata Sayang tulisan Marissa. Novel yang begitu romantis buat Adirra. Ada kalanya dia terbuai dengan sendiri. Kalaulah dia sendiri memiliki lelaki seperti Syed Adriz itu alangkah indahnya dunia ini.

Letih membaca Adirra tangkupkan buku di atas mukanya. Harap-harap lena bakal bertandang. Hajatnya biarlah dia dapat sedikit ketenangan. Sudah mula rimas saban hari melayan kerenah lelaki bernama Rashdan yang terpaksa dipanggilnya abang itu.

“Ehem….”
Sekilas bagai terdengar suara orang berdehem. Macam biasa dengar saja dehemnya. Huh! Dah dasar manusia tak pandai nak memberi salam.
Adirra buat tidak dengar. Hatinya mula berdetik-detik marahkan kakak sepupunya. Kerja siapa lagi kalau bukan kerja Kak Lina. Memang betul-betul jujur kakak sepupunya itu. Dah dipesan, masih juga tidak memegang amanah.

“Ehem….”
Sekali lagi Rashdan berdehem.

“Abang, kalau nak tumpang duduk, baik jangan banyak cakap. Irra nak tidur,” kata Adirra tanpa mengalihkan buku dari mukanya.

“Kenal pulak Irra dengan suara abang….”

“Suara abang tu, kalau harimau dengar pun boleh kenal. Inikan pulak Irra yang hari-hari dengar.”

“Bunyinya macam menyampah saja. Macam tak suka dengan abang.” keluh Rashdan. Memang itu yang dia rasa dua tiga hari ini. Seperti Adirra sedang menjauhkan diri daripadanya saja.

La, faham pulak mamat ni. Ingat tak faham tadi. Tapi kesian pulak dengar dia cakap macam tu. Macam berjauh hati benar. Hisy! Apalah kau ni Adirra, kata tadi tak suka, sekarang kasihan pulak. Begitu Adirra terdengar hatinya berkata-kata.

“Yalah, abang sedar siapa diri abang ni. Nak berkawan pun orang tak sudi…” kata Rashdan dengan nada sedih yang dibuat-buat.

“Apalah abang ni…Cakap macam tu pun nak merajuk.” Adirra bangun. Kemudian mencubit lengan Rashdan yang sudah duduk berhampirannya. Konon-kononnya hendak menjaga hati Rashdan, tetapi sebenarnya Adirra cuba mengelak dari helahnya dihidu. Adirra tidak mahu Rashdan menyedari akan ketidaksukaannya pada Rashdan. Tak baik melukakan hati orang. Adirra sudah rasa bagaimana kalau hati terluka. Sakitnya susah untuk digambarkan dengan kata-kata. Jadi Adirra tidak mahu ada hati orang yang lain pula yang merasakannya. Kalau dengan berpura boleh membuatkan lelaki ini gembira, apa salahnya Adirra berpura saja. Berpura-pura bukan terlihat pun.

“Iyalah, abang sedar siapa abang ni. Siapalah yang suka.”

“Dah, dah, jangan nak merajuk. Karang, Irra sumbat dengan buah epal ni.”
Adirra letak sebiji epal ke mulut Rashdan. Nampak kasar tetapi membangkitkan kemesraan yang tidak terancang.
Rashdan sambut dengan ketawa lantas epal berwarna merah itu berkalih tangan. Sudah berada di tangan Rashdan. Sesaat selepas itu dia mula menggigit epal.

“Ini epal Irra.” Lantas Adirra rampas semula epal dari tangan Rashdan.

“Abang ni…. Irra belum sarapan apa-apa lagi.” Dipukul perlahan bahu Rashdan. Adirra kembali kepada sikap manjanya. Keanak-anakkan. Terlupa orang yang dia menumpang manja itu bukanlah orang yang disukainya.

“Mana abang tahu, yang Irra beri pada abang kenapa?” Rashdan sudah tergelak melihat tingkah manja Adirra. Tak sangka sangka begini rupanya sifat sebenar gadis comel ini.

“Bila masa Irra beri pada abang?”

“Okey, macam ni. Apa kata kita sarapan kat rumah abang. Roti bakar dengan jem strawberry buatan sendiri. Sedap tau.” Cadang Rashdan tiba-tiba.

“Lepas tu kita terus makan tengahari. Nanti abang masak.” Tokok Rashdan. Namun dia benar-benar berharap Adirra akan setuju. Dua tiga hari ini dia benar-benar rindukan Adirra.
Adirra berfikir. Logikkah cadangan lelaki asing ini? Buatnya dia ini perompak bank? Tidakkpun pembunuh upahan, paling ditakuti kalau perogol bersiri. Aduh, apa yang harus dia lakukan demi menolak pelawaan lelaki seorang ini.

“Jangan risau. Rumah abang tu ada pembantu rumah, ada tukang kebun ada tukang masak. Irra jangan fikirkan yang bukan-bukan.”

“Mana rumah abang..?”

“Tu rumah atas bukit tu..”
Dari tempat duduknya Rashdan tunjuk ke arah sebuah banglo yang sayup-sayup kelihatan dari tempat mereka. Tiba-tiba saja bulu roma Adirra meremang bila melihat banglo yang di maksudkan. Seramnya semacam.

Adirra tambah keliru. Fikiran berserabut antara percaya dengan tidak. Sudah berkali-kali dia melihat banglo atas bukit itu, terfikir juga jenis bagaimanakah manusia yang menghuninya.

“Jomlah, jangan nak fikir panjang lagi. Abang ni tak jahat, boleh dipercayai.” Tegas Rashdan bila melihat Adirra seperti teragak-agak.

“Perompak tak akan beritahu yang dia perompak.” Kata Adirra perlahan.

“Tengok tu, dah nampak dia tak ikhlas nak berkawan dengan abang.” Rashdan buat-buat merajuk. Tarik muka masam. Kalau budak-budak, kena ikut cara budak-budak. Baru menjadi.

“Hisy, abang ni, merajuk pulak dia. Bukan Irra tak ikhlas, tapi abang kena fikir jugak, elok sangat ke kalau perempuan ikut lelaki balik rumah?” Mujur Adirra teringat akan alasan itu.

“Bukan rumah orang lain, rumah abang. Rumah abang tu bukan abang seorang saja. Masih ada orang lain.” Suara Rashdan sudah kuat. Hampir hilang kesabarannya.
Eh! Mamat ni, orang tak nak pergi rumah dia, marah pulak. Banyak cantik dia punya muka! Rungut Adirra di dalam hati.
Rashdan berdiri lalu di tarik tangan Adirra. Ikutkan budak ini, sampai petang esok pun belum tentu bergerak.

“Kejap….” Adirra membongkok kemudian dia melihat Rashdan benar-benar berpijak di atas tanah.

“Kenapa? Ingat abang ni hantu raya?” Dekah Rashdan kian menjadi. Yang bukan-bukan saja perilaku gadis comel ini.

“Irra selalu terbaca cerita yang macam-macam. Selalu rumah besar atas bukit ada rahsia yang tersendiri. Contohnya ada penunggu.”

“Hah! Tu pengaruh bacaanlah tu!” sindir Rashdan sambil mula menyorong basikalnya. Ingin berjalan dengan Adirra dalam keadaan begitu.
“Contohnya abang. Manalah tahu abang ni roh yang menjelma tiba-tiba. Walhal abang dah mati sepuluh tahun yang lampau kerana gantung diri dalam rumah besar tu. Asalnya Irra nampak rumah tu cantik, sedar-sedar esok pagi rumah tu hanya rumah usang. Bila tanya pasal abang, orang cakap abang dah lama mati…eeee, seramnya.”
Rashdan ketawa lagi. Makin galak budak comel ini jadi tukang karut.

“Ataupun abang ni jelmaan roh yang hendak membalas dendam terhadap gadis cantik. Masa hayat abang dulu abang ada isteri yang curang. Abang bunuh isteri abang ketika abang terjumpa mereka sedang berdua-duan di dalam rumah tu. Kemudian abang bunuh diri. Roh abang tak tenteram, lalu membalas dendam”

“Irra, sudah-sudahlah tu merepek. Kalau abang ni hantu, dah lama abang hisap darah Irra. Orang kata darah anak dara manis.” Balas Rashdan kemudiannya.

“Tak nak lah Irra ikut abang. Buatnya betul abang ni hantu.”
Rashdan merenung wajah Adirra dengan perasaan separuh geram. Makin didiamkan galak pula budak ini mengarut.

“Dah, kalau tak nak ikut abang cakap ajelah… Tak payahlah merepek yang bukan-bukan. Hantulah, rohlah.” Rashdan merajuk. Hilang sikit kesabaranya melayan cakap-cakap Adirra yang bukan-bukan.

Adirra mati kutu. Tidak tahu lagi untuk mencari alasan. Sudah berusaha merepek sehabis mungkin, namun nampak gayanya tidak menjadi juga. Terpaksalah dia akur demi menjaga hati Rashdan.

Bersambung.....