viglink

Facebook like


Logo

Image by FlamingText.com

Enable clik

Info masuk



Listen My Radio at Facebook or Here

Background

Tweet Terbang

online

wibiya widget

Change colour

Silahkan Pilih Warna Background

Follow


Tulisan Ketik

Terima Kasih Dah Berkunjung di http://www.boynordin.blogspot.comSilahkan Anda Bagi Komen Ya...

Radio Boy Nordin Streaming



Listen My Radio at Facebook or Here




















Saturday, November 26, 2011

Novel: Puteri Pelangi 2

Rania tersenyum senang. “Raya nanti nak datang tak?”.

“Nak!.Ricky pasti datang lagi nanti”.

*******

Kbommm!!!.

Bunyi kuat berdentum dari belakang rumah membuatkan Rania tersentak. Dia yang sedang menonton televisyen, terus ke dapur dan membuka tingkap kaca itu dengan lebih luas. “La..tengah hari pun budak-budak ni boleh main meriam buluh yer Mak Lang”, Rania duduk di kerusi berhampiran ibu saudaranya yang sedang menjahit baju.

Mak Lang Nori berpaling dan menghentikan gerakan kakinya pada pedal mesin. “Memang macam tu la selalu. Susah nak tidur tengah hari”, Mak Lang Nori bagaikan merungut.

Rania tersenyum melihat tingkah Ricky dan abangnya bergilir-gilir mencucuh api ke perut buluh. Bunyi kuat saling bertingkah antara site meriam buluh yang lain. Rania mengerutkan keningnya tatkala melihat kehadiran seorang lelaki tua berkulit gelap membawa parang dengan wajah penuh bengis. Semuanya bertempiaran lari apabila lelaki itu berkata sesuatu sambil menggoyangkan parang. “Laa.. kenapa pula tu”. Rania tercengang-cengang sendiri.

Mak Lang Nori turut menjenguk melalui tingkap kaca dihadapannya.

Lelaki separuh baya itu seperti tidak dapat mengawal kemarahannya apabila Ajib berkata sesuatu, terus dia mengambil buluh sebesar pemeluk itu dan membawanya pergi.

Rania terpaku dan terlopong. Dia bagaikan sedang menonton filem thriller yang tidak tahu pucuk pangkalnya.

“Tutup mulut tu Rania. Masuk lalat, tak pasal-pasal makruh puasa”, tegur Mak Lang Nori.

Rania tersengeh. Lekas dia menutup mulutnya.

Ridzwan dan Ricky tiba-tiba muncul dengan wajah yang masam pantas menarik kerusi dari meja makan dan duduk menghadap mereka.

“Apa yang terjadi Riz?”, soal Mak Long Nori.

Ridzwan menyeka peluh didahi dengan kura tangan. “Pakcik tu tiba-tiba datang bawa parang. Dia marah macam ni.. Ko..ko rang ni a..aku nak ti..tidur pun tak se..senang”, beritahu Ridzwan dengan mengajuk semula cara lelaki itu memarahi mereka. Dia turut ketawa selepas membuat percakapan gagap itu.

Rania ketawa kecil sementara Mak Long Nori menahan senyum.”Pak cik tu memang garang. Budak-budak kat sini semua takut dengan dia. Dia tak tahan la dah tu. Erm…bagus juga. Mak Long nak tidur sekejap”, ujar Mak Long Nori langsung melangkah ke biliknya.

Ridzwan dan Ricky terpinga-pinga manakala Rania ketawa besar.

“Assalamualaikum”, kedengaran suara lelaki memberi salam di pintu hadapan. Bunyi meriam buluh masih kedengaran dari dua tapak yang lain.

“Waalaikumusalam”, sahut Ridzwan lantas membuka pintu. “Ha..kau ajib. Macam mana?. Dapat balik tak meriam buluh tu?”, soalnya sejurus melabuhkan punggung di atas beranda rumah.

Rania dan Ricky turut turun, mengemaskan duduk berhampiran Ridzwan.

Razif menggeleng. “Ish..aku tak puas hati lah. Macam mana nak ambik balik buluh tu, kalau dua puluh empat jam orang tua tu ada kat rumah dia. Dah la buluh besar macam tu susah nak cari”, Razif meluahkan ketidakpuasan hatinya terhadap peristiwa yang berlaku tengah hari tadi.

Belum sempat Ridzwan membuka mulut untuk membalas, beberapa remaja lelaki muncul dari kawasan rumah baris hadapan dan mendekati mereka di beranda rumah.

“Eh Ajib. Kenapa dah tak dengar korang punya meriam? Kitorang ni punyalah tunggu punya tunggu, tapi korang tak bertindak balas pun. Apasal arr?”, soal jejaka berbaju kuning.

Razif menghela nafas sambil mengepal penumbuknya. “Pak Gap tu punya pasal. Dia rampas buluh kitorang. Nak buat macam mana ni Joe? Takkan nak masuk hutan balik time puasa macam ni?”, Razif memberitahu.

Remaja bernama Joe itu menggaru-garu dagunya. “Erm…tentang buluh tu kau jangan risau. Fuad boleh uruskan. Esok Fuad dan ayah dia masuk hutan, cari buluh nak buat lemang. Tapi…ada sesuatu yang kita kena buat dulu…”.

“Apa?”, soal Ajib penuh teruja.

Rania memasang telinga. Ricky dan Ridzwan membuat muka ingin tahu.

Remaja bernama Joe itu mengangkat-angkatkan keningnya, memberikan senyuman nakal. Sinar matanya menggambarkan sesuatu yang luar biasa akan dilakukannya. “Kita harus balas dendam!”.

*******

Eric mengerutkan dahinya. Dia benar-benar tidak faham. Dahulu Ricky senyum sendiri sekarang ketawa sendiri pula. Rasa takut cuba dihindar jauh apabila hatinya berbisik sahabatnya itu sudah dirasuk kuasa halus. Sedari tadi lagi dia berdiri di pintu balkoni, namun Ricky sedikit pun tidak menyedari kehadirannya.

“Hello..Anybody home?”, soal Eric dalam nada perlian.

Ricky membalikkan badannya ke belakang. Dia tersenyum kecil melihat sahabat baiknya itu.”Yes..masuklah”, Pelawanya dengan senyuman tidak putus dibibirnya.

Eric duduk di kerusi mendepani Ricky. Matanya tepat ke wajah ceria itu.

Ricky mengangkat keningnya apabila terasa pelik dengan cara Eric memandang wajahnya. “Kau ni..macam nampak hantu je, kenapa?”, soalnya sedikit kaget.

“Kau tu yang macam kena rasuk. Apahal kau gelak sorang tadi? Takut aku, tau tak?”, Eric meluahkan rasa hatinya.

Ketawa besar Ricky dibuatnya. “Pernah kau main meriam buluh? Aku tak sangka hidup di desa lebih indah dari mana-mana tempat yang pernah aku pergi selama ni. Segalanya sempurna!”, cerita Ricky. Air Horlick yang sudah sejuk dihirup perlahan.

Eric sudah mengerti. Pasti berkaitan dengan lawatan Ricky ke kampung gadis melayu itu. “Cerita la. Aku nak dengar juga. Meriam buluh tu apa?”, pinta Eric sambil bersandar selesa.

Ricky bercerita pengalamannya di tanah rancangan felda itu dengan teruja. Daripada keseronokan memanjat pokok rambutan, keenakan makanan melayu, suasana kejiranan yang mendamaikan, bermain baling selipar dan galah panjang, dikejar angsa jiran, sehinggalah pada misi balas dendam kepada lelaki tua yang merampas meriam buluh mereka.

Eric membulatkan matanya. “Lepas tu apa jadi? Korang buat apa?”, soalnya teruja. Dia kelihatan begitu berminat untuk mendengar cerita Ricky selanjutnya.

“Joe yang jadi ketua misi balas dendam memang kreatif. Dia buat meriam tangan menggunakan bekas cat. Masa tu kitorang tengok dari rumah pak lang Rania je. Tak berani nak masuk campur. Bila Joe sampai kat rumah pakcik tu, dia letakkan bekas cat yang dah diisi karbaid kat halaman rumah pakcik tu. Lepas tu dia nyalakan api dan cucuh pada perut bekas cat tu. Nak tau tak, bunyi apa keluar?”, soal Ricky.

Eric menjungkitkan bahunya.

Ricky sudah ketawa besar. “Bunyi meriam tu macam bunyi orang buang angin”, Jawabnya bersahaja.

Eric turut ketawa apabila membayangkan peristiwa yang diceritakan Ricky. “Kiranya misi balas dendam tu gagal lah?”, tebaknya.

“Tak”, Ricky menggelengkan kepalanya. “Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Tu la prinsip si joe dan geng-geng dia. Masa tu pula banyak orang tua yang tak ada kat rumah sebab sembahyang tarawih di masjid, jadi line memang clear. Joe bawa meriam tangan tu kat depan rumah Pak Lang Rania dan budak-budak yang pakar buat meriam ni betulkan balik apa yang silap. Lepas tu, percubaan kali kedua ni ada tiga orang termasuk joe yang pergi ke rumah pakcik tu. Sekali cucuh je pada perut meriam tangan tu, terus jadi. Memang kuat bunyi yang keluar. Kitorang masa tu rasa dah luruh jantung bila pakcik tu keluar melulu dari rumah dia tanpa pakai kasut kejar budak-budak ni. Paling lawak, bila tengok aksi Joe yang sempat bersorak dengan kejayaan menganggu gugat keamanan pakcik tu. Tak cukup kaki deorang lari masa kena kejar tu. Kitorang terpaksa tahan gelak dari celah pintu rumah Pak Lang bila dengar pakcik tu membebel. Tambah melucukan sebab pakcik tu gagap”, cerita Ricky lagi. Kali ni dia memegang perut sambil ketawa. Air matanya keluar akibat terlebih ketawa.

Eric menggelengkan kepalanya usai ketawa besar. Padanlah rakannya itu ketawa sendiri sebentar tadi. Jika dia di tempat Ricky, pasti dia akan begitu juga. Mendengar cerita rakannya itu, wajah ibu bapanya terbayang. Masing-masing sibuk dengan urusan perniagaan. Sudah lama dia tidak melihat kelibat mereka apatah lagi berbual mesra. Hidupnya benar-benar sunyi. “Ricky…boleh aku pergi ke sana juga nanti?”, pintanya lambat-lambat.

Ricky tersenyum lebar, lalu mengangguk.

*******

“Kenapa Rania tolak cinta Ricky?”, soalnya sebaik keretanya berhenti di bahu jalan. Sudah dua kali gadis melayu itu menolak lamaran hatinya.

Rania memandang Ricky dengan hairan. “Perlu bersebab ke?”, soalnya kembali. Dia tidak menyangka lelaki cina ini melamarnya sekali lagi. Beg-beg plastik berisi makanan di tempat duduk belakang diraihnya. Bau mertabak dan ayam percik yang dibeli di bazar ramadhan membuatkan perutnya berkeroncong.

Ricky mengangguk. “Ya. Ricky nak tahu sebabnya”, balasnya sambil tersenyum. Lesung pipitnya timbul, menya lahkan lagi wajah kacak itu.

Rania memegang hujung dagunya seraya memandang wajah kacak itu. Lama pandangannya bertaut dengan jejaka itu. “Ricky memang kacak. Erm…tapi entah kenapa bila Rania pandang Ricky…Rania tak rasa perasaan tu”, ujarnya seraya menggelengkan kepalanya.

Ricky mengejipkan matanya. Kemudian dia berpaling, melontar pandangan ke luar kereta. “Perasaan? Maksudnya?”.

“Erm..perasaan..yang Rania percaya ada sesuatu yang terjadi bila memandang seseorang. Sesuatu yang berlaku di dalam hati. Err..kenapa Ricky sukakan Rania?”.

Ricky tersenyum lebar. “Sebab Ricky yakin, Puteri Nur Raniah Iman adalah bidadari bumi. Puteri berselendang biru yang telah turun ke bumi”, balasnya dengan yakin.

Rania terkesima. Bidadari berselendang biru?. Langsung dia teringatkan janji lelaki cina itu kepada adiknya. Dia ingin bertanya lebih lanjut, namun tiada suara yang keluar saat menatap wajah kacak yang sedang tersenyum itu. Wajah putih bersih jejaka cina itu dipandang lama.

“Agaknya Rania yang tak betul kan? Tolak cinta Ricky..”, ujarnya sambil memanggung dagu menghadap wajah itu.

Ricky mengangguk. “Memang Rania tak betul pun”, selamba ayat itu meluncur.

Rania membulatkan matanya dan apabila matanya bertembung dengan mata Ricky, serentak tawa mereka pecah bersama.

*******

“Kuat sikit kacau tu”, arah Pak Lang Aziz. Tangannya cekatan mengipas bara kayu api di bawah kawah. Api kembali marak menyala.

“Baik tuan”. Ridzwan membuat aksi tabik. Tangannya memegang kejap kayu pendayung lalu mengerahkan seluruh kudratnya mengacau isi dodol yang telah mengeras.

Eric dan Ricky turut bersama-sama mengacau dodol itu dengan sepenuh tenaga. Keringat merinding di tubuh masing-masing.

Pak Lang Aziz mengaut sedikit isi dodol lalu di letakkan di atas daun pisang. Melihat isi dodol tidak melekat pada daun itu, lelaki bertubuh kurus itu tersenyum. “Haa..dodol dah masak. Dah boleh angkat ni”, ujarnya.

Ridzwan dan Pak Lang Aziz bersama-sama mengaut isi dodol di dalam kawah dan diletakkan di dalam talam yang telah dialas daun pisang.

“Fuhh..lega”, Eric tersandar pada tangga beranda rumah. Kura tangannya mengesat peluh di dahi. Dia terus menanggalkan t-shirt hitamnya lalu mengibas-ngibas badan yang panas. Matanya menyeluruhi ruang halaman yang sederhana luas, hatinya benar-benar kagum dengan binaan rumah separuh kayu dan batu itu.

“Seronok?”, soal Ricky yang turut bersandar di sebelah Eric.

Eric menghirup udara dalam-dalam. “Seronok sangat. Memang tak menyesal datang sini”, sahutnya sambil tersenyum.

“Assalamualaikum Aziz”. Seorang lelaki tua muncul di laman rumah bersama dengan daun kelapa muda ditangannya.

“Waalaikumussalam”, jawab Pak Lang Aziz. Dodol ditinggalkan lalu menyambut daun kelapa dari tangan jiran sebelah rumahnya itu. “Terima kasih la Usop. Kak Yan buat ketupat pulut lagi tahun ni?”, soalnya penuh ramah.

Pak Usop tersenyum. “Eh..mesti. Itu kan tradisi keluarga kami”,balasnya bangga. Keningnya bertaut saat matanya menangkap wajah-wajah asing di atas tangga beranda. “Siapa budak-budak cina ni Aziz?”, soalnya ingin tahu.

“Oo..anak angkat aku ni. Kawan kepada anak saudara aku. Ni perkenalkan Pak Usop, jiran Pak Lang..”.

Ricky dan Eric bersama-sama bangun lalu menyalami lelaki tua yang penuh uban putih dirambutnya.

Pak Usop tersenyum lebar. “Lawa-lawa budaknya. Ok la aku balik dulu. Tak solat Asar lagi ni”, ujarnya meminta diri.

“Ya lah”, sahut Pak Lang Aziz seraya menepuk bahu jirannya itu. Kemudian dia berpaling memandang kedua remaja thionghua itu. Daun kelapa di tangan dihulurkan kepada Ricky. “Tolong bagi pada Rania”, arahnya.

“Nak buat apa daun ni Pak Lang?”, soal Ricky dengan kerutan di dahi.

“Nak anyam ketupat”, sahut Pak Lang Aziz. Talam berisi dodol yang telah siap dikaut oleh Ridzwan dibawa masuk ke dalam rumah.

“Ketupat?”, Eric memandang wajah Ricky meminta penjelasan.

Ricky mengangkat bahunya.

Ridzwan memeluk bahu Ricky. “Nak belajar anyam ketupat?”, keningnya diangkat-angkatkan.

“Wah…”, mulut Eric ternganga saat melihat daun kelapa yang dianyam Rania berubah menjadi bentuk segi empat.

“Nah”, Rania menghulurkan lonsong ketupat itu kepada Eric.

Eric menyambut ketupat itu. Matanya meneliti penuh kagum hasil seni anyaman itu. “Lepas ni nak buat apa?”, soalnya penuh minat.

“Lepas ni masukkan beras dan rebus. Jadilah ketupat. Tapi esok baru rebus memandangakan lusa baru raya”, jawab Rania sambil tangannya cekatan menganyam daun kelapa.

Ricky mengemaskan silanya di beranda rumah. Dalam diam dia menjadi pemerhati lalu mengambil daun kelapa yang telah dibuang lidinya. Dia berusaha mengikut cara gadis itu menganyam ketupat. Sempat dia menjeling Ridzwan yang tidak kekok menganyam ketupat. “Rania…buat perlahan sikit. Nak belajar anyam juga la”, pintanya bersungguh setelah gagal mengikut rentak anyaman gadis itu.

Rania tersenyum. Ketupat yang telah siap dianyam itu diletakkan di dalam periuk sederhana besar. Dua helai daun kelapa diambil. “Ok..pertama kali, gulungkan daun kelapa macam ni di kedua-dua tangan. Lepas tu gabungkan dua-dua gulungan perlahan-lahan..”, ajarnya seraya meneliti hasil kerja jejaka cina itu. “Ha…macam tu. Lepas tu tarik ke atas, kemaskan yang kat tengah tu”, arahnya lagi.

Ricky menumpukan sepenuh perhatiannya. Akhirnya berkat bersabar dan penuh konsentrasi, dia berjaya menguasai seni anyaman itu dalam jangka masa yang singkat. Ricky tersenyum puas dengan hasil kerjanya.

Mak Lang Nori yang cuma memerhatikan dari jauh menepuk tangannya. “Ricky ni hati bersih. Tu yang senang tangkap dan belajar. Mak Lang dulu jenuh juga nak belajar anyam ni, tapi kamu sama macam Rania. Otak bijak”, pujinya melangit.

Ricky tersenyum segan. Rania turut tersengeh.

Mak Lang Nori merenung wajah Eric dan Ricky silih berganti. “Kamu berdua ni..fasih cakap melayu. Tak pernah Mak Lang jumpa cina cakap tak pelat. Dulu sekolah melayu ke?”, soalnya sambil terus melurut daun kelapa, memisahkan lidi dari daun itu.

Ricky mengangguk. “Betul tu. Sejak kecil kami berdua dah biasa bergaul dengan orang melayu. Dari tadika KEMAS, Sekolah Kebangsaan Clifford, sehingga ke Sekolah Menengah Clifford”, jelasnya mengenai sejarah persekolahannya.

Mak Lang Nori terangguk-angguk kepalanya. “Kamu berdua terbalik pula dengan Rania. Dia ni…”.

“Eh..Mak Lang…bahan-bahan rendang dah ada?”. Rania lekas-lekas memotong bicara ibu saudaranya.

“Oh..ada semuanya. Jangan risau la. Tapi tahun ni Mak Lang nak rasa rendang Rania. Abah Rania selalu cakap rendang Rania yang terbaik dari semua rendang yang dia pernah rasa. Tahun ni tak merasa la dia rendang Rania. Itu yang susah je dia nak lepaskan Rania dan Riz raya kat sini”.

Rania tersenyum nipis “Abah tu ada-ada je. Dah biasa balik Ipoh setiap tahun. Tahun ni Rania nak merasa raya di Felda Mak Lang ni. Bulan puasa pun dah meriah, raya lagi la kan?”.

Mak Lang Nori tersenyum senang. “Memang sangat meriah. Korang tengoklah malam raya nanti. Sampai ke pagi bunyi mercun tak berhenti-henti”.

Pak Lang Aziz muncul di tangga beranda rumah membawa satu bakul besar berwarna biru. “Haa..buka puasa hari ni kita makan durian”, beritahunya sambil mengesat peluh di dahi.

Eric tak tunggu lagi terus menerpa ke arah bakul durian itu. “Wahh..sedapnya. Boleh makan sekarang tak?”. Eric menelan liurnya dalam rasa teruja.

Meledak tawa di kalangan mereka.

Pak Lang Aziz ketawa bersahaja. “Boleh. Tapi makan kat dapur. Tolong Pak Lang bawa bakul ni ke belakang”.

Eric akur tanpa banyak kerenah. Tubuhnya menghilang ke dalam rumah bersama bakul berisi durian itu.

“Nah, Rania..barang yang Rania pesan tadi”. Pak Lang Aziz menghulurkan beg kertas putih kepada Rania.

“Terima kasih”, ucap Rania sejurus menyambut beg kertas itu. “Tahun ni kita buat tart nenas”, ujarnya sambil menarik keluar dua balang kaca berisi jem nenas.

Ridzwan yang sedari tadi hanya tukang memerhati terus meloncat riang. Botol jem nenas itu dicapai dan dicium beberapa kali. “Akhirnya…tart nenas ada juga tahun ni”.

Rania ketawa kecil melihat telatah abangnya itu.

“Tahun ni tema keluarga Mak Lang warna biru kan?”, soal Ridzwan kepada ibu saudaranya itu.

Mak Lang Nori mengangguk. “Korang semua pun kena pakai warna biru juga termasuk Ricky dan Eric”, ujarnya seraya memandang wajah kacak remaja thionghua itu.

Ricky tersengeh. “Baik Mak Lang”, balasnya sopan.

“Bagus la. Malam ni ada pasar malam. Boleh cari baju raya. Mak Lang..ada apa-apa lagi tak yang nak Riz belikan?. Kuih raya cukup tak?”. Ridzwan sudah bangun dari duduknya. Kakinya terasa kebas apabila terlalu lama bersila begitu.

“Cukup je. Lebih-lebih ada Rania ni. Macam-macam kuih yang dia buat. Ni tambah lagi tart nenas. Cukuplah apa yang ada”.

Ricky merenung wajah Rania yang masih tunduk menyiapkan anyaman ketupatnya. “Rania dah buat baju raya ke?”, soalnya ingin tahu.

Rania mengangguk. “Mak Lang la yang jahit baju raya Rania setiap tahun”.

“Rania ni..setiap tahun baju mesti warna biru. Macam dah tak ada warna lain”, beritahu Mak Lang Nori.

“Ala Mak Lang, biru kan mendamaikan”, sahut Rania pantas. “Cuba tengok langit di luar. Stabil kan?. Biru itu warna stabil. Walaupun langit kelabu dan akan hujan, kita tahu di atas awan-awan itu warna langit tetaplah biru. Itulah istimewanya biru”.

Ridzwan mengangguk. “Biru melambangkan kebahagiaan dan optimisme laksana langit yang cerah. Biasanya peminat warna biru seorang yang setia”, ujarnya turut mengukuhkan kata-kata adiknya.

Ricky tersenyum lantas bersuara. “Biru perpaduan kami semua”, ujarnya mengambil satu lirik dalam lagu patriotik jalur gemilang.

Masing-masing ketawa besar mendengarnya.

“Betul sangat la tu”, celah Mak Lang Nori pula.

*******

“Cuba rasa. Kena tambah garam lagi tak?”. Rania menghulurkan semangkuk kecil berisi rendang ayam kepada Eric. Rendang di dalam kawah telah mula menggelegak.

Eric mengaut isi rendang dengan sebatang sudu, meniup beberapa ketika isi rendang yang masih berasap itu lalu menyuapkan ke dalam mulutnya. “Aahhh..taste like heaven!!”, ujarnya penuh perasaan. Itulah rendang terbaik pernah dirasanya.

“Betul ni dah ok”. Rania meminta kepastian.

“Erm…”, Eric menyuakan ibu jarinya, kepalanya terangguk-angguk menikmati masakan melayu itu. Dia bagaikan tersihir dengan keenakan rasa yang luar biasa itu.

Rania tersengeh. Dia menutup kawah itu dengan satu penutup logam periuk. “Ricky..dah boleh padam api”, arahnya kepada jejaka itu yang tugasnya mengawal api rendang. Rania menunduk, mengutip beberapa pekakas dapur lalu dibawa masuk ke dalam rumah.

Ricky akur. Dia mengesat peluh yang berjejehan turun dari dahinya. Bara api di bawah kawah itu dikuis-kuis menggunakan kayu. Api padam dengan sendiri. Ricky bangun dari atas kerusi pendek itu lalu menggeliat beberapa ketika. Terasa lenguh tubuhnya apabila duduk berlamaan begitu. Dia mendekati Eric yang sedang mengipas tubuhnya dengan kipas buluh. Punggungnya dilabuhkan di atas tangga simen bersebelah rakannya itu.

Eric menghulurkan kipas buluh itu kepada Ricky. Wajah rakannya itu dipandang lama.

“Sekarang baru aku faham kenapa kau sukakan Rania”, ujarnya tenang.

Ricky tersenyum bangga. “Dia satu dalam sejuta”.

*******

“Tu la pak cik yang rampas meriam buluh hari tu”, beritahu Ricky sambil menyiku lengan Eric saat matanya menangkap wajah lelaki tua yang kelihatan bengis di penjuru rumah Pak Lang Aziz. Lelaki tua itu mengikuti “baraan” kaum lelaki ke setiap rumah selepas sembahyang raya. Matanya menyeluruhi wajah-wajah asing di hadapannya. Ada warga tua, remaja, kanak-kanak lelaki turut mengikuti “baraan itu”. Wajah masing-masing ceria dan bahagia sambil menikmati makanan yang terhidang.

“Ish…ish..ish..muka pun dah garang”, bisik Eric sambil menggelengkan kepalanya. “Nasib baik malam tadi kita main meriam buluh dia tak kacau”, ujarnya lagi. Tangannya membetulkan letak leher baju melayu warna biru muda ditubuhnya. “Eh, Ricky..selesa juga pakai baju ni kan?. Terlebih hensem pula aku rasa”, ujar Eric sambil memperkemaskan silanya di atas tikar. Kuih tart nenas di suapkan ke dalam mulutnya.

Ricky ketawa kecil. “Masuk lif tekan sendiri nampak”, balasnya seraya menyapu serbuk kuih tart nenas yang terkena baju melayu biru tua ditubuhnya. Melihat Rania yang muncul dari dapur membawa pinggan berisi sate ayem, dia terpaku beberapa saat. Gadis melayu itu begitu anggun dalam baju kurung biru Pahang bercorak tabur. Tudung biru muda yang dikenakan menaikkan seri wajah comel itu. Matanya mengekori langkah sopan Rania yang kemudian menghulurkan dua pinggan berisi sate ayam kepada Pak Lang Aziz sehingga gadis itu hilang ke dapur semula. Pakaian serba biru itu tiba-tiba mengingatkannya selendang biru gadis itu yang masih dalam simpanannya.

Eric menyiku lengan Ricky. “Kau ni la. Berapa lama kau nak pandang dia?”, tegurnya dalam senyum tertahan. Hatinya turut memuji penampilan anggun gadis itu. Dia menyedari beberapa mata remaja lelaki turut mencuri pandang. Gadis melayu itu memang manis menawan.

Ricky tersengih segan. Sate ayam di raih lalu disuapkan ke dalam mulut. “Erm..sedap juga kan sate yang aku bakar pagi tadi”, ujarnya memuji diri sendiri.

Giliran Eric pula ketawa. “Paku dulang paku serpih..kata orang..dia yang lebih”.

Ridzwan mendekati dua remaja thionghua itu. “Korang nak ikut “baraan” tak?. Kat rumah sebelah buat nasi ayam, rumah pakcik garang tu pula buat lontong, rumah hujung kat sebelah hadapan sana buat laksa penang dan rumah Ajib buat nasi biriani. Masa ni la kita nak makan puas-puas. Petang nanti giliran “baraan” orang perempuan pula”, beritahunya dengan teruja.

“Nak!”. Hampir serentak jawapan itu meluncur dari mulut kedua jejaka thionghua itu.

Rania yang berdiri di ruang pintu dapur hanya tersenyum melihat telatah mereka. Lagu indahnya beraya di desa nyanyian Azlina Aziz bergema dari peti televisyen, bagaikan turut meraikan kemeriahan suasana raya di Tanah Rancangan Felda itu.

******

“Kenapa mesti Rania? Kita terlalu banyak perbezaannya. Bagaikan langit dan bumi”. Rania mengeluh sebaik mengucapkan kata-kata itu. Selendang biru yang dihulurkan Ricky disambut lambat-lambat. Dia menjangkakan jejaka itu tidak akan menimbulkan soal hati lagi, namun ternyata Ricky tidak pernah serik.

Ricky menghela nafasnya. “Bukan ke langit dan bumi itu saling memerlukan?”, soalnya kembali. Dia tidak sesekali akan berputus asa. Rania adalah puteri impian. Bidadari masa hadapan. Hatinya semakin kuat untuk memiliki gadis melayu itu usai pulang dari Tanah Rancangan Felda dua minggu lalu.

Rania terdiam seketika. Matanya tepat menyorot wajah penuh mengharap itu. Kedua jemari tangannya disatukan erat. “Kenapa Ricky berdegil? Rania memang tak faham langsung. Apa mata Ricky rabun ke? Atau Ricky kena rasuk ni?”, soalnya dalam nada tidak puas hati. Beberapa pelanggan yang mencuri dengar di medan selera itu sesekali menoleh ke arah mereka.

Ricky memandang tajam wajah dihadapannya. “Sebab Rania perempuan pertama yang Ricky cinta, perempuan pertama yang buat Ricky tersenyum semula, perempuan pertama yang ajar Ricky erti bahagia. Walau datang berjuta perempuan sehebat mana sekalipun, hanya Rania yang bertakhta di jiwa. Puteri Nur Raniah Iman adalah bidadari bumi. Bidadari yang tercipta untuk Ricky”, balasnya dalam nada penuh yakin. Suaranya sengaja ditinggikan mengatasi suara-suara lain di sekelilingnya.

Rania menahan pijar diwajah apabila beberapa pelanggan gerai itu memandang tepat ke wajahnya. Dia membuang pandang ke tepi jalan. Jiwanya kini benar-benar bercelaru. Puas sudah dia memberi alasan, namun lelaki ini semakin mengejarnya. Menuntut rasa hatinya turut dirasai sanubari. Rania berpaling ke hadapan dan menggigit bibirnya perlahan. “Ricky…satu soalan je Rania nak tanya. Tolong jawab ya”, pintanya. Matanya tepat memandang wajah kacak itu.

Ricky mengangkat tinggi kepalanya. Menanti soalan daripada si gadis.

Rania berdehem beberapa kali. “Err..perempuan…erm..perempuan cina kat Kuala Lipis ni dah mati ke?”, soalnya lambat-lambat.

Ricky menyambut soalan itu dengan tawa besar. Sungguh sungguh dia ketawa.

Rania mendengus geram.

Ricky mengawal tawanya lalu merenung wajah manis itu lama. “Rania…Ricky akan pergi dari sini dua hari lagi”, beritahunya tenang.

Rania membulatkan matanya. “Kenapa? Kenapa Ricky kata macam tu? Takkan la kerana Rania tak terima cinta Ricky..Ricky bawa diri sampai macam tu”, soalnya dalam nada sedih disebalik perasaan terkejutnya.

Ricky tersenyum lebar. Walaupun dia tahu gadis melayu itu tidak mempunyai perasaan sepertinya, namun dia pasti suatu masa nanti..pasti gadis ini akan membuka hati untuk menyambut kasihnya. “Ricky bukan bawa diri..cuma…Ricky ingin mencari kebenaran. Peperiksaan STPM pun dah selesai..masa ini lah Ricky nak gunakan untuk melihat negara orang. Cuma dua bulan je Ricky pergi. Mungkin ke eropah atau mana-mana yang gerak hati Ricky arahkan..”, jawabnya sambil merenung wajah dihadapannya. Pasti aku parah merinduimu Rania. Bisik hatinya.

Rania menarik nafas lega. Ricky sama seperti Ridzwan Izaurin. Dia tidak mahu kehilangan seorang abang gara-gara cinta yang tidak berbalas. “Baguslah macam tu. Mana tahu, Ricky bertemu jodoh dengan mana-mana perempuan kan?. Rania doakan Ricky bertemu seorang perempuan yang baik. Amin”. Rania meraup kedua-dua telepak tangan ke wajahnya seperti baru selesai berdoa. Dia tergelak sendiri dan sesaat senyumannya mati apabila melihat wajah serius Ricky.

“Ricky bukan mencari jodoh. Jodoh Ricky ada di depan mata Ricky. Ricky keluar dari sini kerana satu pencarian. Pencarian yang bakal mengubah seluruh cara hidup Ricky. Kepercayaan Ricky. Jangan pernah anggap Ricky berputus asa yer. Mana tahu kan, dalam dua bulan ni..bila Ricky tak ada, Rania mula merindui Ricky dan perlahan-lahan menyayangi Ricky juga. Siapa tahu kan? Kerja tuhan..”, sahut Ricky sambil mengeyetkan mata kirinya.

Rania menjeling jejaka dihadapannya. Dia benar-benar sudah kehilangan kata. Sudahnya, dia melemparkan pandangan ke tepi jalan. Fikirannya bercelaru.

*******

“Kau nak pergi mana?”, soal Eric dalam kaget saat melihat rakannya itu sedang berkemas barang. Sebuah luggage hitam jenama Polo telah dipenuhi dengan pakaian dan barang-barang peribadi lain.

“Nak pergi bercuti”, sahutnya bersahaja seraya menarik Zip luggage ke atas. Beg itu diturunkannya ke atas lantai. Dia mencapai pasport antarabangsa di atas meja solek, memasukkan ke dalam beg sandang.

Eric melabuhkan punggungnya di atas tilam katil. Matanya menyorot wajah Ricky dengan lebih teliti. “Kau kecewa. Kan?. Rania tolak cinta kau lagi. Betul tak?”, tebaknya.

Ricky tersengeh. Dia turut melabuhkan punggung di sebelah Eric. Perlahan kepalanya dianggukkan dalam senyuman lebar. “Dia tolak aku buat kali ketiga. Menarik kan?”, ujarnya lambat-lambat. Ricky merebahkan badan di atas tilam. Menggeliat sedikit, kemudian meletakkan kedua tangan di bawah kepala. Matanya merenung syiling dinding bilik. Wajah Rania muncul di situ sedang tersenyum manis. Ricky tidak dapat menyembunyikan senyuman. “Rania..Rania..Rania…”.

Eric tersenyum sendiri. Dia turut merebahkan badan di sebelah Ricky. “Memang menarik. Kau lelaki yang paling susah nak dekati perempuan, lelaki yang menolak semua perempuan selama ni..tiba-tiba boleh jatuh suka pada seorang perempuan. Perempuan melayu pula tu. Erm…punyalah ramai perempuan yang lamar kau sebelum ni, kau tolak mentah-mentah. Sekarang kau pula ditolak oleh satu-satunya perempuan yang kau suka. Memang kisah yang menarik”, ujarnya seraya bertepuk tangan beberapa kali. Seolah-olah meraikan penolakan cinta itu sebagai peristiwa bersejarah.

Ricky tersengih, menumbuk perlahan bahu Eric. “Apa pendapat kau tentang gadis melayu?”, soalnya seraya memandang wajah kacak rakannya itu.

Eric merapatkan jari jemarinya, diletup-letupkannya beberapa kali. “Erm…gadis melayu… gorgeous, well mannered, simple and easygoing. Sebenarnya kan, aku nak buat pengakuan. Rania…dia gadis melayu yang sempurna. Cantik dan baik. Memang dia hebat sebab berjaya ubah kau tujuh ratus peratus. Kadang-kadang aku nampak dia seperti perempuan Latin. Bukan dia saja, tetapi kebanyakan gadis melayu seperti gadis Sepanyol. Jika bukan kerana tudung mereka, mungkin pelancong asing yang datang ke Malaysia akan kata mereka berada di Rio atau Caracas.”, akuinya jujur.

Ricky terus terbangun saat mendengar pengakuan itu. Matanya membulat memandang wajah Eric. “Kau tak kena rasuk kan?”, soalnya curiga. Dia sangat mengenali rakannya itu sejak kecil. Biarpun Eric gemar bertukar perempuan, namun rakannya itu tidak pandai berbohong apatah lagi mengada-adakan cerita. Benar-benar dia tidak menjangka.

Eric ketawa bersungguh seraya menampar peha Ricky. “Kau ni la. Aku waras lagi. Bila difikirkan dalam-dalam kan, kalau kawin dengan gadis melayu akan menjimatkan wang yang banyak, tidak seperti jika berkahwin dengan gadis cina. Sebenarnya, ramai lelaki cina yang sukakan gadis melayu. Tetapi mengahwini mereka selalu meletakkan lelaki cina dalam dilema kerana memerlukan seseorang menukar kepercayaan. Undang-undang Islam di Malaysia ni masih kuat. Nak kawin dengan gadis melayu, wajib convert Islam. Sebab tu, ada pasangan yang lari ke luar negara semata-mata nak elak convert Islam. Gadis melayu pun ikut convert juga “, ceritanya dalam air muka serius.

Ricky terdiam lama. Turut bersetuju dengan kata-kata itu. Dia kembali berbaring di sebelah Eric. “Ya..betul tu. Gadis melayu sangat unik. Keunikan mereka terletak pada adat, budaya dan tradisi yang terbentuk daripada ajaran Islam. Kebanyakan orang tidak sedar bahawa apabila gadis melayu beragama Islam menukar agamanya, keunikan itu turut hilang”, hujahnya pula. Melihat Eric yang terangguk-angguk dalam mata terpejam, dia turut memejamkan mata. Matanya kembali terbuka apabila dadanya terasa berat dan sedikit suam. Melihat mata biru itu, pantas dia membelai kepala kucing berbulu putih itu.

Eric melompat turun dari katil sebaik menyedari kehadiran kucing Scottish Fold itu di atas dada Ricky. “Ee..kucing kau ni..macam gay la. Geli aku”, luahnya dalam rasa geli gelemannya melihat kucing jantan itu duduk di atas dada Ricky. Dia memang tidak menggemari haiwan itu.

Ricky tersengeh melihat telatah Eric. Tangannya membelai bawah dagu kucing itu. “Raul…esok tinggal dengan tuan baru yer. Ingat kan Raul pernah jumpa dengan Rania dulu. Si gadis melayu yang sangat cantik. Jangan nakal-nakal ya”, pesannya kepada kucing itu.

Raul mengiau seolah memahami kata-kata tuannya.

Eric menggelengkan kepalanya. Sudah terlalu masak dengan perangai Ricky yang gemar bercakap dengan haiwan peliharaannya itu. “Eh Ricky, flight kau pukul berapa esok?. Aku boleh hantarkan”, soalnya sekaligus menawarkan perkhidmatannya.

Ricky bangun daripada pembaringan, mengangkat Raul dan meletakkan di atas riba. “Aku naik flight malam. Jangan risau, aku dah tempah teksi. Kau tak perlu risau”.

Eric bersandar pada dinding bilik. Meneliti wajah ceria rakannya itu. “Kau nak pergi mana sebenarnya?”, soalnya serius.

Ricky tersenyum penuh makna. “Ada lah”.

*******

“Rania..tolong ambik surat kat peti surat depan tu”, arah Haji Rashid sebaik melihat kelibat anaknya itu turun dari tangga.

“Ok”, sahut Rania langsung terus menapak keluar. Surat-surat yang menumpuk di dalam peti itu dikeluarkan. Bunyi enjin pesawat di udara membuatkannya terus mendongak ke atas. Satu jalur panjang terukir di dada langit. Wajah Ricky muncul di sebalik awan. Ricky…apa khabar kau?. Kemana kau pergi?. Hatinya berbicara sendiri. Sudah dua minggu jejaka cina itu menghilang tanpa khabar berita. Adakah Ricky benar-benar berjauh hati dengan aku?. Adakah aku yang salah?. Soal hatinya.

Rania menghela nafas berat. Surat-surat di tangan di teliti satu persatu. Matanya terpaku saat melihat sekeping poskad berlatar belakang gambar Taj Mahal di waktu senja. “Cantiknya”, puji Rania. Poskad itu diterbalikkan. Melihat nama pengirim, setem India dan cop dari Agra itu membuatkan hatinya dipalu kencang. Terdapat dua poskad bersetem negara India. Kakinya diatur ke dalam rumah, meletakkan surat-surat di atas meja ruang tamu dan melabuhkan punggung di atas sofa. Poskad berlatar belakang Taj Mahal itu dicapai dahulu.

Kepada Puteri Pelangi,

I miss you so much. Do you miss me?. Hampir seminggu Ricky di India. Selepas Kashmir, Agra pula menjadi tumpuan. Melihat Taj Mahal dihadapan mata sendiri, benarlah makam putih ini penuh keajaiban. Ibarat kapas yang terawang-awang di udara, terapung di atas kayangan. Taj Mahal akan berubah warna mengikut cuaca. Pada waktu pagi apabila matahari terik, Taj Mahal sangat putih. Pada waktu senja pula akan menjadi kemerah-merahan. Manakala ketika langit cerah ditambah awan yang membiru, Taj Mahal bertukar agak kebiruan. Paling cantik ketika langit mendung kerana cuaca suram di sekelilingnya menjadikan Taj Mahal begitu suram dan menghibakan seperti mana tragedi sebuah kisah cinta di situ.

Jika ada umur panjang, Ricky nak sangat pergi ke sini lagi bersama Rania. Bersama melihat keajaiban Taj Mahal juga mengenang kembali lagenda kisah cinta Shah Jahan dan Mumtaz. Kisah cinta Raja moghul itu benar-benar memberikan Ricky inspirasi untuk membina sebuah tugu cinta bak istana khas untuk Puteri Nur Raniah Iman suatu hari nanti. Lambang cinta yang tidak pernah padam malah semakin lama semakin dalam. Namun, semuanya hanya angan-angan semata bukan?. Adakah hatimu telah terbuka wahai sang bidadari bumi ?.

Rania menahan sebak didada. Sungguh-sungguh kah lelaki cina itu mencintai dirinya?. Dalam senyuman pahit, dia beralih pada poskad kedua. Hatinya memuji keindahan pemandangan gunung bersalji yang bertulisan Kashmir itu.

Taj Mahal pastinya istimewa dihati, tetapi Agra bukan tempat kegemaran Ricky. Keindahan Kashmir mengatasi keindahan di Switzerland. Hari-hari terbaik yang Ricky alami ketika berada di Kashmir. Di balik gunung dan lembah desa ada padang rumput nan indah, ada bunga tumbuh meliar dan ada air sungai yang mengalir tenang sekaligus mencorak desa Kashmir. Terasa bagai lukisan alam yang tak terungkap. Ricky menginap di Khyber Houseboat yang terletak di sebuah tasik besar.

Dal Lake sangat menakjubkan kerana tasik ini dikepung oleh gunung-gunung indah termasuk banjaran gunung Himalaya. Paling indah adalah saat berkayuh sampan sambil melihat matahari terbit di Dal Lake, bermain salji di Gulmarg dan berjalan di desa yang tenang di Pahalgam. Kashmir bagaikan syurga dunia. Saat ini Ricky berfikir alangkah indahnya jika Rania ada di sini menemani. Pasti tempat ini bertambah seri dengan adanya puteri pelangi, sang bidadari bumi.

Rania langsung terhenyak ke belakang sofa kulit warna tanah itu. Dia kehilangan kata, rupanya Ricky membawa diri ke India. Terselit perasaan cemburu apabila membaca pengalaman jejaka itu di negara orang. Gambar gunung bersalji itu direnung penuh kagum, namun seketika wajah Ricky beserta senyuman manisnya muncul di situ. Dia mengeluh berat. Tangan kanannya memanggung dagu. Poskad itu di biarkan tersadai di atas meja.

Haji Rashid mengambil tempat di sebelah anaknya itu. “Apa pendapat Rania tentang Ricky?”. Mata Haji Rashid tepat merenung mata puteri ketiganya.

Rania menghela nafasnya. Bermain-main dengan tangan sendiri. Kepalanya ditundukkan. “Dia..bagaikan seorang abang. Tak lebih dari itu”, balasnya lambat-lambat.

“Rania mimpi putera berkuda putih tu, sebelum Rania kenal Ricky kan?. Erm..Rania tak terpikir ke yang Ricky…”

“Tak mungkin lah abah”, cepat Rania memotong kata-kata itu.

“Kenapa?”

Rania terdiam lama. Wajahnya diangkat memandang wajah bapanya. “Abah pernah cakap pada Rania kan yang kriteria utama dalam memilih lelaki adalah..agamanya. Ricky..dia…dia bukan islam abah”.

Haji Rashid tersenyum lebar. “Rania…jodoh itu adalah rahsia tuhan. Sebab itu dalam islam, istikharah dianjurkan untuk membantu mukmim membuat pilihan dalam apa jua perkara termasuk memilih pasangan. Macam-macam cara Allah bantu hambaNya. Kadang-kadang Allah tak tunjukkan dalam mimpi sebab ada juga yang Allah tunjukkan isyarat melalui hati. Dikatakan hati lelaki dan perempuan yang dijodohkan bersama apabila bertemu pasti terjadi sesuatu seperti hadirnya debaran. Sesetengah orang kata debaran pelik seperti adanya aliran arus elektrik. Walaupun orang yang dijodohkan itu kita tidak tahu namanya, wajahnya tidak dikenali, tetapi apabila bertemu..hati lekas mengenali itulah jodoh kita”.

“Oh..begitu”. Kepala Rania terangguk-angguk. “Abah dulu pun begitu?. Sebelum abah membuat keputusan mengahwini mama?”, soalnya kembali.

Haji Rashid menyentuh ubun-ubun puteri ketiganya itu lalu mengangguk perlahan. “Ya, abah sedang cakap melalui pengalaman abah. Memang abah pernah cakap yang kriteria memilih jodoh adalah agamanya. Tapi abah tanya tentang hati Rania sekarang. Cuba tilik, selidik. Benarkah tiada Ricky di sana?”, soalnya lembut.

Rania terdiam. Dia termanggu seketika.

Haji rashid mengerling jam di dinding. Lelaki tua itu terus bangun. Surat-surat di atas meja diambilnya, meletakkan di atas satu rak khas untuk surat. “Abah nak pergi solat jemaah kat surau. Rania jangan lupa solat Zuhur. Ingat..solat di awal waktu”, pesannya sebelum berlalu.

Rania mengangguk kemudian dia memejamkan matanya, memegang tengah dadanya. “Wahai hati..benarkah tiada nama Ricky di dalam mu?.

*******

“Ish…”, Rania mendengus geram. Pemadam jenama Stabilo itu digonyohkan pada permukaan lukisan itu. Lakaran yang cuba dilukisnya itu seakan tidak menjadi. Lantas ditinggalkan kanvas lukisan itu, berjalan perlahan-lahan di atas rumput padang golf itu. Kenangan bersama Ricky kembali menggamit. Dia sering menemani Ricky di situ bermain golf. Menilik hati sendiri, dia memang merindui jejaka cina itu. Tiada lagi berita yang hadir selepas kehadiran poskad dari India dulu. November telah berlalu, kini sudah memasuki pertengahan Disember. Cuti sekolahnya juga hampir tamat. Kakinya berhenti melangkah, kembali berpaling ke arah kanvas lukisan. Dia tahu apa yang harus dilukisnya. Jari jemarinya cekatan memainkan peranan.

Dalam setengah jam, lukisan itu akhirnya siap dilakar. Merenung potret wajah jejaka cina itu, membuatkan Rania tersenyum sendiri. Tangannya menyentuh lembut potret wajah yang sedang tersenyum itu. Matanya yang teduh, hidung yang mancung, bibir yang merah dan lesung pipit di kedua pipi benar-benar membentuk seraut wajah yang kacak. Mindanya melayang pada hari dia mula-mula melihat senyuman terukir di wajah itu. Pada saat munculnya pelangi di dada langit di puncak bukit itu. Sungguh dia terkesima melihat senyuman menawan itu.

Eric, rakan baik Ricky sering kali mengatakan dia punca jejaka cina itu berubah daripada sikap bekunya selama ini. Eric juga yang membuka rahsia perihal mimpi Ricky sebelum berlakunya kemalangan dahulu yang menjadi asbab pertemuan mereka. Benarkah aku puteri pelangi itu?. Bidadari berselendang biru yang muncul dalam mimpi Ricky?.

Rania menatap lukisan dihadapannya lama. “Eh, kejap. Kenapa aku lukis gambar dia?”, soalnya kepada diri. Satu bulatan besar dilukis pada satu ruang kosong kertas lukisan itu. “Erm..sebab aku tak ada gambar dia”, jawabnya kembali. “Ish…habis tu..kenapa pula aku perlukan gambar dia?”, satu bulatan lagi dilukis dalam bulatan utama itu. “Sebab aku….haa..sebab aku rindukan dia”, jawabnya teruja. Kemudian Rania mencemberutkan bibirnya. “Rindu?. Kenapa aku rindukan dia?”. Bertambah satu lagi bulatan sehingga bulatan utama itu sudah menyempit. Kali ini dia tidak dapat menjawab pertanyaan itu. Satu tanda soal dilukis ditengah ruang bulatan utama itu.

“Hargh!!”. Satu suara kuat mengejutkan Rania dari arah belakang.

Rania benar-benar terkejut lalu terjatuh dari kerusi kayu. Kanvas lukisan turut gugur ke tanah.

Ridzwan ketawa besar melihat reaksi adiknya itu. “Sorry sorry”, pintanya seraya menghulurkan tangan kepada Rania, membantu adiknya itu bangun. Kanvas lukisan yang jatuh itu pantas dikutip. Sebaik melihat potret jejaka cina itu, matanya membulat. “Oh my god. You’re so in love with Ricky!!”, laungnya seraya berlari anak membawa kanvas itu sambil ketawa.

Rania terpempan mendengar kata-kata itu. Itukah..itukah jawapan terhadap persoalan itu?. Soal hatinya. Tatkala menyedari abangnya telah jauh meninggalkannya, dia terus bangun lalu berlari pantas mengejar abangnya.

“Ricky lelaki baik. Kenapa tak terima je dia?”, soal Ridzwan saat mereka duduk di bangsal yang dibina di puncak bukit Bius. Melepaskan lelah setelah mendaki dari bawah padang golf.

“Mana abang tahu tentang ni?”, Rania membulatkan matanya. Seingatnya, dia tidak pernah membuka cerita mengenai jejaka cina itu kepada abangnya.

Ridzwan tersenyum. Sweater kelabunya dibuka, mengambil sesuatu di dalamnya. “Ini apa?”, soalnya dalam senyuman yang tertahan.

Rania membulatkan matanya. Pantas poskad berlatar belakang Taj Mahal itu di rampasnya dari tangan abangnya. Bibirnya memuncung tinggi. “Angah ni la. Mana boleh baca benda-benda peribadi macam ni”, gerutunya geram.

Ridzwan ketawa bersahaja. “Dah tu..siapa suruh letak merata-rata. Angah jumpa atas TV tadi. Amboi..sekarang dah nak berahsia dengan angah ye. Tak apa lah. Hum Aapke hain kaun. Siapa la aku pada dirimu”, ujarnya dalam nada merajuk.

Rania ketawa kecil. Dia memeluk bahu abangnya. “Mujhe maaf karna. Erm…”, pujuknya lembut. Melihat wajah abangnya itu tiada reaksi, pantas Rania menggeletek pinggang Ridzwan. Melihat abangnya ketawa sehingga terjatuh dari kerusi bangsal, dia pantas berlari sebelum sempat Ridzwan mengejarnya.

*******

“Hello….”.

Rania terasa jantungnya bagaikan dipalu kencang mendengar suara jejaka itu. Hampir sebulan lelaki itu menghilang. “Err..hel….lo..Kat..ma..mana?”, balasnya dalam gagap.

Terdengar suara ketawa di hujung talian. “Puteri pelangi…sejak bila jadi gagap ni. Tapi tak apa. Rania gagap pun..Ricky tetap suka Rania”, seloroh Ricky.

Rania sudah ketawa senang. “Apa la Ricky ni. Ricky buat apa kat Arab Saudi tu?”, soalnya tidak sabar-sabar.

“Rania dah dapat poskad dari tanah Arab?”

Rania mengerutkan keningnya. “Tak. Tak check pun lagi di peti surat. Kenapa?”.

“Haa..baca lah dulu. Ricky jelaskan segalanya dalam poskad tu. Erm…Rania rindukan Ricky tak?”. Suara Ricky kedengaran lembut dan romantik.

Rania terpempan mendengar soalan itu. “Err…err..erm……”, perkataan itu sahaja yang terkeluar daripada mulutnya. Dia benar-benar kelu.

Ricky ketawa lagi. “Tak apa. Rahsia di hati tak siapa yang tahu kan?. Insyaallah, Ricky balik malam ni. Naik flight malam. Tak sabar nak jumpa Rania. Ok..Ricky ada hal ni. Kena letak dah ni. Assalamualaikum”.

KLIK!!.

Rania masih termanggu disitu dengan telefon bimbit masih terlekap di telinganya.

Ridzwan masuk ke dapur setelah mengambil surat-surat di dalam peti surat di luar rumah. Tangannya menghulurkan sekeping poskad berlatar belakangkan gambar Masjidil Haram kepada Rania. “Daripada Mohd Rifqi Islam”, ujarnya tenang.

Rania bagaikan tersedar dari lamunan. “Hah?. Siapa tu?”, matanya membulat memandang wajah abangnya.

Ridzwan menggeleng dalam senyuman penuh makna. Dia berlalu ke ruang tamu bersama surat-surat yang penuh ditangan.

Rania mengerutkan dahinya melihat setem dari tanah arab itu. “Mohd Rifqi Islam?”, saat melihat tulisan yang condong ke arah kanan itu, matanya membuntang luas. Dia kenal tulisan itu. Mohd Rifqi Islam..atau.. Ricky!. Rania tersandar pada dinding dapur sebaik membaca isi kiriman poskad itu.

“Maafkan Ricky kerana lama tidak mengirim berita. Ada sesuatu yang berlaku dalam perjalanan mencari kebenaran. Sesuatu yang Ricky tidak nyatakan di dalam dua kiriman yang lepas. Semasa berada di Srinagar, sementara menantikan fajar menjelang..Ricky memandang ke arah langit, merenungi sekelompok awan yang seakan membentuk sebuah pola. Apabila diamati, awan itu membentuk kalimah Alif Lam Lam Ha. Sama seperti bentuk awan yang Ricky lihat pada malam munculnya pelangi dahulu. Hati Ricky berbisik, pasti semua ini hanya kebetulan. Namun, ketika berada di Agra, dihadapan Taj Mahal..saat awan mendung berarak lesu..kalimah itu sekali lagi muncul di langit. Pada saat itu, hati Ricky menyatakan…Allah pasti sedang merencanakan sesuatu untuk Ricky. Akhirnya Ricky mengikut gerak hati yang mengarahkan Ricky pergi ke tempat permulaan Al-Quran diturunkan. Alhamdulillah…Allah S.W.T memberikan hidayah di bumi penuh berkat ini. Nantikan cerita Ricky selepas pulang.

*******

“Ricky?”, mata Eric membulat. Dia benar-benar terpaku dan hilang kata-kata melihat penampilan baru rakan baiknya itu. Wajah Ricky tampak bercahaya tatkala mengenakan jubah putih berserta kopiah putih di kepala.

Ricky tersenyum manis. Pantas tubuh dihadapannya itu diraih dalam pelukan. Hampir dua bulan mereka tidak bertemu. “Kau sihat?”.

Eric mengangguk perlahan. Matanya menyeluruhi tubuh Ricky. “Kau…apa kau sudah peluk…err..islam?”, soalnya tersekat-sekat. Penampilan baru rakannya itu seolah mengesahkan telahan hatinya.

Ricky mengangguk dalam senyum manisnya. Kopiah putih di kepala dibetulkan letaknya. Jubah putih yang dikenakan di tubuh menyerlahkan tubuhnya yang tegap.

Mulut Eric terlopong dengan kebenaran itu. Hatinya sedikit sangsi dengan pengislaman itu namun cahaya di wajah rakannya itu membuatkan dia sedikit terpana. “Bagaimana kau boleh memeluk agama islam?”, soal Eric tidak sabar-sabar sebaik Ricky berdiri di sebelahnya. Angin yang bertiup mencuri masuk ke balkoni, mengibarkan jubah putih yang dipakai rakannya itu.

Ricky tersenyum lagi. Matanya merenung langit yang indah kemudian memandang wajah rakannya itu. “Bukan mudah untuk aku mengubah kepercayaan nenek moyang kita sejak sekian lama. Ketika Puteri Nur Raniah Iman hadir dalam hidup aku, minat aku terhadap agama islam tiba-tiba menggunung. Selama itu lah dalam diam aku banyak buat kajian mengenai islam…”

“Maksud kau memang kerana gadis melayu itu?”, sampuk Eric terburu-buru.

Ricky mengangguk. “Mungkin juga kerana Rania. Tapi sebetulnya dia tidak pernah sesekali menyaran aku memeluk islam. Cuma…aku benar-benar tertarik dengan pesona imannya. Sama seperti maksud nama penuhnya. Puteri yang memiliki cahaya pesona iman”, jawabnya seraya senyuman bahagia terukir dibibirnya.

Eric turut tersenyum melihat senyuman rakannya itu. Senyuman khas itu sering terukir tatkala Ricky menyebut nama gadis melayu itu.

“Kau tahu..hasil kajian aku setelah sekian lama…baru aku faham kenapa orang islam paling susah keluar daripada agamanya. Sebab apa tau, sebab tak ada apa yang boleh ditawarkan kepada mereka! Di dalam islam, segala-galanya lengkap, terdapat hubungan terus antara manusia dengan Allah, keampunan daripada dosa, pertolongan daripada Allah serta hidup yang kekal abadi di akhirat kelak”, terang Ricky lagi.

Lama Eric merenung wajah Ricky. “Bunyinya menarik. Tapi..bukan ke islam itu agama yang menggalakkan keganasan? Kau tengok lah sendiri apa yang dilakukan oleh orang islam pada WTC? Ingat tak buku yang kita baca dulu?. Buku tu kata, orang islam ada satu kitab yang mengajar berjihad melalui pembunuhan dan menggalakkan memukul wanita. Apa pendapat kau?”, soal Eric dalam syakwasangka yang menebal.

Ricky menggelengkan kepalanya beberapa kali. “Semuanya fitnah. Media barat membuat fitnah kepada umat Islam atas serangan WTC 911. Kalau ingin kan kebenaran, bacalah buku yang dikarang oleh orang islam sendiri, juga terjemahan kitab yang dijadikan garis panduan orang islam iaitu Al-Quran. Melalui kajian yang aku baca, rupanya fitnah penuh busuk hati itu menjadi jambatan kepada peningkatan saudara-saudara baru Islam khususnya di Amerika. Penduduk di Barat yang tidak percaya bulat-bulat tuduhan ke atas orang Islam telah secara senyap-senyap mendapatkan maklumat mengenai Islam menerusi pelbagai sumber. Hasilnya sekarang, Islam menjadi agama yang paling cepat tersebar di seluruh dunia. Sebelum ini kita baca tulisan orang yang salah, orang yang bermisi untuk menjatuhkan islam. Itu yang kita silap”, ujarnya bersungguh seraya menyentuh bahu Eric.

Eric termanggu lama. Kemudian dalam suara perlahan dia bertanya. “Apa yang kau dapat dengan memeluk islam?”.

Ricky membuka matanya. Bibirnya mengukir senyum selebar-lebarnya. Matanya menatap bintang-bintang di angkasa. “Aku rasa manisnya iman. Manisnya hidayah yang dihadiahkan Allah S.W.T kepada aku. Aku ingin hidup dan mati dalam kemanisan iman yang dirasai sekarang”, ujarnya penuh perasaan.

Eric menguman, berpeluk tubuh sambil menyandarkan badan di tepi pagar balkoni. “Aku tak tahu nak kata apa. Tapi apa yang membuatkan kau nekad untuk peluk islam? Di mana dan sejak bila?”, soalnya bertalu-talu.

Ricky terdiam lama. Kepalanya didongakkan ke atas. Menatap langit malam yang indah. “Kau betul-betul ingin mendengarnya?”, soalnya sejurus menatap wajah rakannya itu.

*******

“Nak. Rania nak tahu. Ceritakan la”, gesa Rania. Dia membetulkan duduknya di atas kerusi bangsal. Wajah kacak itu ditatap dengan penuh minat. Iman membuatkan lelaki Thionghua itu lebih menawan, lebih berseri.

Ricky merenung kaki langit. Lama renungannya dilontarkan di situ. “Selepas Ricky melawat India, Ricky ke Asia barat pula. Semuanya kerana gerak hati. Tempat mula-mula Ricky pergi adalah bandar Riyadh, sebuah bandar yang agak moden. Ricky mengenali seorang lelaki arab yang fasih berbahasa inggeris. Namanya Muhammad Fathurrahman. Dia berbesar hati menjadi tourist guide selama Ricky bercuti di Arab Saudi. Selepas tiga hari di bandar Riyadh, Ricky ke ke Bandar Najran untuk melawat dua kawasan iaitu Abha dan Al-Ula. Di situ, minat terhadap Islam semakin kuat, lebih-lebih lagi saat berada di padang pasir gersang lagi tandus. Sampai satu ketika, beberapa buah bas berhenti di padang pasir, kereta Muhammad Fathurrahman turut berhenti di situ. Entah kenapa hati Ricky betul-betul tersentuh melihat Fathurrahman dan lima orang pemuda mendirikan sembahyang di tengah-tengah padang pasir yang luas. Sejurus tiba di Al Juf, Ricky terus meminta Muhammad Fathurrahman supaya mengajar solat lantas Ricky turut bersolat zuhur di sebuah masjid. Masa tu, Ricky rasa sangat tenang, satu nikmat perasaan yang Ricky tak pernah rasa sebelum ni”.

Rania mengerutkan keningnya. “Eh, masa tu Ricky dah peluk islam ke?”, celahnya pantas.

Ricky menggelengkan kepalanya. “Belum. Ricky belum rasmi peluk islam pada masa tu. Ricky sembahyang kerana hanya ingin merasa sendiri kesan solat terhadap diri aku. Ricky betul-betul merasa kesan positif daripada solat. Semasa di dalam masjid, selepas bersolat di Al-Juf, kami meneruskan perjalanan ke bandar Jeddah. Di Jeddah, kami menginap di sebuah hotel. Semasa Muhammad Fathurrahman bersiap untuk menunaikan solat jumaat, entah kenapa hati Ricky ingin turut serta, pergi melihat sendiri pemandangan solat yang wajib bagi kaum lelaki. Sebaik menjejakkan kaki di ruang solat di luar masjid, Ricky betul-betul seronok menyaksikan gelagat umat Islam mengerjakan solat. Pemandangan yang begitu unik dan indah. Bayangkanlah para jemaah tanpa mengira latar belakang, miskin kaya dan sebagainya mereka semuanya saling bersalaman dan berpeluk dengan wajah yang ceria dan gembira..”, Ricky berhenti bercerita tiba-tiba.

“Then?”, Rania ingin mendengar cerita itu selanjutnya.

Ricky merapatkan kedua belah jari jemarinya. “Di dalam masjid itu juga Ricky tanpa ragu-ragu memberitahu Fathurrahman tentang hasrat untuk memeluk Islam secara rasmi.
Fathurrahman menyuruh Ricky mandi sunat dan dia sendiri membimbing Ricky melafazkan dua kalimah syahadah. Rania tahu..kalimah itu bagaikan mengalir lembut dalam hati ini..seperti air yang sejuk. Sangat tenang. Semua beban yang Ricky tanggung di jasad, terasa dibawa pergi.”, Ricky mengurut dadanya beberapa kali, kembali memandang gadis itu yang tekun mendengar ceritanya. “Dulu..Ricky pernah diberitahu, orang islam menyembah sebuah kotak hitam dimana tempat tuhan palsu tinggal..”.

“Kaabah?”, soal Rania dalam mata membulat.

Ricky mengganguk. “Ricky berpeluang masuk ke dalam Masjidil Haram di Kota Mekah selepas mendapat sijil pengesahan mengenai pengislaman Ricky. Kotak hitam itu..akhirnya ada di depan mata Ricky…Itulah kaabah yang menjadi kiblat umat Islam di seluruh pelusuk dunia, bukan rumah yang disembah umat islam..Ricky…Ricky…”, Ricky menghela nafasnya. Entah bagaimana rasa sebak tiba-tiba menggunung. Air matanya menitis di pipi. Pantas disekanya.

Rania kaget melihat air mata itu. Dia ingin bertanya lanjut namun tiada suara yang terkeluar. Wajah Ricky direnung dalam rasa ingin tahu yang mendalam.

Ricky mengukir senyuman dalam juraian air mata. Berpaling, memandang tepat wajah Rania. “Semua cerita, tulisan mengenai kaabah yang pernah Ricky baca penuh dengan fitnah. Jika orang bukan islam dibenarkan memasuki masjidil haram, turut diberi peluang melihat kaabah, pasti…kaabah menjadi antara binaan ajaib dunia. Kaabah bukan sekadar bangunan hitam empat persegi tetapi satu tempat yang ajaib kerana menurut ahli sejarah, kaabah juga turut diciptakan oleh para malaikat dan seluruh makhluk hidup di alam ini termasukah binatang seperti burung dan semut. Pokoknya, sebaik Ricky melihat kaabah tersergam di depan mata, hati Ricky betul-betul sayu, terharu, gembira..pelbagai macam rasa ketika itu. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah S.W.T diatas nikmat yang diberi. Ricky diberikan peluang sebagai tetamu ke rumah-Nya dalam tempoh 24 jam baru memeluk islam. Ricky bersolat, melakukan tawaf..dan berdoa panjang selama berada di situ. Itulah percutian paling bermakna dalam hidup Ricky. Pencarian mencari kebenaran akhirnya berhasil. Alhamdulillah”, ucapnya lagi dengan penuh rasa syukur. Matanya dipejamkan erat seraya kepalanya didongakkan ke atas. Langit yang membiru membuatkan hatinya lapang.

“Alhamdulillah”, Rania mengucap syukur, turut memandang langit yang cerah.

“Rania..”, panggil Ricky lembut.

“Ya”, sahut Rania perlahan. Turut merenung wajah kacak itu. Entah kenapa iman membuatkan lelaki ini lebih kacak dimatanya.

“Macam mana dengan lamaran Ricky dulu?”.

Rania meneliti seraut wajah kacak itu. Hatinya berdenyut laju sekaligus menghadirkan rasa bahagia dalam jiwa. Satu perasaan yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. Abah, inikah cinta?. Ini kah lelaki yang bakal memimpin Rania kelak?. Soal hatinya. Namun tatkala matanya menatap mata teduh milik lelaki itu, dia tahu apa kata hatinya. Perlahan-lahan senyum manis terukir dibibir. “Ricky..saya terima cinta awak”, jawabnya penuh yakin.

*******

Ricky mengikuti langkah Rania dan Haji Rashid yang berjalan dihadapannya. Rumah kayu dua tingkat itu kelihatan terang benderang seolah-olah menyambut kedatangannya. Seorang lelaki separuh abad mempersilakan mereka masuk ke dalam rumah. Mereka duduk di atas tikar mengkuang.

“Ini budak mualaf yang haji ceritakan tu ya?. Lawa budaknya”, puji Cikgu Basiron.

Ricky tersipu malu.

Haji Rashid menepuk-nepuk bahu Ricky.

Isteri Cikgu Basiron muncul bersama sepinggan goreng pisang panas dan kemudian menghilang ke dapur.

“Apa nama islam kamu?”, soal Cikgu Basiron sambil merenung tepat ke anak mata Ricky.

“Mohd Rifqi Islam”, jawab Ricky sopan.

Cikgu Basiron menganggukkan kepalanya. “Bagus maksudnya. Rifqi bermaksud pendamping. Islam pula adalah satu-satunya agama yang Allah S.W.T redhai. Memang kena dengan orangnya. Baik dan kacak”, ujar guru silat cekak itu seraya menyeluruhi wajah Ricky.

Ricky tersenyum kecil. Pemuda itu tersipu malu.

Rania tersenyum meleret.

Haji Rashid menepuk perlahan bahu Ricky. “Budak ni pemalu orangnya. Kalau terus menerus dipuji, mahu dia masukkan kepala di bawah tikar ni”, usiknya pula.

Rania menahan tawa sementelah Ricky tersengeh.

Cikgu Basiron tersenyum kecil. “Oh ya, minggu depan ada majlis pengijazahan bagi pelajar baru. Ricky bolehlah mendaftar hari khamis nanti. Jangan lupa pakai baju melayu. Rania, cikgu mintak kamu tolong lah apa yang patut”, pesan Cikgu Basiron.

“Baik, cikgu”, sahut Rania. Dalam fikiran dia cuba membayangkan penampilan jejaka itu dalam baju melayu. Pasti bertambah kacak.

“Goreng pisang ni untuk siapa cikgu?”, soal Haji Rashid bersahaja.

Cikgu Basiron tergelak besar seraya menampar peha Haji Rashid. “Haa..lupa nak jemput makan. Sila la makan”, Pelawa Cikgu Basiron.

Air kopi O panas terasa enak di tekak bila digandingkan bersama pisang goreng. Jam di dinding menunjukkan pukul 9.45 malam. Haji Rashid dan Cikgu Basiron rancak bertukar pandangan mengenai ilmu persilatan masing-masing. Rania dan Ricky turut menumpang dengar. Sesekali mereka menyampuk apabila ditanya.

“Ricky, apa yang kamu dapat simpulkan daripada pengislaman kamu?”, tiba-tiba cikgu Basiron bertanya.

Haji Rashid memincing pandangan manakala Rania memasang telinga.

Ricky merapatkan jari jemarinya kejap. Mencari kekuatan dan jawapan yang terbaik untuk diberikan. “Saya rasa bertuahnya bangsa melayu kerana Allah S.W.T pilih sebagai bangsa yang telah mewarisi agama islam sejak dari zaman dahulu. Betapa untungnya bangsa melayu kerana Allah S.W.T memberikan nikmat islam semenjak dari rahim ibu dan yang paling berharga adalah bangsa melayu tidak perlu mencari hidayah sebagaimana saya bangsa thionghua yang pencariannya berbelok-belok, perjalanannya berliku-liku”, jawabnya tenang.

Ketiga-tiga pasang mata bagai terpaku dengan jawapan Ricky.

Haji Rashid berdehem.”Benar apa kamu kata tu. Bangsa melayu seharusnya bersyukur dengam kurniaan Allah S.WT. Allah memberikan rahmatnya kepada setiap manusia termasuk yang tidak disukai-Nya, tetapi Allah hanya memberi agama hanya pada manusia yang disayangi-Nya. Sebagai contoh Abdul mutalib. Bapa saudara yang paling disayangi rasulullah. Beliau mati dalam kekafiran walaupun rasulullah memohon kepada Allah S.W.T supaya diberikan hidayah kepada pakcik yang telah banyak berjasa semasa baginda menyebarkan islam. Ricky adalah hamba yang disayangi Allah S.WT dan dia sangat bertuah”, ujar Haji Rashid bersungguh.

Ricky menganggukkan kepalanya. Sungguh dia bersyukur. Kopi yang berbaki dihirup lagi.

Isteri cikgu Basiron datang dengan seteko kopi panas. Teko yang telah kosong dibawa pergi.

“Tambah kalian air nya”, pelawa Cikgu Basiron lagi.

Rania menuangkan air kopi O yang masih berasap ke dalam empat cawan. Tiada suara yang menegah.

Cikgu Basiron meluruskan kedua kakinya yang terasa kebas. Dia mengumam sesaat. “Tapi melayu sekarang memang mudah lupa. Muda mudi sekarang banyak yang lupa diri. Lupa asal usul bangsa dan yang paling teruk adalah hilang pegangan agama. Penjajahan barat nampaknya tak pernah surut. Tidak dapat dijajah secara fizikal, digunakan cara mental. Haji tahu, kawan saya pernah melakukan kajian di universitinya. Tujuan kajian adalah melihat sejauh mana masalah sosial di kalangan pelajar asrama penuh. Tidaklah saya tahu berapa ramai responden yang digunakan, tetapi dapatan kajian sungguh mengejutkan. Seratus peratus pelajar perempuan melayu yang bijak pandai ini sudah tidak memiliki dara!”, Cikgu Basiron menekankan suaranya.

Rania terlopong.

Haji Rashid berdehem, cuba menutup rasa terkejutnya. “Apa sebab mereka jadi begitu?”, tenang suara Haji Rashid bertanya.

“Kurangnya didikan agama dan iman didada. Bila pengamalan rohaniah lemah, mudah bagi anasir barat untuk mempengaruhi cara berfikir dan tindakan kita. Sekarang ni, remaja barat yang rosak akhlaknya menjadikan hubungan seks sebagai satu syarat menjadi sebahagian kumpulan popular di kolej mahupun sekolah tinggi. Sesiapa yang masih memiliki dara, tidak dibenarkan menyertai kumpulan mereka kerana dianggap kolot. Prinsip tidak bertamadun ini menjadi ikutan ramai remaja melayu sekarang. Tidakkah mereka sedar bahawa rendah atau tinggi nilai diri mereka sangat berkait rapat dengan dara?”. Cikgu Basiron menggelengkan kepalanya. Sungguh dia kesal dengan sikap sesetengah gadis yang menganggap remeh soal harga diri mereka.

“Dara itu mahal ya, cikgu?”, soal Ricky ingin tahu. Matanya tepat memandang jurulatih silat cekak itu.

Cikgu Basiron menganggukkan kepalanya. “Dara itu mahkota seorang gadis yang melambangkan kesucian. Baik buruk mahupun mahal atau murah seorang perempuan itu sangat berkait dengan dara. Nabi kita sangat menegaskan seorang pemuda memilih gadis yang belum pernah disentuhi lelaki kerana sifatnya penuh rasa malu, manis dalam berbahasa dan bertutur, manja, takut berbuat khianat, dan tidak pernah ada ikatan perasaan dalam hatinya. Cinta dari seorang perawan lebih murni karena tidak pernah berkongsi dengan orang lain, kecuali suaminya. Menikahi gadis perawan akan melahirkan cinta yang kuat, mengukuhkan pertahanan dan kesucian. Itulah sebab dara mahal harganya. Tapi jangan tak tahu, tanda dara atau sudah kehilangan dara dapat dilihat melalui tubuh perempuan itu sendiri”, terang Cikgu Basiron.

Rania tersentak.

Ricky menelan liurnya. “Ada cara ke Cikgu untuk membaca tandanya?”, soalnya bersungguh.

Cikgu Basiron mengangguk. “Banyak. Ada pada kawasan yang mudah dilihat seperti wajah, tapak tangan dan juga tumit kaki. Contohnya pipi seorang perempuan yang berdara terdapat satu garisan melintang yang jelas, tetapi jika dara itu sudah hilang, garisan itu tidak akan nampak atau tidak jelas. Pokoknya, memang merubah tanda-tanda fizikal seorang perempuan. Itulah kenapa dara mahal harganya”, terang Cikgu Basiron panjang lebar.

Ricky dan Rania sama-sama terlopong.

Rania sedikit segan apabila guru silat cekak itu memandangnya lama. Dia tahu kemampuan lelaki itu dalam menilai seseorang melalui ilmu yang dianugerahkan Allah S.W.T kepadanya.

“Anak kamu ni haji, perempuan yang baik dan elok seadanya. Bertuah suami dia nanti”, Cikgu Basiron bersuara selepas lama memerhatikan Rania.

Terkejut Rania dibuatnya. Ricky tersenyum lebar manakala Haji Rashid tersenyum bangga.

“Dia masih dara lagi la ya cikgu?”, usik Haji Rashid.

“Abah ni la..sampai hati kata macam tu”, gerutu Rania. Bibirnya dimuncungkan ke hadapan.

Ricky dan Haji Rahsid sama-sama ketawa.

Cikgu Basiron tersenyum. “Jangan bimbang. Rania perempuan yang baik dan solehah. Perempuan yang solehah itu bagaikan bidadari syurga bagi mukmin yang memilikinya. Rania akan menjadi kaya di usia muda malah sangat disayangi suami dan dicintai ramai orang. Memang anak haji ni perempuan yang bertuah”, puji Cikgu Basiron lagi.

Wajah Rania merona merah. Terasa pujian itu agak keterlaluan pada dirinya.

“Macam mana cikgu tahu?”, soal Haji Rashid lagi.

“Tahi lalat tepat dibatang hidung membawa maksud disayangi suami, manakala tahi lalat diatas bibir kanan menunjukkan akan mendapat kekayaan di usia muda dan disayangi ramai orang. Ini orang-orang tua yang kata berdasarkan pengalaman mereka. Terpulang kepada kita nak percaya atau tidak..tapi yang penting usaha itu harus ada selain doa yang berterusan”, balas Cikgu Basiron.

Haji Rashid menggosok-gosok kepala Rania yang sedari tadi ditundukkan.”Harap-harap begitulah hendaknya. Rania adalah kesukaan dan kesenangan saya. Saya sentiasa mendoakan kebahagiaan untuknya”.

Kata-kata ayahnya itu membuatkan Rania semakin menundukkan kepalanya. Terasa segan apabila kata-kata itu diucapkan dihadapan orang lain.

“Dan saya begitu juga. Tidak segan saya katakan yang saya mengasihinya. Dia bakal isteri saya atas izin Allah S.W.T”, celah Ricky pula.

Dan kata-kata itu membuatkan Rania benar-benar ingin ghaib saat itu juga

********

“Ini khas untuk puteri pelangi”, Ricky menghulurkan satu bekas tupperware kepada Rania.

Rania menyambut dengan wajah penuh tanda tanya. Mereka bersama-sama melabuhkan punggung di bangsal. Mata Rania berkaca sebaik melihat isi dalam tupperware itu. Pelbagai warna dan jenis sushi disusun dengan cantik dalam bentuk hati. Kacang merah diatas nya membentuk dua perkataan mandarin. “Chaihong gongzhu”. Rania menyebut dua perkataan itu dengan fasih. Kemudian dia tersenyum simpul menatap tulisan yang membawa maksud puteri pelangi. Kekasihnya itu telah banyak menggali rahsia dirinya daripada ayahnya.

Ricky tersenyum senang. Semenjak dia mengetahui Rania pernah bersekolah di sekolah cina dan menguasai bahasa mandarin dengan baik, seringkali diajaknya berbual dalam bahasa itu. Gadis ini benar-benar istimewa.

“Terima kasih Ricky. Kenapa susah susah ni?”, ucap Rania dalam sebak. Sungguh dia tersentuh.

Ricky tersenyum melihat reaksi Rania. Termos pula dikeluarkan dari begnya. Air berwarna krim itu dituangkan ke dalam penutup termos dan dihulurkan kepada Rania. Rania tersenyum dan menyambutnya. Penutup termos dilagakan.

“Ho!ho!ho! Hakunamatata!!”, laung mereka serentak. Air Horlick suam terasa enak ditekak lebih-lebih lagi digandingkan bersama sushi ikan salmon.

Rania makan penuh selera. Ekor matanya menangkap senyuman Ricky disebelahnya. Pantas diangkat keningnya seiring kerutan didahi. Ricky tidak langsung menyentuh hidangan itu apatah lagi meneguk air Horlick yang dibawanya.

“Seronok tengok Rania makan”, Ricky bersuara sambil menongkat dagunya dengan kedua-dua tangan. Matanya yang bening merenung Rania dengan penuh rasa kasih.

Rania tersenyum malu lalu mengalihkan pandangan ke arah kaki langit dihadapannya. “Dah lama pelangi tak muncul selepas hujan?. Kenapa ya?”.

“Mungkin pelangi malu untuk muncul selalu”, sahut Ricky dalam berseloroh.

Rania menahan tawa. “Serius la sikit Ricky”.

“Ricky serius la ni. Pelangi itu kan cantik. Kalau muncul selalu, akan pudar kecantikannya kerana akan terbiasa di pandangan. Mungkin sebab itu, pelangi tidak selalu muncul. Jadinya, apabila sesekali pelangi muncul, kita tahu menghargai dan menikmati kecantikannya. Boleh jadi seperti bidadari dihadapan Ricky ni. Ada kecantikan yang tersembunyi di sebalik tudung ni kan?”, Ricky mengenyetkan mata kanannya.

Rania menahan pijar diwajahnya. “Ricky ni lah. Ke situ pula”.

“Ricky serius ni. Bila Ricky fikir-fikirkan, ada hikmah yang indah disebalik hukum menutup aurat yang Allah S.W.T syariahkan kepada golongan perempuan. Perempuan muslimah itu seperti pelangi. Kecantikannya hanya boleh dilihat, tidak boleh disentuh. Alangkah untungnya seorang mukmim jika memiliki bidadari bumi yang auratnya dijaga dan akhlaknya terpelihara. Ricky rasa Ricky lah mukmim yang bertuah tu”. Ricky merenung wajah gadis itu.

Rania tersenyum segan sebelum membalas renungan sepasang mata hitam itu. “Mohd Rifqi Islam.. terima kasih atas segalanya. Terima kasih juga kerana menerima diri ini tanpa syarat”. Mata Rania sudah berkaca.

Ricky tersenyum manis. “Terima kasih juga wahai bidadari. Benarlah, bidadari itu ada dibumi. Bidadari itu ada dalam diri perempuan solehah. Perempuan yang beriman serta patuh terhadap perintah Allah S.W.T. Ranialah bidadari itu. Bidadari berselendang biru yang Rachael katakan dulu. Puteri pelangi yang hadir dalam mimpi”, balas Ricky bersungguh. Wajah Rania direnung lembut, penuh kasih.

Rania menahan rasa terharunya. Pandangannya dikalihkan ke arah kaki langit. Biarpun pelangi tidak muncul di bukit itu, namun ada persoalan yang sering bermain di mindanya mengenai pelangi. “Mengapa pelangi selalu melengkung? Mengapa tidak pelangi berbentuk segitiga, bentuk hati, atau bergelombang, garis lurus, atau bentuk lain?”, Rania membetulkan duduknya. Sepotong Sushi disuapkan lagi ke dalam mulutnya.

Ricky meneguk air minumannya. “Sebenarnya bentuk pelangi adalah lingkaran penuh. Kita selalu melihat pelangi sebahagian dari lingkaran kerana pelangi terpotong oleh horison bumi atau objek lain yang menghalangi cahaya, contohnya bukit atau gunung. Hampir tidak mungkin kita mendapatkan pelangi dalam bentuk garis lurus, apalagi segi tiga. Pelangi berbentuk segi tiga atau empat tidak mungkin terjadi jika dari satu sumber cahaya matahari”.

Rania memanggungkan kepalanya memandang raut wajah kacak itu. “Kenapa Ricky tahu banyak mengenai pelangi?”, soalnya hairan. Sungguh dia kagum dengan pengetahuan jejaka cina itu.

“Rachael…kerana Rachael sering bertanya perihal pelangi. Secara tak langsung, Ricky cari maklumat dan tahu serba sedikit”, jawabnya dalam nada suara perlahan.

Rania menyedari air muka Ricky berubah muram. Pasti jejaka cina itu terkenangkan kenangan lalu bersama adiknya. “Ricky..kenangan lalu biarkan berlalu. Kita yang masih hidup ini..banyak lagi rentas masa yang perlu dilalui..banyak lagi memori indah yang bakal tercipta. Contohnya seperti cinta kita. Kan?”, Rania memancing reaksi jejaka itu disulami senyuman kambing yang dibuat-buat.

Ricky tidak dapat menyembunyikan senyumannya. Gadis ini benar-benar luar biasa. Satu-satunya gadis yang berjaya membuatkan dirinya tersenyum semula, malahan berkali-kali. “Rania…Ricky benar-benar bahagia memiliki Rania. Rasanya nak hidup seribu tahun lagi bersama Rania”, luahnya penuh tulus.

“Seribu tahun?. Masa tu Rania dah kerepot. Ada lagi ke rasa sayang pada masa tu?”.

Ricky tersenyum manis. “Insyaallah. Cinta Ricky takkan pernah berubah mahupun berkurang. Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu. Kata-kata Imam Al-Nawawi ini sungguh indah bukan?. Kata-kata ini Ricky tujukan kepada Rania. Oleh itu, selagi Rania berpegang teguh pada agama Islam biarpun Rania sudah berubah bentuk, sudah kerepot, selagi itulah cinta Ricky takkan pernah berubah”, jelasnya bersungguh.

Rania menyeka air mata yang entah bila luruh ke pipi. Kata-kata itu terlalu indah di pendengarannya. Bait-bait indah yang terbentuk dari dasar jiwa yang disulami takwa dan iman. Ternyata iman membuatkan lelaki ini lebih menawan, lebih mengesankan.

Ricky ketawa melihatnya kemudian dia kembali serius. “Rania masih ingat dengan janji Rania dulu?”, soalnya.

Rania menyeka air mata yang bersisa. Dia tersenyum lebar lantas mengangguk.

“Ada apa dengan Horlick sebenarnya?”, soal Ricky. Sudah beberapa kali dia bertanya kepada kekasihnya itu tentang jawapan kepada persoalannya mengenai minuman Horlick yang menjadi kegemaran Rania, namun gadis itu tetap bertegas untuk tidak memberitahu jawapan sebelum masanya. Kini, masanya telah tiba. Terasa cepat masa berlalu. Tanpa disedari, 1 Mac datang lagi.

Rania tersenyum. Dia tahu, inilah masanya mengotakan kata walaupun pada ketika itu dia hanya ingin mengenakan Ricky. Tidak disangkanya lelaki ini terlalu berlabuh dalam hidupnya. Rania membetulkan duduknya, merenung isi gelas yang mengandungi minuman kegemarannya itu. “Dulu…Rania sangat sukakan Oveltin sampaikan tiap-tiap hari mesti bawa bekal air Overltine ke sekolah tadika. Masa kecil dulu..Rania nakal tau, tu yang banyak orang tak suka. Sebab ramai tak suka la deorang berpakat letak katak dalam botol air Rania. Rania terus berhenti minum Overltine. Bayangkanlah masa tu Rania betul-betul haus, tapi bila buka bekas air tu..ada seekor katak puru yang sedang berenang-renang. Gelinya tuhan je yang tahu”, ceritanya bersungguh.

“Rania nangis tak?”, soal Ricky. Dia berusaha menahan tawa.

“Memang teruk Rania nangis masa tu sampaikan Rania lari ke rumah terus. Bila cerita kat abah, abah gelak je. Sebab Rania dah berhenti minum oveltine, abah tukar kepada horlick. Itu je sebab Rania suka horlick”, ujarnya selamba.

Ricky ketawa besar mendengarnya. “Itu sahaja ke?. La..ingat kan apa la tadi”.

Rania turut ketawa bersama Ricky. Hatinya benar-benar lapang. Tuhan…terima kasih atas cinta ini.

“Rania…”, panggil Ricky.

“Ya”.

“Rania boleh tunggu Ricky?”.

“Demi Allah yang nyawa Rania hanya ditanganNya, hati Rania hanya ada Ricky. Rania tetap akan tunggu Ricky sampai bila-bila. Itu janji Rania”.

“Betul ni?”.

“Ya”.

********

TUJUH TAHUN KEMUDIAN

“Rania..pelangi petang di sini lebih indah dari di mana-mana negara yang kita pernah pergi kan?”, soal Ricky sambil menggenggam jari jemari isterinya.

Rania melentukkan kepalanya di bahu Ricky. “Sehebat manapun negara orang namun Malaysia tetap di hati. Negara terbaik dalam dunia. Rania sering merindui kenangan kita di Puncak Bius ini. Tiada tempat yang lebih mengagumkan daripada bandar kecil kita. Pelangi di bandar ini ternyata lebih berseri”, luahnya penuh perasaan.

“Betul…biarpun bandar kita tidak berapa dikenali, nampak biasa pada luarannya, tetapi tetap sahaja istimewa di hati setiap warga Kuala Lipis. Di sini, kita ada nostalgia dan kenangan yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit”. Ricky memeluk erat bahu isterinya.

Rania tersenyum bahagia. “Sekarang bandar asal kita nampak lebih membangun. Kuala Lipis kelihatan berbeza berbanding tujuh tahun lalu. Banglo berhantu yang kita pernah pergi dulu sekarang menjadi tempat tinggal pelancong yang datang ke bandar ini. Abang, adakah segalanya berubah?”.

“Tak..ada satu yang tak pernah berubah”.

“Apa dia?”.

“Cinta kita”.

Rania tersenyum senang. Pelangi dihadapan mereka ditatap bersungguh. Abang…pelangi itu indah sebab perbezaan warna yang ada kan?. Sebab perbezaan itulah yang membuatkan pelangi itu kelihatan sempurna”, ujarnya mula berfalsafah.

Ricky mengangguk dan menyambung. “Pelangi itu seperti jalinan cinta kita. Cinta adam dan hawa. Meskipun berbeza warna tapi itulah yang membuatkan kita saling menyempurna”, balasnya pula.

Rania tersenyum bahagia. Dia mengeratkan pelukan di dada suaminya. Terima kasih ya Allah atas rahmat mu ini. Aku la puteri pelangi, sang bidadari bumi Mohd Rifqy Islam. Semoga cinta ini akan bersambung di akhirat kelak. Amin.

P/S : Terima kasih kerana membaca cerpen yang “pendek” ini. Semoga terdapat sesuatu yang boleh dijadikan iktibar, barangkali ada sesuatu yang boleh dikongsi bersama.