viglink

Facebook like


Logo

Image by FlamingText.com

Enable clik

Info masuk



Listen My Radio at Facebook or Here

Background

Tweet Terbang

online

wibiya widget

Change colour

Silahkan Pilih Warna Background

Follow


Tulisan Ketik

Terima Kasih Dah Berkunjung di http://www.boynordin.blogspot.comSilahkan Anda Bagi Komen Ya...

Radio Boy Nordin Streaming



Listen My Radio at Facebook or Here




















Sunday, November 20, 2011

Novel: TAK MUNGKIN KUHINDAR 13

Jam hampir menunjukkan pukul 5.00 ketika Hisyam sampai di hadapan kilang tempat Maria bekerja. Dia sudah terlewat. Pada ketika itu, telefon bimbitnya berbunyi.

"Maria, kenapa?" soal Hisyam perlahan. Pertemuan dengan Irwan terimbas semula.

"Syam, awak kat mana?" Maria bertanya.

"Kenapa?"

"Dah lama saya tunggu awak ni, tapi tak sampai-sampai jugak. Sebenarnya…"

Hisyam menekan brek dan meletakkan keretanya di bahu jalan. Hatinya berdebar-debar bila terpandang susuk tubuh Maria yang berdiri kira-kira 50 meter di hadapannya.

"Apa dia, cakaplah..." kata Hisyam perlahan sambil terus memerhati.

Maria sedang membelakang Hisyam, jadi dia tidak perasan bahawa Hisyam sudah tiba.

"Kita jumpa lain kali boleh tak Syam? Saya ada hal penting ni. Saya tak dapat nak jumpa dengan awak. Saya, saya kena pergi sekarang." Maria meminta pengertian.

Mendengar kata-kata Maria itu, Hisyam mula curiga. Hal penting? Jadi, dirinya ini tidak pentingkah? Apa yang bakal mereka bincangkan nanti itu tidak pentingkah? Perkahwinan mereka tidak penting jugakah? Fikiran yang sudah diracuni mula mengesyaki sesuatu. Hatinya menjadi semakin marah. Sudahlah Irwan berkata yang bukan-bukan. Kini Maria pula menolak untuk berjumpa. Geram sungguh!

"Syam, awak dengar tak ni? Kenapa diam? Syam, awak marahkan saya ke?"

Suara Maria yang manja tidak mampu memujuk sekeping hati yang sedang kecewa.

"Kenapa tiba-tiba aje awak ada hal penting, Lia? Saya ni tak penting pada awak ke? Apa yang kita nak bincangkan nanti pun tak ada ertinya pada awak?" jerkah Hisyam.

"Maafkan saya, tapi saya cakap betul ni. Saya memang ada hal penting. Syam, apa kata kalau awak datang jemput saya di rumah malam ni? Pukul 8.00. Boleh?"

"Hal apa yang penting sangat tu?" Hisyam sudah mengendurkan suaranya.

Maria tergelak kecil. "Adalah! Malam nanti saya beritahu awak. Syam, awak marah ke?"

"Tak. Saya tak marah awak. Kalau awak ada hal lain yang lebih penting, tak apalah. Nak buat macam mana," kata Hisyam merajuk.

"Hai, merajuklah tu? Tak apa, malam nanti tahulah macam mana saya nak pujuk awak."

Hisyam pula yang ketawa. Lupa sebentar pada cerita Irwan tadi. "Betul awak nak pujuk saya malam nanti? Hmm, mesti seronok, kan? Saya tahu apa yang saya nak mintak daripada awak," usik Hisyam.

"Tu, dah mula merapulah pulak. Okey, saya kena pergi ni. Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam," jawab Hisyam dengan senyuman masih terukir di bibir. Namun, senyuman itu hilang sebaik melihat apa yang berlaku di hadapan matanya.

Hisyam benar-benar terkejut. Dia hendak menukar gear ketika dia terpandangkan Maria dan lelaki itu. Matanya merenung ke arah Maria dan pasangannya dengan mata yang tidak berkelip-kelip.

Topi keledar yang dipegang oleh lelaki itu Maria ambil dan disarungkan ke kepala. Dengan mesra, dia menghampiri lelaki itu dan Hisyam melihat tangan lelaki itu mengikat tali keledar itu. Mesra benar kelihatannya. Ketika membonceng, Maria memeluk pinggang lelaki itu. Rapat benar!

Berbagai-bagai soalan mula bermain di benaknya. Siapakah lelaki itu? Apakah hubungan mereka berdua? Mengapakah Maria menaiki motosikal itu? Mereka hendak ke mana?

Tidak dapat dibayangkan perasaan Hisyam waktu itu. Debaran di dalam dada semakin kuat. Degupan jantung semakin kencang. Ternampak-nampak senyuman Maria kepada lelaki itu. Senyuman yang amat manis. Sungguh mesra. Rasa cemburu menyelinap masuk ke ruang hatinya.

Hatinya terbakar melihat kemesraan mereka. Rasa ingin dipotong tangan lelaki itu ketika dia memakaikan topi keledar itu tadi. Dan, tatkala Maria membonceng, tangan gadis itu pula hendak dikeratnya. Geram sungguh!

Hisyam menyandarkan kepala ke head rest. Dia ingin menenangkan fikiran. Ingin menyabarkan hati. Dia harus bertenang. Tetapi bayangan itu tidak mampu dibuang. Ia masih berlegar-legar di ruangan mata.

Jadi, lelaki itulah rupa-rupanya hal yang tersangat penting. Lelaki itu lebih penting daripada dirinya. Lelaki itu lebih penting daripada apa yang bakal mereka bincangkan. Lelaki itu lebih penting daripada perkahwinan mereka.

Tapi, siapakah dia? Siapakah lelaki yang menaiki motor buruk itu? Apakah dia kekasih Maria yang sebenarnya? Kalau itulah kekasihnya, siapakah dia di hati perempuan itu?

"Maria sangat bencikan orang kaya, Hisyam. Dia tak akan pilih awak. Dia hanya berniat untuk mempermainkan perasaan awak selepas awak mencurahkan rahsia hati awak kepadanya. Dia tak cintakan awak!"

Terngiang-ngiang bicara Irwan di telinga Hisyam. Betulkah begitu? Mungkinkah benar semua yang dikatakan oleh Irwan? Maria tidak mencintai dirinya. Lagi pula sememangnya Maria tidak pernah melafazkan kata-kata keramat itu kepadanya. Belum sekali dia pernah meluahkan rasa cintanya kepada Hisyam. Tidak pernah!

"Saya tak sanggup melihat seorang lagi lelaki tersungkur di kaki Maria, Hisyam. Saya kesiankan awak. Pasti awak akan kecewa bila awak tahu yang dia hanya berpura-pura sayangkan awak. Tentu awak akan terseksa. Sakit!"

Bicara itu menyapa lagi. Mengganggu ketenangan Hisyam. Aduh, entahlah, sekarang ini pun saya sudah merasai kesakitannya. Melihat kemesraan Maria dengan pemuda itu, saya jadi risau. Apakah hubungan mereka? Mereka terlalu mesra. Kemesraan itu tidak pernah Maria berikan pada saya. Dia biarkan lelaki itu mengikat tali keledarnya. Dia memeluk pinggang lelaki itu sedangkan saya... Nak pegang jari dia pun tak boleh. Betulkah, Irwan? Betulkah dia menipu saya selama ini? Betulkah dia cuma mempermainkan hati dan perasaan saya?

Pertanyaan demi pertanyaan untuk diri sendiri tidak akan mampu memberi jawapan yang sebenar. Hisyam tahu itu.

Dengan hati yang hampa, Hisyam memandu pulang. Dia benar-benar tidak menyangka bahawa Maria hanya mempermainkan dirinya. Betullah seperti apa yang dikatakan oleh Irwan. Dia bersetuju dengan pendapat lelaki itu. Maria hendak membalas dendam! Dendam atas perbuatan ayah kepada anak. Dendam kerana ayah, lelaki yang tidak bertanggungjawab. Dendam kerana ayah memilih untuk bersama perempuan kaya, meninggalkan dirinya, emak dan adik-adiknya merempat. Dendam kerana perbuatan ayah mengabaikan mereka.

Maria, dendam awak sudah berbayar. Sudah berbalas! Sampai hati awak. Setelah saya benar-benar menyayangi awak, setelah saya benar-benar jatuh cinta pada awak, awak buat saya begini. Kejamnya awak, Maria. Saya sungguh-sungguh tak percaya. Kalaulah saya tidak nampak perbuatan awak hari ini, pasti saya tidak akan percaya yang awak sanggup melakukannya. Maria, saya tidak akan boleh memaafkan awak.

Hati sudah diracuni. Kemarahan menguasai diri. Hisyam tidak boleh berfikir secara rasional lagi. Tiba-tiba melintas di benaknya suatu soalan. Perlukah dia bertanya kepada Maria?

Hisyam mendengus keras. Dia menggelengkan kepalanya beberapa kali. Tidak mungkin dia akan bertanya kepada gadis itu. Mustahil! Akan tercemarlah egonya. Akan tergadailah maruahnya. Malulah dia!

Oh, tidak! Dia tidak akan bertanya kepada gadis itu. Dia tidak akan membenarkan gadis itu mentertawakan dirinya. Dia tidak akan membenarkan gadis itu meraikan kemenangan di hadapannya. Tidak. Itu tidak akan berlaku.

Maria tidak boleh mempersendakan dirinya. Maria tidak boleh mempermainkan perasaannya. Maria tidak boleh menipunya. Selama ini tidak ada seorang perempuan pun yang pernah melakukan begitu kepadanya. Tidak ada seorang perempuan pun yang boleh membodohkannya hanya kerana dendam. Tidak ada! Jadi, Maria tidak akan sewenang-wenangnya dilepaskan.

Mujurlah Irwan cepat memberitahunya. Mujurlah dia dapat tahu terlebih dahulu sebelum perempuan itu terus-terusan membohonginya.

Dan, hatinya sendiri membara dengan api dendam. Dendam kepada Maria. Dendam kepada gadis yang begitu berani memperalatkan dirinya untuk membalas dendam kepada ayahnya sendiri. Dendam kepada gadis yang menggunakan dirinya untuk membalas dendam kepada perempuan kaya yang memusnahkan keluarganya. Kenapa dia? Kenapa Maria memilih dirinya?

Maria, awak silap kalau awak fikir saya akan berdiam diri. Awak silap kalau awak fikir saya akan membiarkan awak memperalatkan saya. Awak silap besar, Maria. Awak tunggulah nasib awak. Tahulah saya macam mana nak ajar awak nanti.

Sejak itu, hubungan antara Hisyam dan Maria diputuskan. Maria tidak dihubungi lagi. Malah, setiap panggilan Maria tidak dijawab Hisyam. SMS juga tidak dibalas. Hisyam mula mencari gadis lain untuk menemaninya. Waktu itu dia amat yakin bahawa Maria akan dapat dilupakan. Akan dibuang nama itu jauh-jauh dari lubuk hati.