viglink

Facebook like


Logo

Image by FlamingText.com

Enable clik

Info masuk



Listen My Radio at Facebook or Here

Background

Tweet Terbang

online

wibiya widget

Change colour

Silahkan Pilih Warna Background

Follow


Tulisan Ketik

Terima Kasih Dah Berkunjung di http://www.boynordin.blogspot.comSilahkan Anda Bagi Komen Ya...

Radio Boy Nordin Streaming



Listen My Radio at Facebook or Here




















Sunday, November 20, 2011

Novel: TAK MUNGKIN KUHINDAR 14

MARIA mengelap air mata yang menuruni pipi. Sejak semalam, air mata itu tidak mahu berhenti mengalir. Pertemuan dengan Hisyam menyebabkan kesedihan ini. Terasa berat untuk pergi. Tawar hatinya mengenangi penerimaan lelaki itu nanti. Tapi, apa dayanya?

Dato’ dan Datin perlu dihormati. Jadi, mahu atau tidak, terpaksalah digagahi juga. Walau terpaksa berpura-pura seolah-olah antara mereka berdua tidak pernah terjalin hubungan yang mesra. Mereka pernah bercinta sehinggalah Hisyam membuat keputusan untuk pergi meninggalkannya tanpa ucapan selamat tinggal pun.

Aduhai, rupa-rupanya Hisyam ialah anak seorang Dato’. Ibunya ialah Datin Syarifah. Selama ini dia tidak pernah bertanya. Tidak pernah mengambil tahu. Kalaulah dia tahu, sudah tentu hubungan mesra antara mereka berdua tidak akan terjalin. Sehabis daya, akan ditolak rasa cinta yang hadir.

Sudah lama dia berikrar pada dirinya bahawa dia tidak akan membenarkan dirinya jatuh cinta pada orang kaya. Dia masih terkesan dengan perbuatan ayahnya pada dia, emak dan adik-adiknya. Dia juga masih terluka dengan sikap Irwan dahulu. Dan, hari ini, dia terluka sekali lagi. Oleh Hisyam! Kini, memang wajarlah mereka berpisah. Memang sudah sepatutnya begitu.

Jadi, malam ini, Hisyam bukan sesiapa dalam hidupnya lagi. Kalau lelaki itu mahu terus membencinya, terserahlah. Dia akan pastikan dirinya jauh. Kalau Hisyam tidak mahu menyapa dirinya, tidak mengapa. Dia tentu tidak akan menegur. Malam ini, mereka berdua adalah orang asing. Segala hubungan dulu akan dilupakan.

Jam menunjukkan pukul 8.00 malam. Sebentar lagi Pak Mat akan sampai. Maria sudah lama bersiap, sejak lepas maghrib tadi lagi. Maria tersedar daripada angannya apabila dia mendengar bunyi hon kereta di luar rumah. Dia terus sahaja keluar dan mengunci pintu rumah. Malam ini tiada sesiapa di dalam rumah itu. Ketiga-tiga orang sahabat serumahnya tidak balik malam ini. Esok, Yana bekerja syif petang. Salwa dan Aini pula, syif malam. Hanya dia yang akan bekerja syif pagi.

Sebaik kereta didekati, Maria sudah tahu bukan Pak Mat yang menjemputnya. Tetapi, Hisyam. Kereta CRV berwarna merah hati milik lelaki itu sedang menunggu dirinya di luar pagar. Serta-merta langkahnya terhenti. Ingin berpatah balik, tetapi suara lelaki itu membantutkan niatnya.

"Pak Mat sibuk, tak dapat nak datang ambil awak."

Dalam kelam malam, Maria cuba melihat riak wajah Hisyam. Ia kelihatan garang. Sudah pasti lelaki itu tidak gembira kerana terpaksa datang menjemputnya. Maria gelisah. Dia tidak suka keadaan ini.

"Kalau macam tu, biar saya naik teksi sahaja," kata Maria.

Ketika dia ingin beredar meninggalkan tempat itu, Hisyam menahan. "Masuklah, Maria. Mami suruh saya datang ambil awak. Jadi, tak payahlah nak naik teksi pulak. Cuma, awak kena duduk di belakang, tempat duduk di sebelah saya dah ada orang."

Pintu kereta dibuka. Melihat Maria yang masih tercegat, Hisyam bersuara lebih tegas. "Masuklah! Nanti lambat pulak kita sampai."

Maria terasa hati mendengar suara lelaki itu yang keras. Tapi, semuanya sudah terlambat. Suka atau tidak, dia terpaksa menurut arahan itu. Dia mengangguk lalu masuk dan mengambil tempat di belakang pemandu.

Sebaik duduk, dia disapa oleh seorang gadis jelita. Gadis itu! Kekasih baru Hisyam! Gadis itu menyalakan lampu. Jadi, Maria dapat melihat wajah itu dengan jelas. Gadis itu bukan sahaja cantik, malah pakaiannya cukup untuk memberitahu Maria kelasnya yang tersendiri. Gadis itu memakai gaun malam berwarna merah yang menampakkan sebahagian dadanya yang putih gebu itu. Ala-ala Cinderella gitu. Gaya yang cukup sofistikated.

Melihat gadis itu, Maria merasa dirinya semakin kerdil. Rasa rendah diri hadir kembali. Patutlah Hisyam tidak lagi memandangnya, tidak lagi merenungnya, tidak lagi menoleh ke arahnya. Lelaki itu sudah mendapat gading yang bertuah, masakan pelanduk diingat lagi.

"Hai, saya Farah. Awak ni?"

Suara Farah itu manja menyapa telinga Maria. Jadi, inilah perempuan yang bernama Farah itu, fikirnya.

"Nama saya, Maria."

Itu sahaja jawapan yang diberi. Ingin dihulur tangannya, namun Farah seperti tidak mahu bersalaman.

"Maria, macam mana you boleh kenal dengan mami Syam?" Suara manja itu bertanya lagi.

Maria mendongak. Pada ketika itu matanya bertembung dengan sepasang mata Hisyam di cermin pandang belakang. Maria mengalihkan pandangannya.

"Saya menjahit baju Datin, Cik Farah."

"Apa? Tukang jahit? You buka butik kat mana?" Suara Farah melengking kuat.

Hisyam mengangkat kening.

Maria tersenyum tawar. "Saya tak ada butik, Cik Farah. Saya hanya tukang jahit biasa. Butik saya ialah rumah saya."

Farah ketawa besar dengan jawapan Maria itu. "Teruknya mami you, Syam. I ingatkan Maria ni setanding dengan Embun ke? Manalah tahu kut-kut Maria ni kelulusan UiTM. Rupa-rupanya tukang jahit biasa. Kedekutnya mami you. Upah orang macam ini untuk jahit baju dia." Farah mengutuk.

"You cakap apa ni, Farah?" Suara Hisyam mengejutkan Maria.

Farah ketawa. "Yalah... I hairan bila mami you upah dia ni jahit baju. Kenapa? Kat KL ni dah tak ada tukang jahit yang hebat ke? Hisy, malam ini I akan bercakap dengan mami you tu. Kalau dia nak, I boleh carikan dia mana-mana tukang jahit profesional kat bandar raya ni. Ada ke upah baju dengan perempuan macam ni. Patutlah I tengok baju mami you tu tak sesuai aje," kata Farah sambil tersenyum manis kepada lelaki di sebelahnya.

Maria memalingkan wajah ke luar jendela. Hatinya sedih benar dengan penghinaan yang diterima. Hina sangatkah dirinya? Tidak layakkah dia menjahit baju seorang Datin sebagaimana dia tidak layak berkawan dengan anak seorang Dato’? Itukah yang ingin disampaikan oleh wanita ini? Suatu amaran supaya Hisyam jangan didekati?

"Kenapa dengan you, Farah? Cakap main sedap mulut you aje. Suka hati mami I kalau dia nak Maria jahitkan baju dia. Yang you sakit hati kenapa? Itu bukan urusan you, jadi jangan menyibuk. Jangan you pandai-pandai nak kritik mami I. I tak suka! Ingat tu!"

Dua pasang mata sedang merenung Hisyam. Farah memandang dengan perasaan tidak puas hati. Malu kerana Hisyam mengutuknya di hadapan Maria. Bagi Maria pula, dia kehairanan. Tidak mempercayai tindak balas Hisyam sampai begitu sekali. Adakah lelaki itu membela dirinya? Atau, lelaki itu tidak suka Farah memperkecilkan maminya? Yang mana satu? Maria tidak mempunyai jawapannya.

Sepanjang perjalanan, Maria hanya mendiamkan diri. Dibiarkan pasangan kekasih di hadapannya berbual dan sesekali ketawa riang.

Ya, Farah begitu pandai mengambil hati lelaki itu. Dalam sekejapan waktu, suara yang tinggi tadi menjadi begitu lembut memujuknya. Maria melihat Farah merapatkan diri kepada Hisyam.

"Syam, dah berapa lama you kenal dengan Maria ni?"

"Hai, kenapa tanya soalan macam tu pada I?"

"Yalah, apa istimewanya dia sampai kita kena datang jemput dia macam ni?"

"Hei, kan I dah beritahu you yang mami suruh I jemput dia. I suruh you datang dengan parents you, tapi you tetap nak ikut I. Jadi, kenapa nak merungut pulak?"

"I tak suka, tau! I tak suka langsung! Macamlah dia tu hebat sangat."

Hati Maria berdebar-debar mendengar pasangan itu berbisik. Bisikan yang jelas di pendengarannya. Bisikan tentang dirinya. Dia terus memasang telinga.

"Mami I suka dia."

"Ya? Amboi, kalau macam tu nanti dia naik ekorlah. Syam, you cakap betul-betul pada I. Mami you ke yang suka dia atau you?"

Mata Hisyam dan Maria bertembung lagi dalam cermin pandang belakang. Hisyam tahu Maria mendengar kata-kata yang diluahkan Farah dan dia ingin menambahkan kesakitan itu.

"Jangan mengarutlah, Farah. Takkan bila I kena ambil dia, I dah suka pada dia? Dah jatuh cinta? Untuk pengetahuan you, I hanya menurut perintah mami. Kalau ikutkan hati I, I pun tak mahu menyusahkan diri I ni."

Farah tersenyum. "Manalah tahu? You ni bukan boleh nampak dahi licin sikit, mulalah nak menggatal."

Hisyam ketawa. "Weh, tolong sikit ya... I ni pun ada taste juga."

Hati Maria pedih. Hatinya merintih. Sayu mendengar kata-kata Hisyam itu. Jadi, dia menyusahkan lelaki itu? Oh, kalaulah dia mampu menyuruh lelaki itu memberhentikan kereta, alangkah baiknya. Lelaki itu hanya ingin menjaga hati maminya? Lelaki itu hanya menurut perintah? Lelaki itu ada taste juga?

Tidakkah Hisyam tahu betapa kecewanya dia mendengar kata-kata itu? Tidakkah lelaki itu tahu betapa hancur hatinya kini? Benarkah Hisyam yang sedang duduk di hadapannya dan sedang memberitahu secara tidak langsung kepadanya bahawa dia ini hanya menyusahkan lelaki itu? Bahawa dia tidak menepati selera lelaki itu? Ah, dasar lelaki. Begitu mudah mengatakan sayang dan cinta. Namun, semua hanya dusta. Hipokrit!

Anak punai anak merbah

Terbang turun buat sarang

Anak sungai pun berubah

Ini pula hati orang

Mengapa dikenang...

Memang benar, sekali air bah, sekali pasir berubah. Pantai dan sungai lagikan berubah, inikan pula hati orang.

Setitis air matanya yang gugur ke bumi telah menjadi selautan kaca yang harus direnangi. Inikah cintanya? Cinta yang menghiris jiwa. Cinta yang membiarkan hidupnya jadi melara. Sucikah cinta? Sucikah cinta jika janji dicemari? Sucikah cinta jika dia dibiarkan bertarung dengan sengsara ini?

Air mata yang mengalir di pipi disapu perlahan-lahan.

Farah menjeling Maria di belakang. Hatinya hairan melihat sikap gadis itu. Maria bukan seorang yang ramah-tamah. Sejak naik tadi, dia asyik membisu dan sentiasa memandang ke luar tingkap. Apakah keistimewaan gadis ini sehingga berjaya menghampiri Datin Syarifah?

Farah risau sebenarnya. Gadis bernama Maria ini cantik juga orangnya. Entah mengapa, dia merasakan gadis ini adalah saingannya. Gadis ini berjaya menghampiri Datin Syarifah, sesuatu yang sudah hampir dua tahun tidak berjaya dilakukannya.

Farah bertekad untuk mengambil hati Datin Syarifah malam ini. Dia memang tahu bahawa Datin Syarifah kurang menyukainya. Dia tidak tahu mengapa. Dia bimbang kerana dia tahu Hisyam amat sayangkan maminya. Dia tidak mahu kehilangan jejaka itu hanya kerana perempuan tua itu. Sebab itu Farah semakin membenci Maria. Dan, pastinya dia tidak mahu kalah kepada perempuan tukang jahit ini.

KETIKA mereka sampai, orang sudah ramai di rumah besar itu. Kereta-kereta mewah sudah memenuhi kiri dan kanan jalan.

Maria mengeluh. Semalam dia diberitahu bahawa Dato’ dan Datin hanya menjemput jiran tetangga dan kawan rapat sahaja menghadiri majlis sambutan ulang tahun perkahwinan mereka. Tapi, malam ini keadaan tidak seperti yang disangka. Tetamu yang hadir agak ramai dan terdiri daripada golongan elit. Orang-orang kaya. Bagaimanakah dia dapat menyesuaikan diri?

"Terima kasih, Cik Farah. Saya turun dulu."

Tanpa menunggu jawapan, Maria turun daripada kereta itu. Ada sedikit kelegaan dalam sistem pernafasannya. Pasangan kekasih itu ditinggalkan. Dia berjalan menuju ke rumah banglo yang kini terang-benderang dan disimbahi dengan cahaya yang berwarna-warni.

Hisyam hanya memerhati Maria meninggalkannya. Sememangnya dia sedar sejak di dalam kereta lagi Maria asyik mendiamkan diri. Sesekali apabila dia menjeling melalui cermin pandang belakang, nampak keresahan di wajah itu. Sesekali dilihatnya Maria mengelap pipi. Gadis itu menangis. Tapi, kenapa?

Cemburukah dia melihat Farah bersamaku? Sedihkah dia melihat aku bersama perempuan lain? Apakah yang berada di dalam kotak fikirannya? Tidak adakah walau sedikit perasaan cintanya kepada diri ini?

Hatinya kesal kerana tidak mampu membela gadis itu apabila Farah menghinanya. Geram betul dia kepada Farah.

Ah, persetankan! Mengapakah aku harus memikirkan tentang seorang perempuan yang tidak langsung menghargai diriku ini? Hisyam, sedarlah! Dia bukan sesiapa lagi untuk dirimu. Bukan sesiapa!

"Syam, you nak duduk dalam kereta aje ke?" Suara Farah memecah kesunyian dan mengejutkan Hisyam.

Hisyam cuba tersenyum. "Okey, jom kita masuk. Mak ayah you jadi datang ke?"

"Tentulah! Dia orang nak bincangkan hal kita dengan ibu bapa you!"

Hisyam mengangkat kening. "Hal kita? Kenapa dengan kita?" soal Hisyam pura-pura tidak mengerti.

"Alah, you ni... "

Hisyam berpura-pura tidak mendengar. Dia meneruskan langkahnya perlahan-lahan. Fikirannya kembali kepada Maria. Matanya melingas mencari susuk gadis itu. Dilihatnya Maria sedang berdiri di sebelah maminya. Maminya sedang membelek-belek sesuatu, mungkin pemberian daripada gadis itu. Dia terpegun melihat bagaimana maminya memeluk Maria sebelum gadis itu meninggalkan maminya untuk masuk ke dalam rumah. Mungkin Maria ingin mencari Mak Jah.

MARIA menemani Mak Jah di dapur. Walau berkali-kali wanita itu menyuruhnya pergi ke hadapan, dia mengelak. Katanya, dia tidak tahu hendak menyesuaikan diri dengan orang-orang perempuan yang ada di situ. Mereka dari dua dunia yang berbeza.

"Hisy, kamu ni, Lia... Macam mana nak kahwin dengan anak Dato’ kalau macam ini?" usik Mak Jah.

Maria serta-merta mendongak, memandang Mak Jah bila mendengar soalan itu. Melihat wajah yang tersenyum manis, dia tunduk semula. Tidak mungkin Mak Jah tahu, desisnya di hati.

"Tak ada anak Dato’ yang berkenankan Lia, Mak Jah."

Mak Jah sebenarnya ingin sangat mengetahui apakah hubungan antara Maria dengan anak majikannya. Semalam, wajah Maria pucat lesi bila ternampak Hisyam. Dan, wajah Hisyam nyata terkejut memandang Maria. Namun, mereka tidak pula bertegur sapa? Mengapa, ya?

Mak Jah, sekarang ini, Lia adalah manusia yang paling dibenci Hisyam. Sekarang ini Lia sangat menyusahkannya. Lia bukan sesiapa dalam hidupnya lagi, rintih hati kecil Maria.

Mak Jah ingin berkata sesuatu, tetapi tidak jadi bila seseorang memberitahu bahawa acara akan dimulakan sebentar lagi.

Mereka keluar ke taman. Di situ, pasangan Dato’ dan Datin sedang berdiri berpegangan tangan di hadapan sebuah meja yang telah dihias indah. Di atas meja itu terdapat sebiji kek setinggi tiga tingkat. Di atas kek yang cantik itu, terpasang lilin-lilin yang menunggu masa untuk ditiup.

Dato’ Ahmad hanya memakai baju batik. Penampilan itu begitu ringkas berbanding penampilan sebahagian daripada para tetamunya. Badannya masih tegap dan dia kelihatan lebih muda daripada usianya yang sebenar. Wajahnya tampan. Memandangnya, mengingatkan Maria kepada Hisyam. Hisyam mewarisi wajah tampan itu. Hidung, mata dan bibir semuanya hampir serupa. Cuma, si ayah tidak setinggi anaknya. Namun, ada sesuatu yang ketara berbeza. Ketenangan pada wajah si ayah tiada pada Hisyam.

Maria mengalihkan pandangannya kepada Datin Syarifah. Wanita itu kelihatan sungguh anggun dalam baju kurung kain sutera berwarna biru yang dijahitnya itu. Maria rasa bangga melihatnya. Baju itu bersulam di leher. Di dada kelihatan kilatan labuci. Walaupun dia bukan seorang tukang jahit profesional, dia yakin baju itu akan menarik perhatian kawan-kawan perempuan Datin Syarifah.

"Mak Jah, cantik betul Datin tu, kan? Nampak muda!" Maria berbisik di telinga Mak Jah.

"Ewah, kamu nak puji Datin atau nak puji baju yang Datin pakai? Mentang-mentang baju tu dia yang jahit…" usik Mak Jah pula.

Entah mengapa kali ini Maria benar-benar tersinggung mendengar kata-kata Mak Jah itu. "Mak Jah, niat Lia ikhlas memuji Datin. Tak ada langsung Lia bercadang nak puji baju itu. Tapi, memanglah kan, kata-kata orang miskin macam Lia selalu disalah anggap."

Mak Jah terkejut mendengar Maria bercakap begitu. Niatnya hanya ingin mengusik. Mengapakah gadis ini begitu sensitif malam ini? "Maria, kenapa cakap macam tu? Mak Jah saja mengusik kamu. Takkanlah kamu nak kecil hati pulak..."

Maria segera menyedari kesilapannya mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya diucapkan kepada Mak Jah. Tangan wanita itu digenggam erat. "Maafkan Lia, Mak Jah. Lia… "

Mak Jah mengusap tangan gadis itu. "Kenapa kamu sedih macam ni, Lia?"

Maria berpura-pura ketawa. "Tak adalah. Cuma, Lia rasa Lia tak patut datang sini malam ni. Lia tak layak berada di sini."

"Kenapa cakap macam tu? Tak layak? Apa maksud kamu, Lia?" Mak Jah mengerutkan dahi. Kata-kata Maria bagai tersirat makna.

"Mak Jah, Lia segan datang sini. Mak Jah tengoklah tu. Semua orang pakai baju lawa-lawa. Mahal pulak tu. Entah apalah yang mereka fikir bila nampak Lia," bisik Maria lemah.

"Tak baik merendah diri macam tu…" Mak Jah tidak dapat meneruskan kata-kata. Tiba-tiba dia merasakan dia sudah tidak lagi larat berdiri. Lututnya itu sakit benar.

"Kenapa, Mak Jah?" Maria jelas risau melihat keadaan wanita itu.

Mak Jah tersenyum. "Lutut ni, hah, sakit sikit. Mak Jah nak duduk, Lia."

"Kalau macam tu, jom kita duduk kat tepi kolam tu, Mak Jah. Banyak kerusi kosong di situ."

"Tak apalah. Kamu pergi duduk. Mak Jah ingat biar Mak Jah masuk ke dalam aje. Boleh tengok-tengokkan budak-budak tu buat kerja," jawab Mak Jah. Budak-budak yang dimaksudkan ialah pekerja-pekerja syarikat yang mengambil upah katering malam ini.

"Lia nak ikut!"

Mak Jah tergelak. "Kamu datang sini malam ni nak tengok Mak Jah ke, nak tengok Datin? Dah, tunggu saja di situ. Tak lama lagi mereka nak tiup lilin tu."

Maria ditinggalkan sendirian. Dan, seperti kata Mak Jah, majlis sampai ke kemuncaknya apabila tiba masa untuk meniup lilin. Semasa lilin kek ditiup, Dato’ Ahmad dengan begitu mesra memeluk isterinya. Pandangannya yang redup itu seolah-olah memberitahu dunia bahawa inilah isterinya, isteri yang telah membahagiakan dirinya sepanjang tempoh perkahwinan mereka. Isterinya membalas pandangan itu sambil tersenyum manis, sebuah senyuman yang hanya ditujukan untuk suami yang amat dicintai.

Hati Maria tersentuh melihat adegan itu. Kalaulah Hisyam juga seperti ayahnya, mencintaiku setulus hati... Maria berkata dalam dirinya. Matanya mencari lelaki itu. Di saat dia terpandang seraut wajah itu, Hisyam sedang menundukkan muka untuk mendengar kata-kata yang sedang dibisikkan oleh Farah kepadanya. Wajah mereka terlalu dekat. Mereka sangat mesra. Tangan Farah kelihatan memaut manja lengan lelaki itu. Maria merasa tidak tenteram melihat adegan itu. Sedih dan terluka.

Sepanjang malam, Hisyam dan Farah asyik bermesra berdua. Bagaikan orang lain tidak ada di sekeliling mereka. Hati Maria semakin terluka. Dia ingin lari daripada mereka. Ingin pulang ke rumah, namun Pak Mat nampaknya terlalu sibuk. Ingin pulang sendiri, bimbang pula Datin Syarifah berkecil hati. Kerana itu, Maria cuba mencari kawasan yang sunyi untuk membawa hati.